omniture

Analisis Baharu Dedahkan Bagaimana Syarikat Tembakau Besar Eksploitasi Pandemik COVID-19 Iklankan Produk Memudaratkan dan Menagihkan

Campaign for Tobacco-Free Kids
2020-05-16 01:12 85

WASHINGTON, 16 Mei 2020 /PRNewswire/ -- Syarikat-syarikat tembakau dan e-rokok mengeksploitasi krisis COVID-19 dengan mengiklankan produk-produk mereka yang memudaratkan dan menyebabkan ketagihan di media sosial, melemahkan sekatan pembelian umur minimum yang bertujuan untuk melindungi belia dan membuat perakuan kesihatan yang tidak terbukti serta menyalahi undang-undang, menurut analisis baharu yang diterbitkan oleh Campaign for Tobacco-Free Kids. Analisis berkenaan termasuk taktik-taktik daripada syarikat tembakau besar, pembuat e-rokok dan kedai vape di 28 negara.

Di media sosial, Philip Morris International dan British American Tobacco – dua syarikat tembakau yang terbesar di dunia – menggunakan tagar "Stay at Home" popular yang dipromosikan oleh kerajaan dan pihak berkuasa kesihatan untuk memasarkan produk rokok haba seperti Glo dan IQOS serta e-rokok seperti Vype. Di Sepanyol, British American Tobacco telah menghantar foto yang mengiklankan e-rokok Vype yang diiringi dengan tagar #FrenaLaCurva (#FlattenTheCurve) manakala di Itali, Philip Morris menggunakan #DistantiMaVicini (#DistantButClose) untuk mengiklankan IQOS. Syarikat-syarikat ini turut mempromosikan siri muzik di rumah dan melancarkan video muzik eksklusif bagi mempromosikan produk tembakau secara dalam talian.

Di A.S., pembuat e-rokok dan kedai vape turut beralih ke media sosial untuk mempromosikan produk mereka dan meningkatkan jualan semasa berlakunya krisis COVID-19. Promosi berkaitan pandemik bermula dengan pelitup muka percuma dengan pembelian e-rokok hinggalah kepada menawarkan diskaun COVID-19 (mendapat potongan 19% untuk e-cecair nikotin dengan memasukkan kod COVID-19). Pembuat e-rokok juga mengambil kesempatan daripada pandemik ini dengan membuat perakuan kesihatan yang tidak terbukti dan menyalahi undang-undang mengenai e-rokok. Bidi Vapor mendakwa di Instagram bahawa "Sebatang bidi sehari dapat mengelakkan diri daripada bertemu ahli pulmonologi."

Di Kazakhstan, British American Tobacco menyediakan pelitup muka berjenama Glo kepada lebih sedozen pempengaruh Instagram yang menghantar foto mereka memakai pelitup muka tersebut – semuanya dengan keterangan foto yang sama yang mengiklankan pelitup muka Glo percuma (#glomask) dengan pembelian peranti Glo. Semua ini dan hantaran lain yang mengiklankan produk tembakau didokumentasikan dalam berpuluh-puluh negara, meskipun terdapatnya pengumuman Disember 2019 oleh Instagram dan Facebook bahawa platform-platform tersebut tidak lagi membenarkan pempengaruh untuk mempromosikan produk tembakau secara dalam talian.

Selain daripada promosi media sosial, Philip Morris telah mengecualikan pengesahan ID untuk penghantaran IQOS sekurang-kurangnya di sebuah negara dan merujuk krisis COVID-19 sekurang-kurangnya di 18 negara bagi mempromosikan tawaran istimewa dan penghantaran produk ke rumah.

"Syarikat-syarikat tembakau tidak akan berhenti menjual lebih banyak produk, walaupun ia bererti mengambil kesempatan tanpa segan silu terhadap pandemik ini," kata Matthew L. Myers, presiden Campaign for Tobacco-Free Kids. "Ia bukan sekadar Syarikat Tembakau Besar – kedai vape dan pembuat e-rokok telah merendahkan standard ke paras terendah baharu dengan menyasarkan golongan muda, mengelirukan pengguna dan menjual lebih banyak e-rokok. Ketika kami terus mempelajari lebih lanjut mengenai perkaitan yang memudaratkan antara COVID-19 dan penggunaan tembakau, taktik-taktik ini harus disedari oleh setiap negara seluruh dunia."

Pakar-pakar kesihatan awam telah memberi amaran bahawa perokok dan pengguna e-rokok menghadapi risiko yang lebih besar untuk menghidap penyakit yang teruk apabila berhadapan dengan COVID-19. Terdapat bukti kukuh bahawa tabiat merokok meningkatkan risiko jangkitan pernafasan, melemahkan sistem imun dan menjadi penyebab utama keadaan kesihatan kronik yang meningkatkan risiko terhadap COVID-19, termasuk penyakit paru-paru, penyakit jantung dan diabetes. Terdapat juga bukti yang semakin bertambah bahawa penggunaan e-rokok memudaratkan kesihatan paru-paru.

Untuk maklumat lanjut mengenai COVID-19 dan penggunaan tembakau, sila kunjungi: https://www.tobaccofreekids.org/problem/covid-19

Logo - https://mma.prnewswire.com/media/458701/campaign_for_tobacco_free_kids_logo.jpg

Source: Campaign for Tobacco-Free Kids
Keywords: Health Care/Hospital Tobacco Advocacy Group Opinion Children-related news MAT (Mature Audience) Public Interest