BEIJING, 18 Mei 2021 /PRNewswire/ -- Lebih daripada 2,000 tahun yang lalu, Confucius berkata, "Yan Bi Xin Xing Bi Guo," yang bermaksud "seseorang harus menepati janjinya dan bersungguh-sungguh melaksanakan tugasnya."
"Tamadun Cina menegaskan bahawa 'Kata-kata harus ditunaikan, janji harus ditepati' dan 'Dalam kalangan orang yang tidak jujur, kebolehpercayaan boleh dipertikaikan,'" kata Presiden Cina Xi Jinping.
China tetap mematuhi ungkapan tersebut sepanjang proses pembangunannya dan rancangan lima-tahun negara ini yang bertindak sebagai contoh jelas dari segi bagaimana komitmen dipenuhi.
Janji ditepati
Diwujudkan setiap lima tahun sejak tahun 1953, rancangan lima-tahun, iaitu ciri utama dalam sistem pemerintahan China, menetapkan sasaran pertumbuhan serta menakrifkan dasar pembangunan. Kecuali dalam tempoh antara tahun 1963 dan 1965, sejumlah 13 daripada rancangan ini telah dibuat dan lebih penting, dilaksanakan.
Sebagai contoh, perjuangan negara ini dalam membasmi kemiskinan. Membebaskan kesemua penduduk luar bandar daripada belenggu kemiskinan menjelang tahun 2020 terdapat dalam Rancangan Lima-Tahun ke-13 China (2016-2020). Setelah lapan tahun mengusahakannya, kesemua iaitu hampir 100 juta penduduk luar bandar miskin China telah melepasi paras garis kemiskinan semasa menjelang tahun 2020.
China juga telah memenuhi komitmennya dalam hal ehwal global.
Sidang Kemuncak Copenhagen pada tahun 2009 menetapkan sasaran 2020 China bagi penggunaan tenaga bukan fosil pada 15 peratus dan melibatkan pengurangan intensiti karbon sebanyak 40 hingga 45 peratus berbanding tahun 2005. Statistik China bagi tahun 2019 masing-masing mencapai 15.3 peratus dan 48.1 peratus yang bererti negara ini telah melangkaui dan memenuhi sasaran tersebut lebih awal daripada yang dijadualkan.
Berbanding tahun 2005, emisi gas rumah hijau seunit KDNK menurun sebanyak 48 peratus menjelang tahun 2019 di China, menurut Kementerian Ekologi dan Alam Sekitar, lantas mencapai komitmen China terhadap sasaran 2020 lebih awal daripada yang dijadualkan.
Rancangan Lima-Tahun ke-14 China, janji baharu untuk ditepati
Pada tahun 2021, China memulakan perjalanan baharu ke arah pemodenan sosialis melalui Rancangan Lima-Tahun ke-14 (2021-2025).
Sasaran kukuh yang ingin dicapai sepanjang beberapa tahun akan datang termasuk mengekalkan kadar pengangguran bandar yang ditinjau di bawah 5.5 peratus dan mencecah pertumbuhan tahunan sebanyak 7 peratus dalam perbelanjaan untuk penyelidikan & pembangunan.
Negara ini turut berjanji untuk mengurangkan penggunaan tenaga bagi setiap unit KDNK sebanyak 13.5 peratus dan mengurangkan emisi gas karbon dioksida sebanyak 18 peratus untuk membina ekonomi hijau dan membuka laluan bagi mencapai matlamat emisi karbon jangka panjangnya menjelang tahun 2030.
"China akan berusaha untuk mencapai puncak emisi karbon dioksida sebelum tahun 2030 dan mencapai keneutralan karbon sebelum tahun 2060," kata Xi di Sidang Kemuncak Pemimpin-pemimpin pada bulan April.
Dengan rancangan bercita-cita tinggi sedemikian, kerja keras akan diperlukan untuk menunaikan janji berkenaan.
"Sepanjang tempoh Rancangan Lima-Tahun ke-14, kita perlu mematuhi falsafah bertumpukan rakyat yang membolehkan mereka menikmati hasil pembangunan. Kita harus berusaha dengan gigih untuk meningkatkan taraf hidup rakyat sekali gus menggalakkan pembangunan yang berkualiti tinggi. Kita juga harus lebih fokus pada isu-isu sara hidup yang umumnya lebih dibimbangi oleh rakyat dengan mengambil langkah-langkah yang lebih bersasaran, mendorong mereka maju ke hadapan satu persatu dan bekerja keras tahun demi tahun agar rakyat kita akan sentiasa memiliki rasa kepuasan, kebahagiaan dan keselamatan yang lebih kukuh," kata Xi.