omniture

Think City: Langit Cerah apabila Paras Nitrogen Dioksida Berkurang Ekoran PKP

Think City
2020-04-17 00:30 354

KUALA LUMPUR, Malaysia, 17 April 2020 /PRNewswire/ -- Satu pengurangan yang dramatik dari segi paras nitrogen dioksida semakin dapat dilihat di Semenanjung Malaysia sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan pada 18 Mac 2020. Peta-peta yang dihasilkan oleh Jabatan Analitik Think City menggunakan data spektrometri satelit, menunjukkan bahawa langit yang menaungi Malaysia, terutamanya di seluruh Johor Bahru dan Kuala Lumpur, mempunyai paras nitrogen dioksida yang jauh lebih rendah hasil daripada emisi kenderaan.

Peta-peta ini menunjukkan paras nitrogen dioksida (NO2) di Semenanjung Malaysia pada 18 Mac-13 April 2019 (kiri) dan 18 Mac-13 April 2020 (kanan). Peta-peta ini dihasilkan oleh Think City daripada data spektrometri yang diperoleh daripada satelit Agensi Angkasa Eropah Copernicus Sentinel-5P.
Peta-peta ini menunjukkan paras nitrogen dioksida (NO2) di Semenanjung Malaysia pada 18 Mac-13 April 2019 (kiri) dan 18 Mac-13 April 2020 (kanan). Peta-peta ini dihasilkan oleh Think City daripada data spektrometri yang diperoleh daripada satelit Agensi Angkasa Eropah Copernicus Sentinel-5P.

Nitrogen dioksida terhasil daripada pembakaran bahan api fosil seperti arang batu, minyak dan gas, dengan kira-kira 80% terhasil daripada asap ekzos kenderaan bermotor. Menyedut gas ini mengakibatkan radang paru-paru dan membawa kepada masalah pernafasan sekali gus meningkatkan kemungkinan mendapat jangkitan. Pengurangan parasnya di Malaysia boleh dikaitkan secara langsung dengan orang ramai yang kurang bergerak, dengan penurunan penggunaan kenderaan bermotor. Pola yang serupa turut dapat dilihat di Eropah, China dan juga AS.

Pengarah Program Think City Dr Matt Benson berkata bahawa udara yang lebih bersih di bandar-bandar Malaysia merupakan konsekuen yang tidak disengajakan daripada Perintah Kawalan Pergerakan, yang berkaitan dengan pandemik COVID-19:

"Memandangkan kami telah dipaksa untuk duduk di rumah, bandar-bandar kami berubah dengan cara yang kami tidak terfikir boleh berlaku. Pemetaan perubahan dalam nitrogen dioksida oleh Think City antara masa sekarang dan waktu yang sama pada tahun yang lalu menunjukkan bahawa memandangkan warga Malaysia kurang bergerak lantaran PKP, terdapatnya pengurangan emisi daripada kenderaan. Hal ini jelas boleh dilihat sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia, yang mana seramai 20 juta orang menetap di sini."

Dr Benson menambah bahawa ekoran sifat bandar dan masyarakat yang rumit, data merupakan senjata yang penting bagi memerangi krisis COVID-19.

"Data bukan sahaja dapat membantu mengurus penyakit itu sendiri, tetapi juga dapat membantu kami menjejaki, malah merancang lebih awal, konsekuen sosial dan ekonomi," kata beliau.

Ketua Analitik Think City, Dr Ceelia Leong, berkata bahawa pasukan ini telah bekerja keras selama berminggu-minggu susulan PKP untuk menyusun data yang terkini daripada pelbagai kawasan berbeza untuk dianalisis dan dimasukkan ke dalam tindak balas dasar.

"Kami baru sahaja melancarkan alat pemetaan Ketahanan Komuniti COVID-19, yang meninjau beberapa pembolehubah sosial, ekonomi, malah persekitaran bagi memberi pandangan berhubung kawasan-kawasan yang mungkin memerlukan bantuan kesihatan awam, ekonomi atau kebajikan sosial tambahan," kata Dr Leong.

"Untuk sepanjang PKP dan selanjutnya, kami akan terus menggunakan alat pemetaan data, yang kami telah bangunkan sendiri, bagi menawarkan pandangan lebih lanjut mengenai impak COVID-19 terhadap Malaysia - bagaimana orang ramai menghadapinya serta tempat atau kumpulan yang memerlukan perhatian dan juga tindakan," tambah beliau.

"Kami juga akan melancarkan peta dan dapatan yang berkaitan secara berkala pada platform media sosial kami."

Alat Ketahanan Komuniti COVID-19 menggambarkan data yang menonjolkan tempat-tempat dan komuniti-komuniti yang paling terjejas oleh kesan-kesan akibat COVID-19 semasa dan mungkin berlaku di Malaysia. Alat ini dapat membantu pengguna memahami kerumitan kesan-kesan dengan menindihkan data sosioekonomi dan kesihatan yang berbeza bagi menilai kawasan dengan kerentanan lebih tinggi dan mengenal pasti komuniti yang kurang mendapat bantuan.

Alatan ini bertujuan untuk menyumbang kepada pembangunan strategi-strategi tindak balas peringkat nasional, negeri dan tempatan bagi meningkatkan daya tahan masyarakat yang mudah terjejas di Malaysia melalui peruntukan sumber yang berkesan.

Alat pemetaan Ketahanan Komuniti COVID-19 disediakan secara dalam talian melalui Portal Analitik Bandar Think City: https://thinkcity.com.my/urban-analytics/.

Latar Belakang Think City 

Think City ialah sebuah organisasi bermatlamat sosial yang berdedikasi untuk menjadikan bandar-bandar mesra penduduk dan berdaya tahan dengan menjadi pemangkin perubahan dari segi cara bandar-bandar dirancang, disusun atur, dibangunkan dan diraikan. Sebagai sebuah agensi pembinaan bandar serantau, Think City menyediakan pemikiran, pengurusan dan pelaksanaan dasar bandar bagi penyelesaian bandar di Asia Tenggara dan selanjutnya.

Ditubuhkan pada tahun 2009 untuk menerajui pembangunan semula bandar di George Town, impak dan kejayaannya telah membawa kepada peluasan ke Butterworth, Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Menerima pakai pendekatan yang mengutamakan komuniti dan berasaskan bukti, Think City memberi tumpuan pada empat komuniti amalan utama: Pembinaan Tempat, Ketahanan, Analitik dan Pemuliharaan. Memanfaatkan kedudukan mereka sebagai pihak berkecuali, Think City mendayakan sinergi antara sektor-sektor awam dan swasta, komuniti dan rakan kongsi antarabangsa. Mereka bersama-sama berusaha untuk melaksanakan projek yang dapat meningkatkan warisan, seni dan budaya, alam sekitar, ekonomi dan daya tahan bandar-bandar di rantau ASEAN. Think City menyambut Ulang Tahun ke-10 mereka dengan program acara dan projek sepanjang tahun. Untuk maklumat lanjut, kunjungi thinkcity.com.my

Pertanyaan media: 

Maya Tan -- maya.tan@thinkcity.com.my-- +60182212777 

Foto - https://photos.prnasia.com/prnh/20200414/2776402-1?lang=0

 

Source: Think City
Keywords: Computer/Electronics Environmental Products & Services Green Technology Survey, Polls & Research Data Analytics