omniture

iQIYI Lancar Stesen Pengujian Pengalaman Perkhidmatan dalam Pasaran Antarabangsa, Dengan Stesen Pengujian Pertama Beroperasi di Singapura

iQIYI, Inc.
2020-03-26 16:00 439

BEIJING, 26 Mac 2020 /PRNewswire/ -- iQIYI, Inc. (NASDAQ: IQ) ("iQIYI" atau "Syarikat"), perkhidmatan hiburan dalam talian inovatif yang terkemuka dalam pasaran di China, baru-baru ini melancarkan pelan operasi untuk stesen pengujian pengalaman perkhidmatannya ("Stesen Pengujian") dalam berbilang pasaran antarabangsa. Stesen Pengujian pertama memulakan percubaannya di Singapura pada penghujung tahun 2019 dan telah menjalani ujian dan memberi maklum balas kepada Syarikat berhubung pengalaman perkhidmatan. Stesen Pengujian yang serupa dalam pasaran-pasaran lain termasuk Thailand, Vietnam, Filipina dan Indonesia telah menjalani proses persiapan dan akan dilancarkan apabila tiba masanya.

"Penubuhan Stesen Pengujian pengalaman perkhidmatan dalam pasaran-pasaran tempatan membolehkan kami untuk menyesuaikan dengan persekitaran rangkaian dan teknologi tempatan dengan lebih baik," kata Ye Tao, Naib Presiden iQIYI. "Stesen Pengujian ini bukan sahaja akan dapat membantu iQIYI memahami dengan lebih baik mengenai pasaran tempatan, tetapi ia juga akan mengukuhkan pengalaman kami dalam mengurus senario atau isu di kawasan tertentu, satu komponen penting dalam penyetempatan perkhidmatan kami yang selanjutnya."

Pada masa kini, terminal-terminal yang serasi dengan Stesen Pengujian termasuk TV, komputer dan telefon pintar, manakala fungsi-fungsi yang diuji oleh Stesen Pengujian termasuk kelajuan membuka aplikasi, selain prestasi penstriman video, main balik dan ciri-ciri carian. Kaedah ujian ini melibatkan iQIYI memasang pelbagai peranti arus perdana dalam Stesen Ujian dan menghubungkan peranti berkenaan masing-masing kepada perkhidmatan pengendali tempatan yang berbeza. Ini membolehkan iQIYI untuk menguji pengalaman perkhidmatannya dalam persekitaran dan peranti rangkaian tempatan yang berbeza.

Sebagai contoh, untuk wilayah Singapura, jurutera iQIYI berupaya untuk menganalisis dan membandingkan tahap prestasi kandungan popular yang distrim antara waktu-waktu puncak dan waktu-waktu biasa dalam persekitaran rangkaian yang berbeza iaitu M1, StarHub, Singtel serta pengendali lain dengan menggabungkan platform data bingkai yang dibangunkan sendiri oleh Syarikat dan sistem pemantauan API.

Pada Jun 2019, iQIYI melancarkan secara rasmi Aplikasi iQIYI (Versi Antarabangsa) dan memulakan operasi global melalui penubuhan pasukan serta perkongsian tempatan dan menerima pakai model SaaS yang memperkasa sistem operasinya, iQIYI telah menjalin kerjasama dengan Astro, jenama media yang terkemuka di Malaysia untuk menyetempatkan perkhidmatan dan memenuhi keperluan pasaran. Dengan melancarkan Stesen Pengujian di Singapura dengan rancangan untuk memperkenalkan Stesen Pengujian dalam pelbagai pasaran yang lain, iQIYI dapat mengoptimumkan perkhidmatan produk tempatannya melalui ujian model dan analisis teknikal. Ini akan membolehkan syarikat untuk memperoleh pemahaman yang tepat mengenai keupayaan perkhidmatan dan pengalaman produknya dalam pasaran tempatan, lalu dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih baik.

Latar Belakang iQIYI, Inc. 

iQIYI, Inc. ialah perkhidmatan hiburan dalam talian inovatif yang terkemuka dalam pasaran di China. Ciri penting korporatnya menggabungkan bakat kreatif dengan teknologi, memupuk persekitaran untuk inovasi berterusan dan penghasilan kandungan blokbuster. Platform iQIYI membawakan kandungan asal yang amat popular, selain himpunan komprehensif melibatkan kandungan lain yang diterbitkan secara profesional, kandungan dihasilkan oleh rakan kongsi dan kandungan dihasilkan oleh pengguna. Syarikat membezakan dirinya dalam industri hiburan dalam talian menerusi platform teknologi utamanya yang dikuasakan oleh AI termaju, analitik data raya dan teknologi-teknologi proprietari teras yang lain. iQIYI menarik kumpulan pengguna yang amat besar dengan penglibatan pengguna yang hebat dan telah membangunkan model penjanaan pendapatan yang pelbagai termasuk perkhidmatan keahlian, perkhidmatan pengiklanan dalam talian, pengagihan kandungan, siaran langsung, permainan dalam talian, pelesenan IP, karya penulisan dalam talian serta e-dagang.

Source: iQIYI, Inc.
Related Stocks:
NASDAQ:IQ
Related Links:
Keywords: Computer/Electronics Entertainment Multimedia/Online/Internet New products/services