PETALING JAYA, Malaysia, 31 Januari 2019 /PRNewswire/ -- Grab, platform Dalam Talian-kepada-Luar-Talian (O2O) yang terkemuka di Asia Tenggara, melancarkan Pusat Kecemerlangan Serantau (RCoE) baharunya di ruang pejabatnya berkeluasan 54,000 kaki persegi yang baru diperluas di sini hari ini. Pusat Kecemerlangan akan menempatkan strategi perniagaan teras dan fungsi-fungsi operasi Grab, termasuk undang-undang, pengalaman pelanggan, perkhidmatan kewangan dan perkhidmatan kreatif. Ini merupakan usaha kedua yang menunjukkan pelaburan kukuh Grab dalam menyumbang kembali kepada negara di mana ia bermula, dengan usaha pertama merupakan pelancaran Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) di Malaysia bulan lalu, jejak R&D global Grab ke-7 bagi tujuan memupuk bakat teknologi mendalam Malaysia. Pelancaran ruang pejabat yang baru diperluas ini dirasmikan oleh YB Datuk Ignatius Darell Leiking, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Dengan melancarkan Pusat Kecemerlangan Serantau dan Pusat R&D di Malaysia, Grab serta merta akan mencipta sekurang-kurangnya 400 pekerjaan bernilai tinggi baharu, menjadikan jumlah kakitangan di Malaysia kepada 1,000 orang. RCoE akan menerajui pembangunan himpunan dalaman ahli-ahli profesional berkemahiran tinggi yang pakar dalam bidang masing-masing. Dengan kehadiran Grab di 336 bandar merentas 8 negara, mereka akan diberi peluang untuk melihat dari lensa serantau dalam menawarkan penyelesaian dan melaksanakan projek-projek.
Pasukan undang-undang akan memberi khidmat nasihat tentang isu-isu peraturan, dasar dan undang-undang yang memberi kesan kepada seluruh rantau; pasukan pengalaman pelanggan akan memberi sokongan pelanggan yang berkualiti kepada beberapa negara; pasukan kreatif dan reka bentuk akan membangunkan aset-aset kreatif untuk kempen dan projek pemasaran serantau; dan pasukan perkhidmatan kewangan akan melaksanakan dasar pengurusan kewangan, perolehan dan risiko di seluruh negara di mana Grab beroperasi di rantau ini.
Pasukan teknologi dan kejuruteraan di Pusat R&D Malaysia akan menumpu untuk membangunkan penyelesaian dan keupayaan kepercayaan dan keselamatan yang bukan sahaja dapat menyelesaikan isu-isu keselamatan buat rakyat Malaysia, tetapi juga di seluruh Asia Tenggara. Tatkala Grab mengukuhkan pelaburan globalnya dalam teknologi yang lebih maju, sains data, kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin untuk menjadikan tunggangan harian, pesanan penghantaran harian, urus niaga kewangan harian yang berlaku pada platform kami lebih selamat dan lebih terjamin berbanding sebelum ini, pasukan teknologi dan kejuruteraan Malaysia akan memainkan peranan penting dalam menetapkan piawaian tinggi untuk standard keselamatan di Asia Tenggara dan mencapai matlamat utama kami iaitu sifar kejadian yang boleh dicegah pada platform kami.
"Malaysia berbangga kerana ia menjadi lokasi bermulanya syarikat unikorn teknologi seperti Grab. Grab mewakili inovasi, kekukuhan, kreativiti dan minat tinggi terhadap perniagaan dan kerja keras – nilai-nilai yang disasarkan oleh Kerajaan untuk dipupuk dalam syarikat-syarikat teknologi Malaysia. Kami berasa gembira melihat Grab dapat menyumbang kembali kepada Malaysia dan menyatakan komitmen untuk memupuk bakat-bakat teknologi tempatan dan memudahkan pemindahan ilmu pengetahuan melalui pusat R&Dnya. Sebagai aplikasi super harian untuk rakyat Malaysia, Grab bukan sahaja memenuhi keperluan pengangkutan melalui tawaran e-panggilannya, tetapi turut memainkan peranan penting dalam memperkasa perniagaan-perniagaan tempata melalui platform penyerahan dan pembayarannya," kata Datuk Darell Leiking, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam majlis pelancaran tersebut. "Inilah yang benar-benar diperlukan oleh Malaysia untuk melangkah ke hadapan menuju matlamat ekonomi digital kami -- lebih banyak syarikat Malaysia yang telah berjaya di persada global untuk menyahut seruan jelas pihak Kementerian dalam membuat pelaburan berkualiti di tanahair demi memajukan negara, dengan mencipta peluang pekerjaan bernilai tinggi dan memupuk generasi usahawan Malaysia akan datang."
