omniture

Penyelidikan di barat laut Arab menemui salah satu siri struktur monumental tertua di dunia ketika AlUla mendedahkan butiran tentang hab global baharunya untuk arkeologi - Kingdoms Institute

Royal Commission for AlUla for Saudi Arabia
2021-04-30 21:12 2398

Kingdoms Institute – hab global AlUla untuk penyelidikan arkeologi dan pemuliharaan yang diumumkan awal bulan ini – menyediakan platform untuk penyelidikan rintis dan penemuan saintifik di Muzium Hidup Arab yang berkeluasan 22,000 kilometer persegi.

Kajian terperinci di AlUla dan seterusnya menemui salah satu tradisi bangunan monumental tertua yang masih belum dikenal pasti: 'Ini akan mengubah cara kita melihat masyarakat Neolitik.'

Para penyelidik melakukan tinjauan udara yang belum pernah berlaku sebelum ini terhadap AlUla dan wilayah sekitarnya serta diikuti dengan tinjauan darat yang meluas dan penggalian yang disasarkan.

ALULA, Arab Saudi, 30 April 2021 /PRNewswire/ -- Kingdoms Institute, pusat penyelidikan arkeologi dan kajian pemuliharaan di AlUla yang dilancarkan baru-baru ini, hari ini mengumumkan penemuan arkeologi yang penting di barat laut Arab Saudi: struktur monumental kompleks yang dikenali sebagai mustatil ini lebih purba daripada yang dipercayai sebelum ini. Berita terkini tersebut diketahui sewaktu ulang tahun pengumuman Wawasan 2030 Arab Saudi yang telah dilancarkan lima tahun yang lalu pada minggu ini dan Kingdoms Institute akan menjadi penyumbang utamanya.

Untuk melihat Siaran Berita Multimedia, sila klik: https://www.multivu.com/players/uk/8889651-alula-reveals-new-global-hub-for-archaeology-the-kingdoms-institute/.

Kajian dan kesimpulan ini akan diperincikan dan diterbitkan dalam jurnal kajian semula setara Antiquity pada 30 April 2021.

Kingdoms Institute yang dilancarkan pada awal bulan ini telah ditubuhkan di bawah naungan Suruhanjaya Diraja AlUla (Royal Commission for AlUla, RCU). RCU telah menjalankan program penyelidikan yang meluas di seluruh Wilayah AlUla yang memperluas pengetahuan tentang sejarah manusia kawasan ini sambil turut menjadi asas intelektual bagi institut ini sebagai hab global untuk penyelidikan dan pemuliharaan arkeologi.

Yang Mulia Putera Badr, Menteri Kebudayaan Arab Saudi dan Gabenor RCU berkata: "Diilhamkan daripada Wawasan Yang Teramat Mulia Putera Mahkota untuk melindungi sejarah yang berusia 200,000 tahun, legasi budaya AlUla diteruskan dengan Kingdoms Institute: sebuah hab global untuk pengetahuan, penyelidikan dan kerjasama yang meneroka sempadan arkeologi dan membuka kerjaya baharu untuk komuniti kami. Suatu tempat untuk penemuan dan perayaan sambil kami memperlihatkan sumbangan Arab kepada manusia."

Kajian terbesar setakat ini

Walaupun kewujudan mustatil telah diketahui sebelum ini, lebih 1,000 mustatil yang direkodkan oleh pasukan yang ditugaskan oleh RCU ini adalah lebih kurang dua kali jumlahnya berbanding yang telah dikenal pasti sebelum ini.

Pasukan dari University of Western Australia telah melakukan penyelidikan udara dan darat yang belum pernah berlaku sebelum ini dengan meninjau kawasan yang luas di wilayah tersebut secara penderiaan jauh dan helikopter. Setelah merakam kewujudan mustatil dari udara, pasukan tersebut kemudiannya menemui kira-kira 40 lagi pada aras bumi dan menggali sebuah mustatil – kesemuanya menjadikan kajian mustatil tersebut sebagai yang terbesar setakat ini. Struktur purba di padang pasir Arab ini menjadi bukti awal tentang aktiviti keagamaan.

Pentarikhan radiokarbon bagi tanduk dan gigi lembu yang ditemui di dalam ruang salah sebuah mustatil di AlUla berserta barangan lain yang kelihatan seperti telah digunakan sebagai persembahan keagamaan, mendedahkan tarikhnya pada Akhir Neolitik, milenia keenam SM.

Penyelidikan mustatil menjadi keutamaan RCU. Kempen penyelidikan arkeologi di seluruh AlUla serta penemuan mustatil tersebut, kini ditayangkan dalam siri dokumentari Discovery Channel, Architects of Ancient Arabia.

