omniture

Penyelidikan dari XJTLU memajukan pemetaan pengubahsuaian RNA

Xi'an Jiaotong-Liverpool University
2019-03-22 18:06 1535

SUZHOU, China, 22 Mac 2019 /PRNewswire/ -- Para penyelidik dari Xi'an Jiaotong-Liverpool University telah melengkapkan ramalan resolusi tinggi bagi modifikasi transkriptom penuh m6A RNA, mewujudkan peta dunia yang paling tepat mengenai epitranskriptom m6A dengan jayanya.

Dipimpin oleh Dr Jia Meng dari Jabatan Sains Biologi, penyelidikan itu baru-baru ini diterbitkan dalam Nucleic Acids Research.

Dr Meng berkata hasilnya mungkin mempunyai implikasi yang berpotensi untuk pelbagai penyakit.

"Sukar untuk meramal penyakit mana yang akan mendapat manfaat daripada penyelidikan dalam pemetilan m6A RNA tetapi kajian menunjukkan bahawa enzim pemetilan m6A RNA memainkan peranan penting dalam leukemia, kanser paru-paru dan kanser payudara," ujar beliau.

"Sebagai lapisan asas pengawalaturan gen, saya tidak akan terkejut melihat pengawalaturan epitranskriptom melalui pemetilan m6A RNA boleh diubah semula memainkan peranan penting dalam banyak penyakit.

"Kanser terbukti menjadi perkara yang berpotensi untuk diteroka dengan lebih lanjut."

Dr Meng mengatakan RNA bermaksud asid ribonukleik - dikenali sebagai 'sepupu' DNA - dan modifikasi RNA m6A ialah sejenis modifikasi biokimia molekul RNA, yang boleh mengubah sifat biologi mereka dan mengawal ekspresi gen tanpa mengubah jujukannya.

"Sebelum ini ketepatan ramalan tapak modifikasi m6A RNA hanya boleh mencapai kira-kira 80 peratus menggunakan maklumat jujukan konvensional," ujar beliau.

"Apa yang kami dapati ialah dengan menambah 35 ciri genom tambahan, kami boleh meningkatkan ketepatan kepada 90 peratus, yang merupakan satu kemajuan besar."

Dr Meng mengatakan ia merupakan topik hangat dalam sains biologi hari ini, kerana terdapat lebih daripada 100 jenis modifikasi RNA yang berbeza, dan sebahagian besar fungsi mereka tidak diketahui.

Menurut Dr Meng, m6A merupakan yang paling banyak diperolehi dan mungkin menjadi yang paling berharga untuk dikaji.

Pasukan penyelidikan menggunakan pendekatan pembelajaran mesin ketika merancang peta epitranskriptom m6A, membentuk model ramalan berdasarkan ciri jujukan konvensional dan ciri genomik baharu untuk meramalkan lokasi tepat pada gen yang mungkin berkaitan dengan modifikasi RNA.

Pelajar PhD Kunqi Chen mengatakan ramalan yang lebih tepat dan pemahaman yang lebih baik mengenai tapak modifikasi RNA membolehkan saintis mengenal pasti enzim mana yang terlibat dalam proses itu dengan lebih mudah.

"Kajian kami menyumbang kepada kajian fungsi dan ciri genetik, dan hubungan antara gen dan beberapa penyakit manusia," kata beliau.

Source: Xi'an Jiaotong-Liverpool University
Keywords: Biotechnology Education Health Care/Hospital Higher Education Survey, Polls & Research STEM (Science,Technology,Engineering,Mathematics)