omniture

Safe Kids Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Safe Kids Worldwide dan Honeywell Lancar Program Didik Kanak-kanak Keselamatan Api dan Luka Terbakar

Honeywell
2017-02-24 06:31 887

Safe Kids at Home: Program Pencegahan Api dan Luka Terbakar akan mendekati lebih 6,000 kanak-kanak di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, Malaysia, 24 Februari 2017 /PRNewswire/ -- Menurut Beban Penyakit Global Pertubuhan Kesihatan Sedunia, dianggarkan 265,000 kematian kanak-kanak di seluruh dunia berlaku akibat luka terbakar yang dikaitkan dengan api setiap tahun, dan kebanyakan kejadian ini berlaku di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana. Lebih separuh kematian berlaku di rantau Asia Tenggara, termasuk Malaysia, yang dilaporkan bahawa seorang kanak-kanak maut setiap dua minggu akibat kebakaran atau luka terbakar yang lain.

YB Datuk Halimah Mohamed Sadique, Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Briand Greer, Presiden, Honeywell ASEAN; berserta wakil-wakil daripada Universiti Putra Malaysia, Honeywell dan juga Jabatan Bomba dan Penyelamat; bersama beberapa murid daripada sekolah-sekolah yang mengambil bahagian.
YB Datuk Halimah Mohamed Sadique, Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Briand Greer, Presiden, Honeywell ASEAN; berserta wakil-wakil daripada Universiti Putra Malaysia, Honeywell dan juga Jabatan Bomba dan Penyelamat; bersama beberapa murid daripada sekolah-sekolah yang mengambil bahagian.

Menyedari keperluan untuk meningkatkan kesedaran berhubung isu kesihatan awam global ini, hari ini, Safe Kids Malaysia Universiti Putra Malaysia (UPM), Safe Kids Worldwide dan Honeywell (NYSE: HON) melancarkan Safe Kids at Home, satu program keselamatan bersifat pendidikan diwujudkan untuk membantu mencegah api, luka terbakar dan melecur dalam kalangan kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun. Program ini mendapat sokongan Honeywell Hometown Solutions, satu inisiatif kerakyatan korporat milik syarikat yang fokus terhadap lima segmen kritikal; keselamatan dan jaminan keluarga, sains dan matematik, perumahan dan tempat tinggal, habitat dan pemuliharaan serta bantuan kemanusiaan.

Program ini diwujudkan berdasarkan dapatan daripada tinjauan 2016 yang dijalankan oleh Safe Kids Malaysia dan Universiti Putra Malaysia (UPM), salah sebuah universiti penyelidikan utama negara ini. Laporan kajian baharu, How Safe is Your Home? Protecting Children from Fire, Burns and Scalds in Kuala Lumpur (Sejauh Mana Rumah Anda Selamat? Lindungi Kanak-kanak daripada Api, Luka Terbakar dan Melecur di Kuala Lumpur) dilancarkan secara rasmi hari ini oleh YB. Datuk Halimah Mohamed Sadique, Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam satu majlis pelancaran eksklusif di kampus UPM, Serdang.

Ia dihadiri oleh YB. Datuk Halimah Mohamed Sadique, Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Profesor Datin Paduka Dr. Aini Ideris, Naib Canselor UPM; Profesor Madya Dr. Kulanthayan KC Mani, Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia UPM; Briand Greer, Presiden Honeywell ASEAN; Kerry Kennedy, Pengarah, Warga Korporat Global, Honeywell Hometown Solutions; dan Tareka Wheeler, Pengarah Program, Safe Kids Worldwide.

"Pihak Kementerian ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan industri – Honeywell kerana menyokong dan membiayai inisiatif ini. Ini merupakan satu kolaborasi yang matang antara Ilmuwan, Industri, Pihak Antarabangsa dan Kerajaan," kata YB. Datuk Halimah Mohamed Sadique, Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Profesor Dr. Aini daripada UPM berkata, "Sebagai salah sebuah universiti penyelidikan terbaik di Malaysia, kami berbangga dapat bekerjasama dengan dua organisasi global yang cemerlang - Safe Kids Worldwide dan Honeywell. Selain itu, kami turut berbesar hati dapat berganding bahu dengan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, dan akan terus menyumbang kepada inisiatif yang dapat meninggalkan kesan positif jangka panjang terhadap masyarakat secara keseluruhan."

"Kajian ini mengenal pasti keperluan kritikal terhadap pendidikan api dan luka terbakar untuk kanak-kanak, dan kami berharap dapat mula melaksanakan progam Safe Kids at Home di sembilan sekolah di Sentul, Kuala Lumpur," kata Dr. Kulanthayan daripada Safe Kids Malaysia UPM.

YB. Datuk Halimah Mohamed Sadique, Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menambah, "Saya amat berharap sokongan daripada Honeywell untuk inisiatif ini yang bermula di Sentul akhirnya akan diperluas dan mencapai lebih ramai kanak-kanak di lebih banyak kawasan secara beransur-ansur dan satu hari kelak kita akan dapat meliputi seluruh negara."

