JAKARTA, Indonesia, 8 Mei 2020 /PRNewswire/ -- Telkomsel mengumumkan kembalinya kejohanan eSukan yang terbesar di Indonesia, Indonesia Games Championship (IGC). Dunia Games Telkomsel bekerjasama dengan Garena untuk menganjurkan IGC 2020 yang bakal diadakan mulai Mei hingga September 2020. Kejohanan ini dijangka menggamit perhatian lebih daripada 32.000 peminat permainan mudah alih dari seluruh Indonesia yang akan bersaing bagi memenangi hadiah keseluruhan bernilai lebih Rp1.6 bilion. Pusingan kelayakan akan diadakan secara dalam talian bagi mengekalkan jarak fizikal sebagaimana yang dinasihati oleh pihak kerajaan Indonesia semasa pandemik COVID-19.
Pengarah Pemasaran Rachel Goh berkata, "Sebagai sebuah syarikat telekomunikasi digital, Telkomsel terus mengambil peranan sebagai pendorong ketersambungan semasa waktu yang mencabar ini melalui ekosistem digital yang inklusif dan mampan. IGC 2020 akan diadakan secara dalam talian, bagi membolehkan peserta menyumbang dalam perkembangan industri eSukan yang selanjutnya di Indonesia sekali gus mengekalkan jarak fizikal mereka yang selamat. Ini juga menunjukkan sokongan kami terhadap nasihat berterusan pihak kerajaan untuk membatalkan atau menangguhkan perhimpunan sosial semasa pandemik ini."
IGC 2020 dibuka untuk pasukan lelaki mahupun wanita, pemain amatur hingga profesional, membolehkan setiap orang untuk mencapai potensi mereka dan menyumbang kepada pembangunan industri eSukan di Indonesia. Terdapat dua genre permainan yang dipertandingkan, termasuk Arena Pertarungan Dalam Talian Berbilang Pemain (MOBA) dan Ikhtiar Hidup Medan Tempur, dalam bentuk permainan PC dan permainan mudah alih. Judul permainan yang akan dipertandingkan dalam kategori permainan PC ialah League of Legends. Sementara itu, permainan yang akan dipertandingkan dalam kategori permainan mudah alih ialah Free Fire, Call of Duty Mobile dan Arena of Valor.
Pendaftaran dibuka untuk peserta di seluruh Indonesia mulai 6 Mei hingga Jun 2020 melalui igc.duniagames.co.id. Pusingan kelayakan akan diadakan pada Julai dan Ogos 2020. Sejumlah lapan pasukan terbaik daripada setiap permainan (12 pasukan daripada Free Fire) akan dipilih untuk melangkah ke Peringkat Akhir pada September 2020. Kejohanan ini boleh distrim langsung melalui laman sesawang, media sosial dan YouTube Dunia Games serta aplikasi penstriman video Telkomsel.
"Kami berharap agar IGC 2020 dapat memenuhi harapan pemain terhadap hiburan semasa waktu yang belum pernah terjadi sebelum ini. Kami juga ingin terus mengadakan IGC secara berkala pada tahun-tahun akan datang bagi membawakan kemajuan yang lebih berkesan dan mampan dalam industri eSukan," simpul Rachel.
Kejohanan IGC juga telah diadakan pada tahun 2017 dan 2018. Lebih daripada 22.000 orang menyertainya dan berjuta-juta penonton menyaksikannya di saluran digital Dunia Games.
Foto - https://photos.prnasia.com/prnh/20200506/2796220-1?lang=0