omniture

Penggunaan Jangka Panjang Aspirin Kurangkan Kejadian Kanser Pencernaan sehingga 47%, Dedah Kajian Dibentang pada Minggu UEG

United European Gastroenterology (UEG)
2017-10-31 07:01 551

BARCELONA, Sepanyol, 31 Oktober 2017 /PRNewswire/ --

Penggunaan jangka panjang aspirin menunjukkan pengurangan ketara kejadian kanser pencernaan, dapatan kajian baharu dibentangkan hari ini pada Minggu UEG ke-25[1].

Dalam satu kajian yang melibatkan lebih 600,000 individu, penyelidik membandingkan pesakit yang diberikan aspirin dalam tempoh jangka panjang (sekurang-kurangnya selama enam bulan, purata tempoh pemberian aspirin ialah 7.7 tahun) dengan pengguna yang tidak mengambil aspirin dan menilai kejadian beberapa jenis kanser. Mereka yang diberikan aspirin menunjukkan 47% pengurangan bagi kejadian kanser hati dan esofagus, 38% pengurangan bagi kejadian kanser gaster, 34% pengurangan bagi kejadian kanser pankreas dan 24% pengurangan bagi kejadian kanser kolorektum.

Kanser pencernaan menyumbang hampir seperempat daripada kejadian kanser di Eropah[2]. Kanser kolorektum, gaster dan pankreas merupakan lima kanser pembunuh teratas di seluruh benua tersebut, dengan kanser pencernaan menyebabkan 30.1% kematian akibat kanser.

Aspirin digunakan di seluruh dunia bagi merawat pelbagai masalah kesihatan, bermula daripada kelegaan kesakitan jangka pendek kepada preskripsi jangka panjang. Meskipun penggunaan aspirin masih menjadi perdebatan berterusan dalam komuniti perubatan, satu kajian terkini mendapati pesakit yang berhenti mengambil aspirin adalah 37% lebih cenderung mengalami masalah kardiovaskular yang memudaratkan, seperti serangan jantung atau strok, berbanding mereka yang meneruskan preskripsi mereka[3].

Lokasi Kanser

Pengurangan kejadian kanser oleh pengguna aspirin
(berbanding bukan pengguna)

Hati

47%

Esofagus

47%

Gaster

38%

Pankreas

34%

Kolorektum

24%


Jadual 1 – Pengurangan kejadian kanser pencernaan

Kesan penggunaan jangka panjang aspirin terhadap kejadian kanser turut dikaji bagi kanser-kanser di luar sistem pencernaan. Dalam hal ini, pengurangan yang ketara dapat dilihat bagi beberapa jenis kanser (leukemia, peparu dan prostat) tetapi bukan semua kanser (payudara, pundi kencing, ginjal dan mieloma berbilang).

Ketua penyelidik, Profesor Kelvin Tsoi dari Chinese University of Hong Kong, membentangkan kajian tersebut hari ini sempena Minggu UEG kali ke-25 di Barcelona. "Dapatan menunjukkan penggunaan jangka panjang aspirin boleh mengurangkan risiko terjadinya banyak jenis kanser utama," ulas Profesor Tsoi. "Apa yang perlu diperhatikan ialah kepentingan keputusan bagi kanser-kanser dalam saluran pencernaan, yang mana pengurangan kejadian kanser semuanya adalah amat besar, khususnya bagi kanser hati dan esofagus."

Rujukan:

  1. Tsoi, K. et al. Penggunaan jangka panjang aspirin lebih berkesan untuk mengurangkan kejadian kanser gastrousus berbanding kanser bukan gastrousus: Kajian berasaskan populasi selama 10 tahun di Hong Kong (Long-term use of aspirin is more effective to reduce the incidences of gastrointestinal cancers than non-gastrointestinal cancers: A 10-year population based study in Hong Kong). Dibentangkan pada Minggu UEG Barcelona 2017.
  2. GLOBOCAN, IARC (2012). Seksyen Pemantauan Kanser.
  3. Penghentian rawatan aspirin tingkatkan risiko kardiovaskular lebih sepertiga (Stopping aspirin treatment raises cardiovascular risk by over a third, 2017). Disediakan di: https://www.medicalnewstoday.com/articles/319541.php
Source: United European Gastroenterology (UEG)
Keywords: Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Clinical Trials/Medical Discoveries