omniture

Mercedes-Benz dan CATL sebagai pembekal utama jalin kerjasama untuk kepimpinan teknologi bateri masa depan

- Hari ini Mercedes-Benz dan CATL mengumumkan perkongsian yang dipertingkatkan dalam bidang teknologi bateri
- Sedan mewah elektrik Mercedes-Benz EQS akan dilancarkan tahun hadapan dengan jarak WLTP lebih 700 km, dilengkapi dengan modul sel CATL
- Mercedes-Benz dan CATL akan bersama-sama meningkatkan pengindustrian bateri ion-litium di Jerman
CATL
2020-08-07 06:07 734

NINGDE, China, 7 Ogos 2020 /PRNewswire/ -- Mercedes-Benz dan Contemporary Amperex Technology Co., Limited (CATL)<300750.SZ> telah memasuki tahap yang seterusnya dalam perkongsian strategik mereka dan akan mencipta teknologi bateri yang canggih sebagai sokongan kepada pengelektrikan berjumlah tinggi dalam portfolio model Mercedes-Benz. Pembuat kereta mewah yang berpangkalan di Stuttgart ini mempercepatkan strategi "Electric First" ("Elektrik Diutamakan") dengan sel, modul, sistem bateri yang dihasilkan secara neutral CO2 dan canggih yang dibekalkan oleh CATL, peneraju teknologi bagi bateri ion-litium. Perjanjian berkenaan meliputi rangkaian penuh teknologi bateri, bermula daripada sel hinggalah modul untuk Mercedes-Benz Cars kepada seluruh sistem bateri untuk Mercedes-Benz Vans dengan konfigurasi teknologi inovatif yang meyakinkan. Ini juga termasuk reka bentuk sel-kepada-pek (CTP) CATL, yang menyingkirkan modul konvensional dan mengintegrasikan sel terus ke dalam bateri.

Kiri- Markus Schafer, Ahli Lembaga Pengurusan Daimler AG dan Mercedes-Benz AG; Kanan-Dr. Robin Zeng, Pengasas, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif CATL
Kiri- Markus Schafer, Ahli Lembaga Pengurusan Daimler AG dan Mercedes-Benz AG; Kanan-Dr. Robin Zeng, Pengasas, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif CATL

"Kami berhasrat untuk menerajui teknologi bateri, maka kini kami menggabungkan kepakaran penyelidikan dan pembangunan kami sendiri bersama rakan-rakan kongsi yang berani. Kami akan mengintegrasikan sistem bateri yang canggih bagi mencipta kereta mewah dengan julat luar biasa, kepantasan pengecasan, keselamatan dan kelestarian. Bekerjasama dengan CATL akan menyaksikan kami mempercepatkan transformasi kami ke arah keneutralan-karbon," kata Markus Schafer, Ahli Lembaga Pengurusan Daimler AG dan Mercedes-Benz AG, yang bertanggungjawab untuk Daimler Group Research dan Ketua Pegawai Operasi Mercedes-Benz Cars. "CATL akan menjadi pembekal utama yang menjamin kapasiti untuk produk EQ generasi seterusnya kami pada tahun-tahun akan datang."

"Mercedes-Benz ialah rakan kongsi yang istimewa dan penting untuk CATL. Kami berasa sangat gembira untuk meluaskan lagi dan menaik taraf perkongsian ini untuk pembangunan masa depan kedua-dua pihak. Mercedes mencipta kereta lebih daripada 130 tahun yang lalu dan telah membangunkan teknologinya menerusi inovasi yang tidak terkira banyaknya. Hal ini, digabungkan dengan kepakaran CATL dalam bateri, akan menjadi langkah penentu untuk strategi pengelektrikan kedua-dua pihak," kata Dr. Robin Zeng, Pengasas, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif CATL. "Kami bersama-sama berkolaborasi untuk membangunkan dan menyampaikan penyelesaian yang andal dan kompetitif bagi menggalakkan e-mobiliti seluruh dunia."

Pengelektrikan portfolio modelnya dengan teknologi bateri yang inovatif

Sel bateri merupakan aspek utama dalam sistem bateri yang sangat kompleks. Kimianya memberi sumbangan yang besar terhadap prestasi, jarak dan hayat perkhidmatan kenderaan elektrik. Melalui perkongsian strategiknya dengan CATL, Mercedes-Benz akan memajukan pembangunan bateri ion-litium yang terbaik dalam kelasnya pada masa kini dan masa depan. Kedua-dua rakan kongsi tersebut telahpun mula bekerjasama untuk generasi bateri akan datang untuk diperkenalkan dalam sebilangan kenderaan dalam beberapa tahun akan datang. Matlamat jelasnya adalah untuk memendekkan kitar pembangunan, meningkatkan dengan ketara rangkaian bateri akan datang melalui kemajuan dalam ketumpatan tenaga dan mengurangkan masa pengecasan. Bagi menjadikan pengelektrikan lebih menarik buat pelanggan dalam segmen mewah, matlamat yang ditetapkan adalah bercita-cita tinggi: Dengan sedan mewah EQS, yang akan disediakan kepada pelanggan pada tahun hadapan, matlamat pembangunan ialah julat jarak jauh lebih 700 km (julat WLTP) dan penggandaan kepantasan pengecasan berbanding model semasa. Mercedes-Benz EQS akan turut dilengkapi dengan modul sel CATL.

