omniture

Institut Pasteur Tandatangani MoU dengan Hamad Bin Khalifa University Qatar Berkolaborasi untuk Penyelidikan Pencegahan Penyakit dan Genomik

Hamad bin Khalifa University (HBKU)
2017-10-03 05:36 640

PARIS, 3 Oktober 2017 /PRNewswire/ --

Hamad Bin Khalifa University (HBKU), ahli Yayasan Qatar untuk Pendidikan, Sains dan Pembangunan Kemasyarakatan, dan Institut Pasteur menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) di Paris pada hari Jumaat, mengumumkan satu perkongsian baharu untuk bekerjasama erat dalam bidang penyelidikan bioperubatan. Kedua-dua entiti intensif penyelidikan ini akan berkolaborasi dalam bidang akademik, penyelidikan, pengajaran dan perkongsian pengetahuan. Perjanjian ini ditandatangani oleh Tuan Yang Terutama Sheikha Hind bint Hamad Al Thani, Pengerusi Hamad Bin Khalifa University, Naib Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Qatar, serta Dr. Christian Bréchot, Presiden Institut Pasteur dalam satu majlis yang diadakan di Paris pada 20 September 2017 di Salle des Actes, Institut Pasteur.

Tuan Yang Terutama Dr. Khaled Al Mansouri, Duta Qatar ke Perancis, Dr. Ahmad M. Hasnah, Presiden HBKU, bersama-sama pegawai kanan daripada kedua-dua institusi berkenaan, turut hadir dalam majlis ini.

T.Y.T. Sheikha Hind mengulas tentang perkongsian baharu tersebut dan berkata: "Hamad Bin Khalifa University secara tekal dan tekun memainkan peranan penting dalam menggalakkan dan memudahkan inovasi, penyelidikan saintifik dan kecemerlangan akademik, di Qatar dengan aspirasi terhadap impak global. Kami amat yakin komitmen kami untuk menjadi peneraju global dalam inovasi dan pendidikan telah mencetuskan pelbagai pencapaian sejak ditubuhkan."

"Hari ini, menerusi perkongsian baharu dengan Institut Pasteur ini, penyelidik, ilmuan, ahli akademik dan pelajar kami akan terus berani untuk memudahkan penemuan rintis dalam bidang penjagaan kesihatan, sains bioperubatan dan genomik."

Komitmen HBKU untuk menjadi universiti penyelidikan yang didorong oleh inovasi, menangani cabaran kritikal yang dihadapi oleh dunia, telah berkembang pesat sejak beberapa tahun ini. Sebagai tumpuan pusat-pusat penyelidikan seperti Institut Penyelidikan Bioperubatan Qatar (QBRI) dan Kolej Kesihatan dan Sains Hayat, selain turut bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi tempatan dan antarabangsa, Universiti menyasarkan untuk menjadi pengusaha utama dalam bidang penjagaan kesihatan dan penyelidikan di rantau ini.

Dinamakan bersempena Louis Pasteur yang tersohor, Institut Pasteur membawakan penemuan rintis selama 130 tahun dalam mencegah dan merawat penyakit berjangkit. Menerusi sepuluh penerima Hadiah Nobel, sumbangan Institut kepada bidang perubatan dan fisiologi tidak terkira banyaknya. Hari ini, 130 unit penyelidikan di tapak kampus Paris terus memberi sumbangan kepada impak global dalam penyelidikan bioperubatan.

"Sebagai universiti tempatan Yayasan Qatar, inovasi menjadi teras bagi nilai HBKU. Diilhamkan oleh nilai teras ini dan didorong oleh semangat kolaborasi, Universiti ini membangunkan satu ekosistem dinamik, yang menyumbang terhadap ilmu pengetahuan dan lapangan sains, yang memberi impak global," tambah Sheikha Hind.

"Salah satu misi asas Institut Pasteur adalah untuk memanfaatkan kepakarannya bagi menyokong pembangunan kapasiti dalam bidang penyelidikan bioperubatan melalui latihan dan pendidikan. Institut Pasteur terlibat sejak setahun lalu dalam melatih golongan profesional perubatan daripada kementerian kesihatan Qatar dengan menganjurkan kursus penyelidikan wabak yang intensif di Doha.  Penandatanganan perjanjian dengan HBKU memperluas rangka kerja perkongsian untuk insitut pendidikan tinggi serta penyelidikan yang dipimpin oleh Yayasan Qatar. Oleh itu, selain penyelidikan terhadap penyakit berjangkit, ia akan turut menjalankan penyelidikan terhadap penyakit kronik paling prevalen di rantau ini seperti diabetes, kanser, penyakit neurodegeneratif dan genetik, khususnya dalam konteks projek genom Qatar yang membuahkan kejayaan," kata Pr. Christian Bréchot, Presiden Institut Pasteur.

Tuan Yang Terutama Dr. Khaled Al Mansouri, Duta Qatar ke Perancis mengulas tentang MoU ini berkata: "Qatar terus kekal teguh dengan komitmennya bagi mencapai matlamat pembangunan manusia di negara ini, seperti mana yang digariskan dalam Wawasan Negara Qatar 2030. Qatar menyasarkan untuk meningkatkan kerjasama dan perkongsiannya dengan Perancis dalam bidang-bidang berbeza dan perkongsian seperti ini bersama Institut Pasteur dan HBKU yang diiktiraf di peringkat antarabangsa adalah bukti peranan Qatar dalam mengukuhkan kolaborasinya yang menggalakkan perkongsian ilmu pengetahuan serta kerjasama. Kami berbangga apabila universiti tempatan kami dapat bekerjasama dengan Institut, bersama-sama menangani cabaran mendesak yang dihadapi oleh dunia dalam bidang penyakit berjangkit dan juga genomik."

