omniture

SC Johnson bantu Yayasan MyKasih menyantuni 800 keluarga kurang bernasib baik selepas banjir di Malaysia

Program bantuan tanpa tunai diaktifkan untuk membantu mangsa berdepan kesan banjir
SC Johnson
2021-03-22 10:24 62

KUALA LUMPUR, Malaysia, 22 Mac 2021 /PRNewswire/ -- Baru-baru ini, SC Johnson berkolaborasi dengan Yayasan MyKasih untuk membantu 800 orang mangsa banjir dari kawasan yang paling teruk terjejas di Pahang dan Johor, Malaysia.

"MyKasih amat berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh SC Johnson. Dengan bekerjasama ini, kami dapat menyediakan makanan dan barangan keperluan lain kepada mereka yang paling terjejas oleh banjir ini," kata Pengerusi dan Pengasas bersama Yayasan MyKasih, Tan Sri Dr Ngau Boon Keat.

SC Johnson menyumbang sebanyak RM200,000 bagi menyokong setiap keluarga dengan elaun secara one-off sebanyak RM250 melalui sistem pembayaran tanpa tunai yang dihubungkan kepada MyKad (Kad Pengenalan Malaysia). Benefisiari berpeluang untuk membeli barang makanan penting dan keperluan asas daripada antara jaringan luas rakan kongsi peruncit yang bekerjasama dengan Yayasan MyKasih seperti Mydin, Giant, The Store, Lotus Stores (dahulunya dikenali sebagai Tesco), AEON, Econsave, TF Value Mart dan 99Speedmart.

Apabila banjir melanda beberapa negeri awal tahun ini dan peningkatan kes Covid-19 menggesa PKP diperketatkan, masalah yang dialami oleh keluarga B40 seolah-oleh tidak akan pernah berakhir. Ramai yang kehilangan pekerjaan dan juga rumah mereka. Mangsa juga terdiri daripada mereka yang bekerja keras seharian dan terpaksa membina kehidupan baharu akibat banjir yang memusnahkan rumah mereka. Ramai yang memohon untuk mendapatkan bantuan, terutamanya bulan ini, bagi meringankan beban mereka daripada perbelanjaan besar yang perlu ditanggung oleh mereka sebagai persiapan kembalinya anak-anak ke sekolah.

Bantuan tunai ini membolehkan mereka yang kurang bernasib baik memilih sendiri barangan yang diperlukan dan membeli barangan tersebut hanya apabila diperlukan. Ini juga dapat meminimumkan pembaziran makanan dan menghapuskan risiko kesihatan dan keselamatan terhadap pekerja sosial dan sukarelawan yang sebaliknya harus membeli, membungkus dan menghantar bantuan makanan kepada benefisiari semasa banjir yang kritikal dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Keberkesanan program bantuan makanan MyKasih dikaitkan dengan ciri pengagihan kebajikan secara tanpa tunai. Program tersebut berjalan melalui teknologi cip proprietari pada MyKad yang membolehkan dana amal untuk disalurkan dengan cara yang selamat, bersasaran dan telus, terus kepada penerima yang layak melalui akaun MyKad mereka. Program bantuan makanan tanpa tunai ini boleh diaktifkan dari jauh, sesuatu yang amat cekap dan berkesan semasa pandemik ini.

Pengerusi dan Pengasas bersama Yayasan MyKasih, Tan Sri Dr Ngau Boon Keat berkata, "Ciri tanpa tunai program MyKasih membolehkan organisasi korporat dan organisasi bertujuan sosial yang lain bertindak ke atas rayuan sewaktu tempoh yang kritikal seperti bencana dan pandemik. Kami menjadikan sistem MyKasih tersedia untuk digunakan tanpa sebarang kos bagi membantu mobilisasi dana amal yang pantas buat mereka yang memerlukan. Semua sumbangan dipindahkan sepenuhnya kepada keluarga tanpa sebarang pertukaran wang tunai dengan tangan."

Inisiatif bantuan pasca banjir bukanlah satu-satunya program yang mana SC Johnson bekerjasama dengan Yayasan MyKasih. Kedua-dua organisasi berkenaan telah bekerja bersama-sama sejak tahun 2019, menyediakan dermasiswa pelajar tanpa tunai dan bantuan pendidikan lain (seperti projek robotik dan taman boleh makan akuaponik) kepada 250 orang pelajar yang kurang bernasih baik di Sekolah Kebangsaan Bangsar, Kuala Lumpur, melalui program dermasiswa 'Sayangi Sekolah Saya'.

Tentang SC Johnson

SC Johnson ialah sebuah syarikat keluarga yang mengkhusus dalam produk yang inovatif lagi berkualiti tinggi, kecemerlangan di tempat kerja dan komitmen jangka panjang terhadap alam sekitar dan komuniti di tempat ia beroperasi. Berpangkalan di AS, syarikat ini merupakan salah satu pengeluar yang terkemuka di dunia bagi produk pencucian rumah dan produk untuk penyimpanan di rumah, penjagaan udara, kawalan perosak dan penjagaan kasut, selain produk profesional. Ia memasarkan jenama-jenama terkenal seperti GLADE®, KIWI®, OFF! ®, PLEDGE®, RAID®, SCRUBBING BUBBLES®, SHOUT®, WINDEX® dan ZIPLOC® di A.S. dan selanjutnya, dengan jenama-jenama yang dipasarkan di luar A.S. termasuk AUTAN®, BAYGON®, BRISE®, KABIKILLER®, KLEAR®, MR MUSCLE® dan RIDSECT®. Syarikat yang berusia 134-tahun ini mempunyai kira-kira 13,000 kakitangan di seluruh dunia dan menjual produk hampir di setiap negara di seluruh dunia. www.scjohnson.com

Tentang MyKasih Foundation

Yayasan MyKasih ialah sebuah pertubuhan amal yang bermatlamat untuk membantu rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik melalui bantuan makanan dan pendidikan. Keunikan program MyKasih letaknya pada teknologi yang memacu pengagihan kebajikannya. Program bantuan makanan 'Sayangi Jiran Saya' MyKasih dan skim dermasiswa pelajar 'Sayangi Sekolah Saya' MyKasih berjalan melalui sistem pengagihan tanpa tunai cekap yang dibangunkan oleh DIV Services Sdn Bhd, subsidiari Dialog Group Berhad, yang menggunakan teknologi cip pada kad pengenalan rakyat Malaysia, MyKad dan kad pintar MyKasih untuk membayar bantuan kebajikan kepada benefisiari sasaran. MyKasih bergantung sepenuhnya pada sumbangan daripada badan awam dan korporat yang dikecualikan cukai, untuk membantu membiayai program kebajikan yang disebutkan di atas buat mereka yang kurang bernasib baik. Untuk maklumat lanjut, kunjungi  www.mykasih.com atau emel info@mykasih.com.

 

Source: SC Johnson
Keywords: Household Products Household/Consumer/Cosmetics Corporate Social Responsibility