DUBAI, UAE, 13 Mac 2017 /PRNewswire/ --
Di bawah arahan Yang Amat Mulia Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE, dan Pemerintah Dubai, sekitar 100 tan barangan bantuan dan barangan kelangsungan hidup anjuran Bandar Kemanusiaan Antarabangsa (IHC) Dubai berlepas semalam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai ke Madagascar bagi menangani kejadian Taufan Enawo, tragedi paling dahsyat yang menyerang negara pulau itu dalam tempoh 13 tahun. Taufan tersebut, yang menyebabkan berlakunya banjir di pekan-pekan dan bandar-bandar; rumah, sekolah, hospital dan infrastruktur penting musnah; dan setakat ini, lebih 65,000 penduduk kehilangan tempat tinggal, ia akhirnya dijangka memberi kesan kepada 760,000 penduduk di sembilan rantau di seluruh Madagascar.
Setelah mengetahui tentang kejadian taufan ini, ahli-ahli Bandar Kemanusiaan Antarabangsa meminta bantuan daripada pihak pengurusan IHC, yang seterusnya berkolaborasi bersama Lembaga IHC dengan kerjasama Yang Amat Mulia Sheikh Mohammed, bagi memastikan sebuah pesawat disediakan. Pesawat ini adalah sumbangan peribadi Yang Amat Mulia Sheikh Mohammed, sekali lagi bagi tujuan menyokong IHC dan ahli-ahlinya serta penduduk Madagascar. Kos pengangkutan udara dijangka mencecah USD 250,000 (Dhs 918,250).
Ini merupakan tindak balas pertama Bandar Kemanusiaan Antarabangsa terhadap bencana alam yang berlaku di benua Afrika. Terdahulu, IHC telah menyediakan bantuan untuk masalah peperangan dan pelarian di Afrika, kebanyakannya merupakan kecemasan yang berlarutan, tetapi bukannya bencana alam.
Penghantaran daripada ahli IHC akan tiba ke Atananarivo, ibu negara Madagascar dalam tempoh 9.5 jam dengan nilai berjumlah USD 292,799 (AED 1,074,708). Penghantaran ini akan menyediakan: ubat-ubatan dan bekalan perubatan untuk 50,000 orang selama 3 bulan yang dibekalkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia; 300,000 bungkusan biskut tinggi tenaga yang sedia dimakan untuk memenuhi keperluan 60,000 orang selama 5 hari, disediakan oleh Program Makanan Dunia; barangan bantuan tempat tinggal untuk kira-kira 20,000 orang, disediakan oleh UNICEF, dan kain tarpal serta kit perlindungan kecemasan, disediakan oleh ADRA, sebuah NGO antarabangsa, yang menjalankan operasi-operasi lapangan di Madagascar. Tidak ketinggalan, UNHRD akan turut mengambil bahagian dengan membawa peralatan dan aset logistik bagi mendirikan sebuah hab logistik mudah alih demi membantu pengagihan barangan ke semua kawasan, khususnya untuk mereka yang berada di lokasi yang terpencil.
Taufan Enawo Tropika melanda kawasan timur laut Madagascar pada sebelah pagi 7 Mac, bergerak dengan kelajuan dua hingga tiga ratus kilometer sejam. Pada 8 Mac, kelajuan Enawo semakin perlahan, daripada ribut tropika yang "kuat" hingga "sederhana", menerusi kelajuan purata 80km/jam dengan kelajuan puncak 112km/jam. Kebanyakan penduduk yang rumah mereka dilanda banjir atau musnah menumpang bersama saudara mara di kawasan yang lebih selamat, manakala beribu-ribu IDP berlindung di sekolah, gereja dan gimnasium. Angin kencang, banjir dan tanah runtuh telah mencederakan 183 orang dan 50 orang maut setakat ini, manakala 20 orang hilang. Jumlah kerosakan masih belum diketahui disebabkan oleh komunikasi yang buruk dan kesukaran untuk sampai ke kawasan-kawasan terjejas.
Barangan bantuan diletakkan dahulu di 15 daerah bagi menyediakan keperluan dari segi keselamatan makanan, pendidikan, kesihatan, pemakanan, tempat tinggal, air, sanitasi dan perlindungan. Namun begitu, lebih banyak bantuan perlu dihantar ke kawasan-kawasan yang sukar dicapai yang terletak di bahagian timur laut melalui laut atau udara. Bekalan tambahan mula dihantar ke rantau Sava dan Analanjirofo pada 10 Mac. Kumpulan-kumpulan kemanusiaan bertemu setiap hari dan pusat operasi bersama diwujudkan di ibu pejabat Pejabat Kebangsaan untuk Risiko dan Pengurusan Bencana di Antananarivo.
Hubungi: Chris Wilson, Pejabat Perhubungan Awam, +44(0)78-2487-5864
Sumber: International Humanitarian City