Pusat Penemuan                                              

Kingdoms Institute ditubuhkan sebagai sebuah pusat saintifik bertaraf dunia untuk penyelidikan arkeologi dan pemuliharaan yang mengkhusus kepada kajian sejarah dan prasejarah Semenanjung Arab dan bermatlamat untuk mengekalkan warisannya sebagai tempat pertemuan yang menghubungkan tiga benua, yang disokong oleh kerja lapangan di seluruh Wilayah AlUla yang merapatkan jurang sejarah alam semula jadi dan manusia di rantau ini.

Diilhamkan daripada peranan AlUla sebagai tempat pertemuan budaya serta kepentingan sejarahnya dalam pertukaran budaya dan perdagangan global, Kingdoms Institute akan menjadi pusat akademik serta platform budaya untuk pengetahuan, penerokaan dan inspirasi. Ia akan menjadi salah satu tonggak infrastruktur budaya di AlUla dalam Pelan Induk Perjalanan Merentasi Masa yang dilancarkan pada bulan ini.

Kingdoms Institute akan membantu memenuhi matlamat Wawasan 2030 untuk memajukan Arab Saudi sebagai masyarakat yang bertenaga, ekonomi yang berkembang maju dan sebuah negara yang beriltizam tinggi. Selain membangunkan sebuah hab global bagi sejarah Wilayah AlUla, Kingdoms Institute juga akan melatih ahli arkeologi generasi seterusnya Arab Saudi dan pemimpin masa depan institut ini serta membuka peluang baharu untuk para profesional muda di negara ini.

Bangunan tetap Kingdoms Institute merupakan suatu struktur batu pasir merah yang akan menggambarkan karya monumental peradaban Dadan dan akan membuka pintunya kepada pengunjung pertamanya menjelang tahun 2030. RCU menganggarkan institut ini akan menerima seramai 838,000 pengunjung setahun menjelang 2035, di bangunan tetapnya yang meliputi keluasan 28,857 meter persegi di lokasinya di Daerah Dadan, AlUla.

Bangunan tetapnya masih dalam peringkat perancangan, tetapi sebagai sebuah organisasi penyelidikan yang aktif sejak penubuhan RCU, lebih 100 orang ahli arkeologi telah menggali, meninjau dan menjalankan kajian yang berkaitan di seluruh AlUla sepanjang kerja lapangan bermusim. Koleksi tetap institut ini juga turut berkembang.

Walaupun mandat Kingdoms Institute meliputi sejarah manusia dan alam semula jadi AlUla yang berusia 200,000 tahun, iaitu 'era kerajaan-kerajaan' – era Kerajaan Dadan, Lihyan dan Nabata sekitar tahun 1000 SM hingga 106 M – akan menjadi tumpuan utama institut ini.

Skop institut ini merangkumi puluhan matlamat arkeologi dan pemuliharaan yang melibatkan gabungan pakar dari pelbagai disiplin yang bekerja di seluruh Wilayah AlUla. Sudah wujud usaha yang melibatkan pasukan daripada institusi Arab Saudi dan antarabangsa, termasuk King Saud University – yang telah melakukan penyediaan asas yang amat berharga di AlUla selama 15 tahun yang lalu – termasuk juga UNESCO, ICOMOS, Centre national de la recherche scientifique, Perancis, Deutsches Archäologisches Institut, Jerman dan University of Western Australia serta banyak lagi.

"Kami baru sahaja mula bercerita tentang kisah tersembunyi Kerajaan Purba Arab Utara," kata José Ignacio Gallego Revilla, Pengarah Eksekutif Arkeologi, Penyelidikan dan Pemuliharaan Warisan RCU. "Terdapat banyak lagi kisah seterusnya apabila kami mendedahkan betapa dalam dan luasnya warisan arkeologi kawasan ini, yang kurang mendapat pendedahan selama beberapa dekad lalu, tetapi akhirnya ia akan dipamerkan dengan sewajarnya di Kingdoms Institute."

Institut ini bukan sahaja akan mengupas lapisan sejarah yang mendalam dan pengaruh antara budaya AlUla melalui lensa penemuan arkeologi tetapi juga membangunkan program latihan, akademik serta vokasional kebangsaan dan antarabangsa yang menonjolkan kaedah dan teknik canggih, melabur secara mendalam terhadap generasi baharu pakar Arab untuk mengekalkan Kingdoms Institute bagi generasi seterusnya.

Kemajuan telah dilakukan melalui pelantikan Dr. Abdulrahman Alsuhaibani sebagai Pemangku Pengarah Muzium dan Pameran serta Munirah Almushawh yang merupakan ahli arkeologi wanita pertama yang menjadi pengarah bersama untuk sebuah projek arkeologi di Arab Saudi.