"Malaysia ialah negara pertama di ASEAN yang melancarkan program ini dan kami berbangga dapat bekerjasama dengan Safe Kids Malaysia UPM dan Safe Kids Worldwide," kata Greer daripada Honeywell ASEAN. "Honeywell komited untuk meningkatkan kualiti hidup orang ramai dengan membawa perubahan yang boleh diukur dalam komuniti tempat kita tinggal dan bekerja. Dengan usaha-usaha yang menumpu terhadap agensi pendidikan, penjagaan kesihatan, penguatkuasaan dan keselamatan kebakaran, matlamat kami adalah untuk mendidik setiap kanak-kanak tentang kepentingan keselamatan di rumah dan juga pencegahan kebakaran."

Dapatan penting kajian:

  • Lebih separuh daripada ibu bapa (54%) melaporkan anak-anak mereka mengalami kecederaan luka terbakar atau melecur dalam tempoh dua tahun lalu
  • 51% ibu bapa bimbang anak-anak mereka lebih berkemungkinan mengalami luka terbakar atau melecur berbanding sebarang kecederaan lain
  • Hanya 1 dalam 3 ibu bapa tekal mengajar anak-anak mereka tentang keselamatan ketika kebakaran
  • 11% ibu bapa melaporkan sekolah-sekolah kerap mengajar pendidikan keselamatan ketika kebakaran
  • Lebih 80% ibu bapa menyatakan mereka menggunakan ubat gigi sebagai penawar, yang sebenarnya memburukkan lagi kecederaan

Latar Belakang Safe Kids Worldwide

Safe Kids Worldwide ialah sebuah pertubuhan bukan untung yang berusaha mengelakkan kecederaan dalam kalangan kanak-kanak, penyebab kematian nombor satu kanak-kanak di Amerika Syarikat. Di serata dunia, hampir satu juta kanak-kanak maut akibat kecederaan setiap tahun dan hampir setiap kejadian ini boleh dicegah. Safe Kids bekerjasama dengan rangkaian luas yang terdiri daripada lebih 400 pakatan di A.S. dan bersama rakan-rakan kerjasama di lebih 30 negara demi mengurangkan insiden kecederaan trafik, lemas, jatuh, terbakar, keracunan dan banyak lagi. Sejak tahun 1988, Safe Kids membantu mengurangkan kadar kematian kanak-kanak A.S. daripada kecederaan yang tidak disengajakan sebanyak 60 peratus. Dengan berganding bahu, kita dapat mengusahakan lebih banyak lagi untuk kanak-kanak di mana-mana jua. Sertai usaha kami di safekids.org.

Latar Belakang Safe Kids Malaysia

Dengan matlamat untuk memperbaiki kehidupan kanak-kanak di Malaysia dan menerusi jalinan kerjasama dengan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Safe Kids Malaysia (SKM) ditubuhkan pada tahun 2011 sebagai ahli Safe Kids Worldwide. SKM bekerjasama erat dengan pihak kerajaan, industri, sekolah dan masyarakat demi meningkatkan kesedaran tentang kecederaan dan kematian yang boleh dielakkan. Terdahulu, pertubuhan ini memberi tumpuan utama terhadap keselamatan jalan raya dan pencegahan kejadian lemas, tetapi kini merangkumkan pendidikan dan kesedaran berhubung keselamatan di rumah menerusi program Safe Kids at Home.

Latar Belakang Honeywell Malaysia

Honeywell (www.honeywell.com) ialah peneraju bagi kepelbagaian teknologi dan pembuatan Fortune 100, berkhidmat untuk pelanggan seluruh dunia menerusi produk dan perkhidmatan aeroangkasa; teknologi kawalan untuk bangunan, rumah dan industri; pengecas turbo; serta bahan-bahan prestasi. Untuk mendapatkan berita dan maklumat tambahan tentang Honeywell, sila layari www.honeywell.com/newsroom.

Operasi di Malaysia bermula pada tahun 1985 dan kini Honeywell menggaji lebih 1,500 kakitangan di enam bandar seluruh Malaysia termasuk Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam, Pulau Pinang, Kemaman dan Johor Bahru. Teknologi dan penyelesaian kami, seperti sistem avionik bersepadu untuk pesawat, kawalan proses dan teknologi untuk kilang penapisan serta automasi bangunan telah menyokong Malaysia dalam usaha kemajuannya menuju masyarakat yang lebih selamat, lebih terjamin dan cekap tenaga.

Foto  - http://photos.prnasia.com/prnh/20170222/0861701432

 

 

Source: Honeywell
Related Stocks:
NYSE:HON
Keywords: Education Health Care/Hospital Higher Education Children-related news Corporate Social Responsibility Not for profit Public Safety