omniture

Industri Barangan Pengguna Tetapkan Piawaian dalam Perjuangan Tentang Buruh Paksa

The Consumer Goods Forum
2016-12-08 12:39 846

PARIS, 8 Disember 2016 /PRNewswire/ --

Ketua Pegawai Eksekutif Global dalam Lembaga The Consumer Goods Forum teruskan usaha tangani masalah buruh paksa dengan laksanakan dan gesa tindakan terhadap "Prinsip Keutamaan Industri":

Setiap pekerja harus dapat kebebasan bergerak, pekerja tidak harus bayar untuk dapat kerja, pekerja tidak harus terhutang budi atau dipaksa bekerja  

Industri barangan pengguna, menerusi The Consumer Goods Forum (CGF), telah meningkatkan pengawasan sosialnya dalam usaha untuk menangani masalah buruh paksa daripada rantaian bekalan global dengan mewujudkan tiga "Prinsip Keutamaan Industri" ("Prinsip"). Meneruskan momentum daripada Resolusi Buruh Paksa rintis oleh CGF, seperti yang diumumkan awal tahun ini, tiga Prinsip itu akan membantu mengutamakan tindakan bagi menangani pendorong utama buruh paksa yang terdapat dalam industri barangan pengguna dan selanjutnya. Organisasi Buruh Antarabangsa melaporkan kini terdapat 21 juta mangsa buruh paksa di dunia dan Lembaga Pengarah CGF menjangkakan bahawa segmen tumpuan yang baru ditetapkan ini akan menggalakkan seluruh industri, dan juga industri-industri lain, untuk menterjemah Resolusi itu menjadi satu tindakan.

Menerusi kajian industri dan rundingan bersama pihak berkepentingan, CGF telah mengenal pasti tiga amalan guna tenaga yang paling bermasalah tetapi sering berlaku di seluruh dunia, yang membawa kepada terjadinya kes-kes buruh paksa – khususnya dalam kalangan pekerja yang tidak berdaya. Walaupun CGF mengakui amalan ini mempunyai punca utama yang rumit dan pelbagai manifestasi di tempat kerja, usaha menangani isu-isu ini perlu dimulakan dengan bersungguh-sungguh. Bagi melaksanakannya, CGF mewujudkan Prinsip Keutamaan Industri bagi menyediakan hala tuju selanjutnya untuk menangani amalan ini. Prinsip-prinsip tersebut adalah seperti berikut:

  • Setiap pekerja seharusnya mendapat kebebasan bergerak. Keupayaan pekerja untuk bergerak bebas tidak seharusnya dihalang oleh majikan mereka.
  • Pekerja tidak seharusnya membayar untuk mendapatkan pekerjaan. Bayaran dan kos berkaitan pengambilan pekerja dan guna tenaga seharusnya dibayar oleh majikan.
  • Pekerja tidak seharusnya terhutang budi atau dipaksa bekerja. Pekerja seharusnya bekerja dengan bebas, mengetahui terma dan syarat pekerjaan mereka dan dibayar secara berkala seperti yang dipersetujui. 

CGF dan ahli-ahlinya kini akan berusaha untuk menegakkan amalan-amalan ini dalam operasi yang dijalankan oleh mereka sendiri, dan akan menggunakan suara kolektif mereka untuk menggalakkan penggunaan prinsip keutamaan ini dalam seluruh industri. Sebagai sebahagian daripada pelan tindakan 2017, ahli-ahli akan mengambil tindakan secara individu untuk mengaplikasikan Prinsip-prinsip tersebut secara meluas dengan fokus awal terhadap dua rantaian bekalan yang mempunyai kaitan rapat dengan industri – makanan laut dan minyak kelapa sawit di Asia Tenggara.

Pembangunan Prinsip Keutamaan Industri ini diterajui oleh CGF Priority Industry Principles Working Group (Kumpulan Kerja Prinsip Keutamaan Industri CGF), selain turut dipengerusikan bersama Mars Incorporated, Tesco, The Coca-Cola Company serta Walmart. Langkap pertama, kumpulan kerja ini mengkaji pelbagai sumber yang diiktiraf di dunia termasuk Penunjuk Buruh Paksa Organisasi Buruh Antarabangsa. Seterusnya, bagi melengkapi kajian ini, kaji selidik dijalankan untuk syarikat-syarikat ahli CGF, pihak berkepentingan luar dan golongan awam. Setelah set draf prinsip ini dihasilkan, rundingan yang mendalam secara bersemuka diadakan bersama pihak berkepentingan utama bagi memuktamadkan prinsip-prinsip tersebut.