Beliau menambah, "Sememangnya pihak Kerajaan akan terus merangka transformasi digital Malaysia ke arah mencapai keteguhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat yang lebih hebat. Dalam konteks ini, Dasar Kebangsaan Industri 4.0 (Industry4WRD) dan Pelan Induk Strategik e-Dagang Kebangsaan (NeSR) merupakan rangka tindakan utama untuk 'menarik, mencipta dan mengubah'. Khususnya, ini memerlukan usaha untuk menarik teknologi-teknologi penggerak utama bagi mencipta ekosistem digital terbaik; mengubah sektor-sektor pembuatan dan perkhidmatan menjadi 'sektor-sektor tangkas' dan membolehkan usahawan-usahawan Malaysia menjadi 'sedia untuk e-dagang'. Oleh itu, pihak Kerajaan menggalakkan kolaborasi yang berterusan antara sektor-sektor awam dan swasta demi merealisasikan pelan tindakan yang dinyatakan dalam kedua-dua rangka tindakan, demi manfaat kita bersama."
"Pelaburan kukuh kami dalam menubuhkan Pusat Kecemerlangan Serantau dan Pusat R&D terkini kami di Malaysia adalah respons kami kepada gesaan kerajaan Malaysia terhadap perkongsian awam-swasta bagi membantu mendorong rangka tindakan Industri 4.0 dan cita-cita ekonomi digital Malaysia. Kami komited untuk membantu Malaysia memperoleh keuntungan ekonomi yang lebih besar dengan mencipta peluang pekerjaan bernilai tinggi, memupuk bakat teknologi mendalam dan menarik lebih ramai rakyat Malaysia di luar negara untuk pulang ke tanahair. Kami sentiasa mengingati asal usul kami memandangkan Malaysia menjadi lokasi kami menubuhkan Grab hampir tujuh tahun lalu dengan matlamat mudah untuk menyelesaikan masalah keselamatan pengangkutan. Kini, memandangkan kami telah berkembang melangkaui panggilan tunggangan untuk menjadi aplikasi super harian yang terkemuka di Asia Tenggara, adalah wajar untuk kami menyumbang kembali kepada negara di mana kami bermula," kata Sean Goh, Ketua Negara untuk Grab Malaysia.
"Pelaburan ini adalah melangkaui misi berterusan kami untuk menjadikan pengangkutan lebih mudah diakses dan lebih selamat buat semua, dan dalam masa yang sama, mencipta peluang menjana pendapatan yang lebih baik untuk pemandu kami dan rakan kongsi penyerahan kami dan membolehkan perniagaan tempatan untuk memanfaatkan kumpulan pelanggan serta jaringan pengedaran kami bagi memperoleh hasil perniagaan yang lebih tinggi. Banyak yang dapat kami lakukan untuk menambah baik kehidupan harian rakyat Malaysia dan kami ingin bekerjasama erat dengan kerajaan Malaysia untuk mewujudkan peraturan dan dasar yang saling menguntungkan yang membolehkan inovasi berkembang maju dan memberi manfaat dengan paling baik kepada penduduk Malaysia yang lebih luas," tambah Sean.
Grab komited untuk menyumbang kepada rangka tindakan Industri 4.0 Malaysia dalam segmen-segmen berikut:
Latar Belakang Grab
Grab ialah salah satu platform mudah alih O2O yang paling kerap digunakan di Asia Tenggara, menyediakan perkhidmatan harian yang paling penting buat pengguna. Berulang alik, menjamu selera, menghantar barangan beli belah dan membayar menggunakan satu e-dompet. Grab percaya bahawa setiap penduduk Asia Tenggara seharusnya mendapat manfaat daripada ekonomi digital dan syarikat ini menyediakan akses kepada pengangkutan, penyerahan makanan dan pakej, pembayaran mudah alih dan perkhidmatan kewangan yang selamat serta berpatutan. Kini, Grab menawarkan perkhidmatan di Singapura, Indonesia, Filipina, Malaysia, Thailand, Vietnam, Myanmar dan Kemboja. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.grab.com.