"Daimler akan terus mengukuhkan daya saing global dan meningkatkan kecekapannya melalui jalinan kerjasama dengan rakan-rakan kongsi yang mantap dan inovatif untuk meneruskan strategi masa depan kami, termasuk mobiliti elektrik. Di China, kami telah menjalin kerjasama yang kukuh bersama pengusaha-pengusaha industri dan teknologi utama selama bertahun-tahun yang telah menyumbang bukan sahaja terhadap momentum pertumbuhan kami yang kukuh tetapi juga membawa kecekapan dalam pengeluaran, pembelian serta penyelidikan dan pembangunan," kata Hubertus Troska, Ahli Lembaga Pengurusan Daimler AG, yang bertanggungjawab untuk Rantau Besar China. "Kini kami berasa sukacita kerana dapat membawa kerjasama kami bersama CATL, pengeluar bateri yang terkemuka di dunia dari China, ke tahap baharu dan akan mengintegrasikan lagi perkongsian ini ke dalam strategi 'Elektrik Diutamakan' kami dan pembangunan mampan. Kami percaya bahawa kerjasama sedemikian akan membolehkan Daimler untuk terus menggembirakan pelanggan kami dengan kepimpinan teknologi dan inovasi yang dipercepatkan."

Mercedes-Benz dan CATL komited untuk merekayasa dan menghasilkan bateri yang utama dari segi kualiti dan prestasi dengan jejak yang paling lestari sebaiknya.

Produk bateri daripada pengeluaran neutral-karbon 

Menerusi "Cita-cita 2039", Mercedes-Benz meneruskan wawasan jangka panjangnya untuk kumpulan kereta penumpang baharu neutral-iklim dan aktif memacu transformasi demi keneutralan CO2. Bagi meminimumkan jejak karbon untuk generasi kenderaan masa kini dan akan datang, rakan-rakan kongsi bersetuju dengan pengeluaran neutral-karbon produk-produk bateri. Bagi menjayakan usaha ini, CATL akan menggunakan pengelektrikan daripada sumber tenaga boleh diperbaharui seperti angin, solar dan kuasa hidro untuk pengeluarannya. Pada awal tahun 2020, Mercedes-Benz dan CATL telahpun melancarkan satu projek perintis bersama menggunakan teknologi rantaian blok bagi mewujudkan ketelusan terhadap emisi gas yang merosakkan iklim dan kadar bahan sekunder sepanjang rantaian bekalan sel bateri. Langkah seterusnya adalah untuk mengurangkan pergantungan terhadap perlombongan bahan mentah dengan ketara melalui kitar semula bateri akhir hayat.

"Dalam rangka kerja perkongsian strategik yang baru diwujudkan ini, CATL komited sepenuhnya terhadap matlamat kelestarian Mercedes-Benz AG termasuk 'Cita-cita 2039'. Ini termasuk pengeluaran mampan dengan tenaga boleh diperbaharui, jejak CO2 minimum dari segi logistik dalam seluruh rantaian bekalan dan menghormati semua aspek tanggungjawab sosial. CATL akan menjamin pengeluaran bateri neutral CO2 dan memaksimumkan pengurangan CO2 dalam rantaian bekalan bateri untuk Mercedes-Benz EQ generasi akan datang bermula dengan EQS," kata Zhou Jia, Presiden CATL. "Saya yakin bahawa perkongsian ini akan membuka peluang baharu untuk kedua-dua syarikat bagi mencipta perniagaan yang mampan dan mempercepatkan peralihan industri kami."

Pengindustrian teknologi utama di Jerman

Perkongsian strategik antara Mercedes-Benz dan CATL mempercepatkan pembangunan dan pengindustrian selanjutnya terhadap teknologi bateri yang canggih di Jerman. Dengan pembinaan kilang Thuringia CATL, CATL membangunkan sistem perkhidmatan Eropah bagi menawarkan Mercedes-Benz dengan produk yang lebih kompetitif, serta bekalan yang lancar. Ini akan membolehkan Mercedes-Benz meningkatkan lagi tahap penyetempatan dalam perolehan dan untuk membeli produk bateri daripada kilang CATL berhampiran Erfurt pada masa akan datang.