Kolaborasi Rentas Sektor 

Resolusi Buruh Paksa CGF, diluluskan oleh Lembaga Pengarah pada Januari 2016 merupakan resolusi pertama dalam industri yang diwujudkan untuk menangani masalah buruh paksa. Ia amat dialu-alukan oleh pelbagai pihak, dan CGF berhasrat untuk meneruskan kolaborasi dan penglibatannya bersama masyarakat sivil, pakar-pakar dan inisiatif yang memberi tumpuan untuk menangani masalah buruh paksa. Oxfam dan Organisasi Buruh Antarabangsa telahpun menyatakan sokongan mereka terhadap Prinsip Keutamaan Industri, satu pendekatan yang diharapkan oleh CGF dapat diaplikasikan oleh pihak berkepentingan utama yang lain.

Petikan kata: 

Peter Freedman, Pengarah Urusan, The Consumer Goods Forum berkata, 

"Prinsip Keutamaan Industri ini merupakan langkah penting seterusnya dalam usaha membanteras masalah buruh paksa di dunia. Prinsip-prinsip ini perlu diaplikasikan pada peringkat global agar dapat membawa perubahan yang diperlukan bagi menghapuskan buruh paksa daripada rantaian bekalan antarabangsa. Dengan itu, kami komited untuk menyokong ahli-ahli kami dalam usaha melaksanakan Prinsip-prinsip ini dalam operasi yang mereka jalankan, dan kami turut menggesa penggunaan prinsip-prinsip ini dalam seluruh industri barangan pengguna. Tiada sebuah syarikat pun yang dapat menangani masalah buruh paksa ini secara sendiri; kita perlu berusaha bersama-sama melalui kolaborasi rentas sektor agar suatu hari nanti, kita dapat mewujudkan dunia yang bebas daripada tenaga buruh paksa."  

Emmanuel Faber, Ketua Pegawai Eksekutif, Danone berkata, 

"Saya gembira kerana Lembaga The Consumer Goods Forum memutuskan untuk berdepan dengan cabaran berhubung masalah buruh paksa yang amat rumit ini di seluruh dunia. Melalui pengaplikasian Prinsip Keutamaan Industri secara berperingkat-peringkat oleh ahli-ahli CGF, kolaborasi dengan pihak kerajaan, NGO, organisasi buruh antarabangsa dan masyarakat sivil, kita mampu untuk pergi lebih jauh bagi membasmi realiti yang menakutkan ini. Rantaian bekalan global perlu memberikan kemakmuran tempatan sekiranya kata-kata 'memberi makan kepada dunia' membawa maksudnya yang sebenar." 

Rachel Wilshaw, Pengurus Perdagangan Beretika, Oxfam GB berkata, 

"Oxfam mengalu-alukan kepimpinan yang ditunjukkan oleh The Consumer Goods Forum dalam usaha memberi sokongan bersama-sama terhadap Prinsip Keutamaan Industri ini, demi menghalang buruh paksa memasuki rantaian bekalan global melalui lompong-lompong kecil dalam rangkaian ini. Bentuk eksploitasi buruh yang melampau ini menjadikannya mustahil untuk pekerja mendapatkan hak asasi masing-masing dan bekerja untuk keluar daripada belenggu kemiskinan. Kami berharap semua ahli CGF akan memanfaatkan pengaruh mereka bagi mengaplikasikan prinsip-prinsip ini dan memainkan peranan mereka dalam usaha membasmi isu malang yang tersembunyi ini." 

Houtan Homayounpour, tumpuan utama buruh paksa Organisasi Buruh Antarabangsa berkata,  

"Resolusi Buruh Paksa CGF telah diluluskan dan disahkan di peringkat tertinggi dalam dunia korporat, dan ini jelas menunjukkan komitmen yang diberikan terhadap usaha menentang masalah buruh paksa di dunia. Kini, komitmen ini bertukar menjadi tindakan padu menerusi Prinsip Keutamaan Industri. Setinggi-tinggi tahniah buat CGF dan ahli-ahlinya!" 

Latar Belakang The Consumer Goods Forum 

The Consumer Goods Forum ("CGF") ialah rangkaian industri berasaskan pariti bertaraf global yang digerakkan oleh ahli-ahlinya demi menggalakkan penerimaan amalan dan piawaian global yang digunakan dalam industri barangan pengguna seluruh dunia. Ia menghimpunkan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif dan pihak pengurusan kanan yang terdiri daripada kira-kira 400 peniaga, pengeluar, penyedia perkhidmatan, serta pihak berkepentingan lain dari 70 buah negara, dan ia turut mencerminkan kepelbagaian industri dari segi geografi, saiz, kategori produk, dan juga format. Syarikat-syarikat ahlinya mempunyai jualan tergabung sebanyak EUR 3.5 trilion dan menggajikan secara terus hampir 10 juta kakitangan, dengan 90 juta tambahan pekerjaan berkaitan sepanjang rantaian nilai. Ia ditadbir oleh Lembaga Pengarahnya, yang terdiri daripada 54 Ketua Pegawai Eksekutif pengeluar dan peruncit.

Untuk maklumat lanjut, sila layari: http://www.theconsumergoodsforum.com.

Source: The Consumer Goods Forum
Keywords: Household/Consumer/Cosmetics Retail Labor news Survey, Polls & Research Trade show news