PENGERANG, Malaysia, 23 Oktober 2019 /PRNewswire/ -- Setelah melakarkan sejarah F1™ dengan gelaran berganda sebanyak enam kali berturut-turut, pemandu Mercedes-AMG PETRONAS Motorsport, Valtteri Bottas percaya: "Kita masih perlu untuk terus bekerja keras. Kunci untuk meraih kemenangan ialah kerja berpasukan."
Warga Finland ini (30), yang menyahut cabaran untuk Kejohanan Pemandu F1 di F1™ Mexican Grand Prix hujung minggu ini, diberi pratonton Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) – sebuah projek mega bernilai $27 bilion di Johor, dibina oleh Penaja Nama Acara dan Rakan Kongsi Teknikal pasukan Formula One, PETRONAS.
"Sejak saya menyertai dan mula mengetahui lebih lanjut tentang PETRONAS, saya amat kagum dengan etika kerja kakitangannya. Jelas sekali, itulah yang membantu membawakan hasilnya," kata Valtteri.
Valtteri diberi lawatan berpandu ke kompleks berkeluasan 6,239 ekar itu oleh Datin Anita Azrina Abdul Aziz, Ketua Pemegang Kepentingan, Bahagian Komunikasi dan Pengurusan Risiko di PETRONAS Refinery and Petrochemical Corporation (PRPC). Selepas mengunjungi Bangunan Kawalan Utama PIC, Gudang Hasil Pepejal dan Makmal Terpusat, Valtteri melihat sendiri teknologi inovatif yang akan membolehkan PETRONAS untuk membekalkan produk petrokimia tenaga dan komoditi di Asia sepanjang dua dekad akan datang.
"Mantera kami di PIC ialah Satu Pasukan, Satu Matlamat. Sama seperti di Mercedes-AMG PETRONAS Motorsport, kerja berpasukan dan pembangunan bakat merupakan asas kepada kejayaan sesuatu projek, maka apabila mengetahui bahawa kami berkongsi nilai-nilai ini adalah sesuatu yang benar-benar memberi inspirasi," kata Datin Anita.
Dr. Colin Wong, Naib Presiden Kanan PETRONAS serta Ketua Pegawai Eksekutif PRPC dan PRefChem mengulas, "Kami bercita-cita untuk berada di barisan hadapan teknologi dan inovasi merentas rantaian nilai tenaga dan PIC membawa kami lebih hampir ke kedudukan utama bagi mencapai matlamat ini. Kami berbangga dengan kemudahan baharu kami dan berasa seronok dapat memberi pratonton operasi luas kami kepada Valtteri."
Pelaburan hiliran terbesar PETRONAS di Malaysia, PIC diberi kedudukan untuk menjadi hab perindustrian minyak dan gas hiliran serantau dan akan membuka sempadan baharu teknologi dan pembangunan ekonomi di rantau Asia Tenggara.
Dengan kapasiti penapisan sebanyak 300,000 tong minyak mentah sehari, ia akan mengeluarkan pelbagai produk petroleum ditapis termasuk gasolin dan diesel yang memenuhi spesifikasi bahan api Euro 5. Kilang penapisan dan loji petrokimia terpilih dimiliki dan dikendalikan oleh Pengerang Refining and Petrochemical (PRefChem), satu pakatan strategik antara PETRONAS dan Saudi Aramco melalui perkongsian setara dalam dua buah syarikat usaha sama.
Untuk maklumat lanjut tentang PIC, sila kunjungi https://pic.petronas.com.
Video: https://youtu.be/7ozyOfzSbYQ