SINGAPURA, 4 Februari 2020 /PRNewswire/ -- Platform pasaran modal generasi seterusnya iSTOX melepasi pencapaian penting pada 1 Februari 2020 apabila ia bergraduasi daripada Sandbox Kawal Selia Fintech Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS).
ICHX Tech Pte Ltd (ICHX), pengendali platform iSTOX yang berpangkalan di Singapura, telah diluluskan oleh MAS sebagai pengendali pasaran diiktiraf (RMO) dan pemegang lesen perkhidmatan pasaran modal (CMS). Ini menjadikan iSTOX sebagai platform pasaran modal pertama yang menggunakan teknologi lejar teragih (DLT) bagi membawakan penerbitan, jagaan dan perdagangan bersepadu sekuriti digital untuk diluluskan dan dilesenkan oleh pengawal selia utama.
Satu Langkah Penting Ke Hadapan
"Ini merupakan satu pencapaian besar buat iSTOX dan juga industri kewangan secara keseluruhan," kata Danny Toe, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif ICHX. "Kami memulakan usaha ini hanya lebih dua tahun yang lalu sebagai suatu visi bagaimana pelaburan dapat dilakukan dengan lebih baik. Hari ini, kami benar-benar muncul sebagai sebuah institusi kewangan abad ke-21."
"Meskipun pasaran modal telah menyaksikan banyak perubahan dan inovasi selama bertahun-tahun, infrastruktur teras yang mendasarinya belum benar-benar berubah sejak kemunculan perdagangan elektronik berdekad-dekad yang lalu," kata Ketua Pegawai Operasi iSTOX Darius Liu. "Kami berbangga dapat membawakan platform operasi yang dapat memenuhi kehendak pasaran sambil mematuhi piawaian kawal selia yang mantap dan syarat-syarat pelesenan yang ditetapkan oleh MAS."
Ketua Pegawai Teknologi Kewangan MAS Sopnendu Mohanty memuji graduasi iSTOX sebagai suatu kejayaan untuk program berkenaan: "Kami berasa gembira kerana sandbox kawal selia telah membolehkan iSTOX untuk mengesahkan inovasi teknologinya bersama pelanggan sebenar dengan cara yang selamat," kata beliau. "Hal ini sekali lagi telah menunjukkan bahawa peraturan berkadar melalui eksperimen sandbox dapat memupuk inovasi dan membawa faedah-faedah baharu kepada pengguna serta industri kewangan. Kami berharap agar dapat meneruskan kolaborasi kami bersama penginovasi tatkala kami membina pusat kewangan pintar."
Chew Sutat, Pengarah Urusan Kanan dan Ketua Jualan & Pengasalan Global Singapore Exchange (SGX), berkata, "Pasaran modal di seluruh dunia sedang berkembang pada kadar yang pesat dan pasaran yang menerima inovasi dan menetapkan penanda aras baharu akan terbukti berjaya. Singapura telah lama menjadi hab teknologi kewangan bertaraf dunia, terkenal dengan persekitaran perniagaannya yang inovatif. Pengiktirafan iSTOX ini akan terus meningkatkan kedudukan pasaran modal Singapura di peringkat global."
Memandang Ke Hadapan Menuju 2020
Graduasi daripada sandbox MAS menandakan penyingkiran sekatan untuk iSTOX termasuk batasan saiz terbitan yang boleh dihoskan olehnya dan bilangan pelabur yang boleh disertakan.
"Kami berasa amat teruja kerana dapat bergraduasi daripada sandbox memandangkan kini kami beroperasi sepenuhnya dan melangkah ke hadapan pada kadar yang pantas," kata Ketua Pegawai Komersial Choo Oi Yee. "Selain daripada pembukaan pendaftaran untuk pelabur-pelabur terakreditasi dan institusi, kami bekerja keras untuk mengusahakan perancangan penerbitan yang menarik merentas kelas-kelas aset yang berbeza."
Memanfaatkan kuasa kontrak pintar yang canggih dan DLT bagi menyelaraskan proses penerbitan dan perdagangan, iSTOX membawa pasaran modal persendirian menuju abad ke-21. Dengan membolehkan pembeli serta penjual untuk berhubung terus, iSTOX dapat menyingkirkan halangan yang telah lama wujud yang telah menghalang kumpulan pelabur yang jauh lebih besar untuk mengakses peluang pasaran persendirian.
Dibandingkan dengan tempat perdagangan tradisional, iSTOX ialah alternatif yang lebih fleksibel, berpatutan dan inklusif serta menawarkan pilihan pelaburan yang sebelum ini tidak dapat diakses.
Pelabur-pelabur utama ICHX termasuk Singapore Exchange (SGX), bursa berbilang aset antarabangsa yang terkemuka di Asia; Heliconia, subsidiari Temasek Holdings yang memberi tumpuan untuk melabur dalam syarikat-syarikat yang berkembang pantas;
Tokai Tokyo Financial Holdings Jepun (melalui subsidiari Tokai Tokyo Global Investments); Kiatnakin Phatra Financial Group Thailand; dan Hanwha Asset Management Korea Selatan.
Mengukuhkan lagi ekosistem sekuriti digitalnya, ICHX juga telah menjalin perkongsian dengan firma-firma guaman Allen & Overy, Allen & Gledhill, Rajah & Tann dan Dentons Rodyk; bersama penasihat-penasihat kewangan korporat SAC Capital dan RHT Capital; serta firma perkhidmatan profesional PwC Singapore dan juga firma audit Deloitte.
PERISTIWA PENTING:
2018, SEPTEMBER: Singapore Exchange, bursa berbilang aset antarabangsa yang terkemuka di Asia dan Heliconia, subsidiari Temasek Holdings yang memberi tumpuan untuk melabur dalam syarikat-syarikat yang berkembang pantas, bersetuju untuk menyertai ICHX sebagai pelabur.
2019, MEI: ICHX diterima dalam Fintech Regulatory Sandbox MAS.
2019, SEPTEMBER: Kiatnakin Phatra Financial Group, sebuah bank pelaburan Thai yang terkenal dan perniagaan kekayaan persendirian perintis, bersetuju untuk menyertai ICHX sebagai pelabur.
2019, OKTOBER: Tokai Tokyo Financial Holdings (melalui subsidiari Tokai Tokyo Global Investments), firma perkhidmatan kewangan Jepun yang terkenal, bersetuju untuk menyerta ICHX sebagai pelabur.
2019, NOVEMBER: ICHX menyempurnakan penerbitan, jagaan dan perdagangan pertama di dunia bagi sekuriti berasaskan DLT yang dikawal selia pada platform bersepadu tunggal.
2020, JANUARI: Hanwha Asset Management, syarikat pengurusan aset komprehensif yang terkemuka di Korea Selatan, bersetuju untuk menyertai ICHX sebagai pelabur.
2020, FEBRUARI: ICHX bergraduasi daripada sandbox MAS sebagai RMO dikawal selia. ICHX turut dianugerahkan lesen CMS untuk menjalankan perniagaan dalam produk pasaran modal dan bagi menyediakan perkhidmatan jagaan.
Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi www.iSTOX.com
Foto - https://photos.prnasia.com/prnh/20200203/2709252-1?lang=0