BEIJING, 26 Januari 2021 /PRNewswire/ -- Berlatarbelakangkan pandemik yang telah menjejaskan kesihatan awam global dan mengakibatkan dunia ekonomi mengalami kemelesetan yang mendalam, dunia pada tahun 2020 meninggalkan ramai orang hidup dalam ketakutan dan ketidakpastian dengan keadaan yang bertambah teruk ekoran cabaran baru muncul yang lain.
Keadaan kacau bilau yang dihadapi oleh dunia ketika ini serupa dengan keadaan pada empat tahun yang lalu apabila Presiden Cina Xi Jinping menyampaikan ucapan penting yang pertama oleh beliau di Forum Ekonomi Dunia (WEF) bagi menawarkan penyelesaian Cina kepada komuniti global.
"Kita harus meneruskan perjuangan," kata Xi kepada pemimpin-pemimpin global untuk membendung wabak COVID-19 di acara maya WEF bagi Agenda Davos pada hari Isnin. "Namun begitu, kami tetap yakin bahawa musim sejuk tidak dapat menghentikan kedatangan musim bunga dan kegelapan tidak pernah dapat menyelubungi cahaya subuh."
Bertemakan "Tahun yang Sangat Penting untuk Membina Semula Kepercayaan", acara tahun ini, yang berlangsung pada 25-29 Januari, bertujuan untuk membina semula kepercayaan dan membentuk dasar serta perkongsian yang diperlukan pada tahun 2021. Lebih daripada 1,500 pemimpin perniagaan, kerajaan dan masyarakat awam dari lebih 70 negara dan wilayah akan menetapkan agenda untuk tahun 2021.
China berkata bahawa ia berharap agar ucapan Xi pada tahun ini akan membantu mencapai kata sepakat global, membina semula kepercayaan global dan meningkatkan kerjasama global serta bersama-sama mencari penyelesaian untuk masalah global mendesak yang sedang dihadapi oleh masyarakat antarabangsa.
Xi berkata bahawa kerjasama global merupakan cara terbaik untuk menghapuskan pandemik ini serta krisis-krisis global yang lain. Dunia harus memperjuangkan multilateralisme dan membina sebuah komuniti dengan masa depan bersama untuk umat manusia, menurut presiden Cina, lantas menyatakan bahawa tiada masalah global yang dapat diselesaikan oleh sebuah negara sahaja.
"Seharusnya wujud tindakan global, tindak balas global dan juga kerjasama global," kata beliau.
Memudahkan mekanisme kerjasama dan perundingan global
China sentiasa menjadi pembela tegas dan pengamal aktif multilateralisme, dengan menyertai atau membina platform-platform multilateral.
Ia telah memulakan Forum Jalur dan Jalan untuk Kerjasama Global dan Ekspo Import Antarabangsa China serta menandatangani perjanjian perdagangan bebas yang terbesar di dunia, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada November tahun lalu.
Sewaktu dunia berdepan dengan tugas pemulihan ekonomi yang penting dalam era pasca pandemik, Xi berkata bahawa negara-negara seharusnya terlebih dahulu meningkatkan penyelarasan dasar makroekonomi mereka bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih kukuh dan lebih inklusif, dengan memanfaatkan G20 sebagai forum ulung untuk tadbir urus ekonomi global.
Ekonomi China berkembang sebanyak 2.3 peratus pada tahun 2020, lantas menjadikannya sebagai satu-satunya ekonomi utama yang menyaksikan pertumbuhan positif dengan ekonomi dunia dilumpuhkan oleh pandemik ini.
Agensi-agensi kewangan terkemuka, termasuk Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengharapkan China untuk memimpin usaha pemulihan makro global kerana dipercayai bahawa kuasa perbelanjaan pengguna Cina akan mendorong pemulihan berterusan negara berkenaan pada tahun 2021.
Di samping itu, Xi turut menyeru dunia untuk mengelakkan konfrontasi menggunakan alasan-alasan perbezaan dari segi sejarah, budaya mahupun sistem. Sebaliknya, dunia harus berpegang pada kerjasama berdasarkan faedah bersama dan menyelesaikan perselisihan melalui perundingan serta dialog.
Berusaha demi pembangunan seimbang untuk semua negara
Dengan dunia yang bergelut dengan pandemik ini, pemulihan ekonomi bagi negara-negara maju dan negara-negara sedang membangun mengikuti trajektori mencapah. Negara-negara sedang membangun dengan sumber yang sedikit, terutamanya yang dilanda pandemik ini, memerlukan bantuan segera agar dapat mengejar pemulihan global.
Dalam ucapan beliau, Xi menyeru dunia untuk menyediakan bantuan yang diperlukan dari segi sumber yang lebih banyak dan ruang untuk pembangunan negara-negara sedang membangun, demi kebaikan semua. "Kita harus menyedari bahawa dengan pertumbuhan negara-negara sedang membangun, kemakmuran dan kestabilan global akan dapat diletakkan pada tapak yang lebih kukuh dan negara-negara maju pula akan bersedia untuk mendapat manfaat daripada pertumbuhan sedemikian," kata beliau.
Presiden Cina turut mengingatkan bahawa dunia harus kekal komited terhadap undang-undang serta peraturan antarabangsa dan bukannya mencari kekuasaan sendiri. "Multilateralisme adalah mengenai hal ehwal antarabangsa yang ditangani melalui perundingan dan masa depan dunia diputuskan oleh semua pihak yang bekerjasama," kata beliau.
Masyarakat antarabangsa harus melindungi kepentingan pembangunan yang sah bagi negara-negara sedang membangun. Ia harus menjadikan usaha mengukuhkan hak, peluang dan peraturan sama rata sebagai matlamat jangka panjang agar semua negara akan mendapat manfaat daripada peluang dan hasil pembangunan, tambah beliau.
China mengulangi kerjasama berterusan demi kemakmuran bersama
Biarpun dengan pandemik ini, China berupaya untuk memajukan tugas-tugas domestiknya. Sepanjang 40 tahun yang lalu, China telah mencapai manfaat bersejarah dalam membasmi kemiskinan melampau, membebaskan lebih 800 juta orang daripada belenggu kemiskinan, yang mewakili lebih 70 peratus daripada pengurangan kemiskinan global.
Dari segi peranan China dalam menyumbang terhadap tahun yang serba baharu, Xi berjanji bahawa China akan bekerjasama dengan negara-negara lain untuk membina dunia yang bersifat terbuka, inklusif, bersih dan indah yang dapat menikmati keamanan berkekalan, keselamatan sejagat dan kemakmuran bersama. Beliau berjanji bahawa China akan memberi bantuan kepada negara-negara sedang membangun untuk membasmi kemiskinan, meringankan beban hutang dan mencapai pertumbuhan yang lebih banyak.
Ketika China memasuki peringkat pembangunan yang baharu, Xi berkata bahawa China akan mengikuti falsafah pembangunan baharu dan memupuk paradigma pembangunan baharu dengan peredaran domestik sebagai tunjang utama dan juga peredaran domestik serta antarabangsa saling mengukuhkan antara satu sama lain, lalu menyerlahkan potensi pasaran Cina yang besar dan juga permintaan domestik yang besar.
"Kami berharap agar usaha-usaha ini akan membawa lebih banyak peluang kerjasama untuk negara-negara lain dan memberi dorongan selanjutnya terhadap pemulihan dan pertumbuhan ekonomi global," kata Xi.
Artikel asal: di sini.