Tuan Yang Terutama Eric Chevallier, Duta Perancis ke Negara Qatar mengisytiharkan, "MoU yang ditandatangani oleh Tuan Yang Terutama Sheikha Hind bint Hamad Al Thani, Pengerusi Hamad Bin Khalifa University, Naib Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Qatar dan Profesor Christian Bréchot, Presiden Institut Pasteur Paris, yang disaksikan oleh Dr Ahmad M. Hasnah, Presiden Hamad Bin Khalifa University, ahli Yayasan Qatar, merupakan pencapaian daripada dorongan yang diberikan oleh Yang Mulia Sheikha Mozah bint Nasser, Pengasas dan Pengerusi Yayasan Qatar, beberapa bulan lalu. Perkongsian ini sekali lagi memperlihatkan hubungan yang kukuh antara Perancis dan Qatar dalam domain pendidikan dan penyelidikan. Saya yakin perkongsian ini akan memperkayakan kedua-dua entiti menerusi pengalaman akademik dan penyelidikan inovatif, bukan sahaja dalam bidang penyakit berjangkit, tetapi juga dalam domain lain, seperti genomik dan genetik. Saya berbangga dengan penandatanganan ini kerana ia merupakan satu keutamaan bagi tempoh perkhidmatan saya di Qatar dan juga kerana kami semua telah bekerja keras di Kedutaan Perancis untuk projek ini."

MoU antara HBKU dan Institut Pasteur akan menyaksikan satu jalinan kerjasama erat menerusi kolaborasi penyelidikan dan akademik bersama-sama dalam bidang genomik dan perubatan ketepatan. Perkongsian ini akan membolehkan pelajar, penyelidik dan saintis daripada kedua-dua entiti untuk mengusahakan bersama-sama projek-projek penyelidikan seawal tahun 2018.

Perjanjian ini juga akan menyaksikan fakulti dan pelajar PhD daripada kedua-dua institusi ini melaksanakan lebih mobiliti antara kampus-kampus, bagi tujuan pengajaran dan penyelidikan. Selain bidang akademik, mereka akan berusaha secara aktif ke arah memperkukuh infrastruktur kesihatan di Qatar, dan meningkat maju demi mencapai Wawasan Negara Qatar 2030. HBKU dan Institut Pasteur akan menganjurkan dan memudahkan pelaksanaan persidangan, seminar, bengkel dan latihan bagi meningkatkan kesedaran dan memberi inspirasi kepada generasi-generasi saintis akan datang dalam bidang genomik dan pencegahan penyakit berjangkit serta bidang-bidang penyelidikan yang lain.

Latar Belakang Hamad Bin Khalifa University   

Hamad Bin Khalifa University (HBKU), ahli Yayasan Qatar untuk Pendidikan, Sains dan Pembangunan Kemasyarakatan, ialah sebuah universiti penyelidikan baharu yang membina asasnya menerusi kolaborasi unik dengan rakan-rakan kongsi tempatan dan antarabangsa. Terletak di Bandar Pendidikan, HBKU menyediakan program-program ijazah dan pascasiswazah melalui Kolej Sains dan Kejuruteraan, Kolej Undang-undang dan Dasar Awam, Kolej Kesihatan dan Sains Hayat, Kolej Pengajian Islam serta Kolej Kemanusiaan dan Sains Sosial. Ia turut menyediakan peluang yang tiada tandingan untuk penyelidikan dan biasiswa melalui institut-institut penyelidikannya, manakala Pusat Pendidikan Eksekutif pula menyediakan program tersuai untuk komuniti perniagaan Qatar dan rantau tersebut, sejajar dengan Wawasan Negara Qatar 2030.

Latar Belakang Institut Pasteur
Institut Pasteur, sebuah yayasan swasta dengan status badan amal yang diiktiraf secara rasmi dan ditubuhkan oleh Louis Pasteur pada tahun 1887, hari ini merupakan sebuah pusat penyelidikan bioperubatan terkenal di peringkat antarabangsa yang menjadi lokasi tumpuan jaringan 33 institusi seluruh dunia. Dalam usaha mencapai misinya untuk mencegah dan membasmi penyakit di Perancis dan seluruh dunia, Institut Pasteur beroperasi dalam empat bidang utama: penyelidikan saintifik dan perubatan, kesihatan awam dan pemantauan kesihatan, pengajaran, serta pembangunan perniagaan dan pemindahan teknologi. Lebih 2,500 kakitangan bekerja di kampus Paris. Institut Pasteur ialah peneraju yang diiktiraf secara global bagi penyakit berjangkit, mikrobiologi dan imunologi. 130 unitnya juga menumpu pada penyelidikan mereka terhadap kanser tertentu, penyakit genetik dan neurodegeneratif, genomik dan juga biologi perkembangan. Kajian ini bertujuan untuk memperluas pengetahuan kami terhadap organisma hidup dalam usaha bagi menyediakan asas untuk strategi pencegahan baharu dan juga terapi baharu. Sejak ditubuhkan, 10 saintis Institut Pasteur dianugerahi Hadiah Nobel untuk Perubatan, termasuk dua saintis pada tahun 2008 bagi penemuan virus kurang daya tahan manusia (HIV) 1983 yang menyebabkan penyakit AIDS. 

www.pasteur.fr/en

Source: Hamad bin Khalifa University (HBKU)
Keywords: Education Health Care/Hospital Higher Education