Dr. Rebecca Foote, Pengarah Penyelidikan Warisan Arkeologi dan Budaya RCU berkata: "Dengan pelbagai program penyelidikan yang sedang dijalankan, Wilayah AlUla menjadi kawasan yang paling aktif dilakukan penyelidikan arkeologi di Timur Tengah. Kami baru sahaja selesai meninjau kawasannya yang berkeluasan lebih 22,000 km persegi dari udara dan darat serta mencatatkan lebih 30,000 kawasan yang mempunyai arkeologi yang penting. Penggalian yang disasarkan di lebih 50 lokasi tersebut menyediakan data untuk memberi maklumat terutamanya tentang prasejarah terdahulu (sekitar 2,000-6,000 SM) dengan hasil yang mengejutkan seperti pemahaman baharu kami tentang mustatil."

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Kingdoms Institute dan Pelan Induk Perjalanan Merentasi Masa, sila layari https://ucl.rcu.gov.sa/

Untuk pertanyaan media, sila hubungi pasukan Perhubungan Awam RCU di publicrelations@rcu.gov.sa 

Tentang AlUla

Terletak sejauh 1,100km daripada Riyadh di barat laut Arab Saudi, AlUla merupakan tempat warisan manusia dan alam semula jadi yang luar biasa. Kawasan yang besar ini meliputi keluasan 22,561 km² yang terdiri daripada sebuah lembah oasis yang subur, pergunungan batu pasir yang menjulang tinggi serta tapak warisan budaya purba yang wujud sejak ribuan tahun dahulu.

Tapak yang paling terkenal dan diiktiraf di AlUla ialah Hegra iaitu Tapak Warisan Dunia UNESCO yang pertama di Arab Saudi. Hegra ialah sebuah bandar purba seluas 52 hektar dan merupakan bandar selatan yang utama bagi Kerajaan Nabata serta mempunyai hampir 100 makam yang terpelihara dengan baik dengan fakad terperinci yang dipotong menjadi singkapan batu pasir. Penyelidikan semasa menunjukkan bahawa Hegra merupakan kota kara Empayar Rom yang paling selatan setelah penaklukan Nabata pada tahun 106 SM.

Selain Hegra, AlUla memiliki sejumlah tapak-tapak bersejarah dan arkeologi yang menarik seperti: sebuah Kota Lama yang dikelilingi sebuah oasis purba iaitu Dadan, ibu negara Kerajaan Dadan dan Lihyan, yang dianggap sebagai salah sebuah bandar milenia pertama SM yang termaju di Semenanjung Arab; ribuan tapak dan inskripsi seni batu purba di Jabal Ikmah; dan stesen Kereta Api Hijaz.

Nota kepada editor:

Kingdoms Institute berbentuk jamak, bukan posesif.

Ia dieja sebagai AlUla / bukan Al-Ula

Tentang Suruhanjaya Diraja AlUla

Suruhanjaya Diraja AlUla (RCU) ditubuhkan oleh dekri diraja pada bulan Julai 2017 untuk memelihara dan membangunkan AlUla, sebuah wilayah yang mempunyai alam semula jadi yang luar biasa dan budaya yang signifikan di barat laut Arab Saudi. Pelan jangka panjang RCU menggariskan pendekatan yang bertanggungjawab, lestari dan sensitif terhadap pembangunan bandar dan ekonomi yang mengekalkan warisan semula jadi dan bersejarah di kawasan ini serta menjadikan AlUla sebagai lokasi yang menarik untuk didiami, bekerja dan dilawati. Ini mencakup pelbagai inisiatif yang merangkumi arkeologi, pelancongan, kebudayaan, pendidikan dan seni yang mencerminkan komitmen untuk memenuhi kepelbagaian ekonomi, pemerkasaan komuniti tempatan dan keutamaan pemeliharaan warisan dari program Wawasan 2030 Kerajaan Arab Saudi.

Foto: https://mma.prnasia.com/media2/1499035/kingdoms_institute_conceptual_design.jpg?p=medium600

 

The Kingdoms Institute will be a place of discovery, science and knowledge sharing with the local community and visitors from around the globe about the heritage and culture of the region.
The Kingdoms Institute will be a place of discovery, science and knowledge sharing with the local community and visitors from around the globe about the heritage and culture of the region.

 

Source: Royal Commission for AlUla for Saudi Arabia
Keywords: Amusement Parks and Tourist Attractions Art Computer/Electronics Education Entertainment Higher Education Travel Broadcast feed announcements Conservation/Recycling New products/services Survey, Polls & Research STEM (Science,Technology,Engineering,Mathematics)