Latar Belakang CATL 

Contemporary Amperex Technology Co., Limited ("CATL") ialah peneraju global bagi pembangunan dan pembuatan bateri ion-litium, dengan perniagaan-perniagaan mencakupi penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembuatan dan penjualan sistem bateri untuk kenderaan tenaga baharu dan sistem simpanan tenaga. Pada tahun 2019, jumlah jualan bateri EV syarikat mencecah 40.25 GWj di seluruh dunia, menjadikannya sebagai peneraju dunia bagi jumlah penggunaan bateri EV tahunan (sumber SNE Research).

Beribu pejabat di Ningde, China, CATL mempunyai lebih 26,000 pekerja di seluruh dunia setakat tahun 2019 dan subsidiari-subsidiari di Beijing, Liyang (Wilayah Jiangsu), Xining (Wilayah Qinghai) dan Yibin (Wilayah Sichuan), serta di Munich (Jerman), Paris (Perancis), Yokohama (Jepun), Detroit (AS) dan Vancouver (Kanada). Di samping itu, syarikat ini memiliki dan mengendalikan kemudahan pembuatan bateri di wilayah Fujian, Jiangsu, Qinghai dan Sichuan serta di kilang Eropahnya yang terletak di Erfurt, Jerman, kilang luar negara pertamanya yang kini sedang dibina. Pada Jun 2018, syarikat ini berdagang secara terbuka pada Bursa Saham Shenzhen dengan kod saham 300750.

Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi http://www.catlbattery.com.

Sepintas lalu mengenai Mercedes-Benz AG

Mercedes-Benz AG bertanggungjawab untuk perniagaan global Mercedes-Benz Cars dan Mercedes-Benz Vans dengan lebih 173,000 pekerja di seluruh dunia. Ola Kallenius ialah Pengerusi Lembaga Pengurusan Mercedes-Benz AG. Syarikat ini memberi tumpuan pada pembangunan, pengeluaran dan penjualan kereta penumpang, van dan perkhidmatan. Tambahan pula, syarikat ini beraspirasi untuk menjadi peneraju dalam bidang ketersambungan, pemanduan automatik dan pemacu alternatif menerusi inovasinya yang berpandangan jauh. Portfolio produknya merangkumi jenama Mercedes-Benz berserta sub-jenama Mercedes-AMG, Mercedes-Maybach dan Mercedes me - selain jenama pintar dan jenama produk dan teknologi EQ untuk mobiliti elektrik. Mercedes-Benz AG ialah salah satu pengeluar yang terbesar bagi kereta penumpang premium. Pada tahun 2019, ia menjual hampir 2.4 juta kereta dan lebih daripada 438,000 van. Menerusi dua bahagian perniagaannya, Mercedes-Benz AG terus mengembangkan jaringan pengeluaran seluruh dunianya dengan lebih 40 tapak pengeluaran di empat benua, sekali gus menyelaraskan syarikatnya untuk memenuhi keperluan mobiliti elektrik. Dalam masa yang sama, syarikat ini membangunkan jaringan pengeluaran bateri globalnya di tiga benua. Tindakan mampan memainkan peranan penentuan dalam kedua-dua bahagian perniagaan. Bagi syarikat ini, kemampanan bererti mencipta nilai buat semua pemegang kepentingan secara berkekalan: pelanggan, pekerja, pelabur, rakan niaga dan masyarakat secara keseluruhan. Dasar untuk hal ini ialah strategi perniagaan Daimler yang mampan yang mana syarikat bertanggungjawab untuk kesan ekonomi, ekologi dan sosial aktiviti-aktiviti perniagaannya dan menumpukan perhatian pada seluruh rantaian nilai.

Hubertus Troska, Ahli Lembaga Pengurusan Daimler AG, bertanggungjawab untuk Rantau Besar China
Hubertus Troska, Ahli Lembaga Pengurusan Daimler AG, bertanggungjawab untuk Rantau Besar China

 

Zhou Jia, Presiden CATL
Zhou Jia, Presiden CATL

Foto - https://photos.prnasia.com/prnh/20200805/2877000-1-a?lang=0
Foto - https://photos.prnasia.com/prnh/20200805/2877000-1-b?lang=0
Foto - https://photos.prnasia.com/prnh/20200805/2877000-1-c?lang=0

 

Source: CATL
Related Stocks:
Shenzhen:300750
Keywords: Auto Computer/Electronics Electronic Components Environmental Products & Services Green Technology Transportation Contracts Licensing/marketing agreements