omniture

Pemimpin Dunia Menyokong Pelan Enam Tahun Baharu untuk Mencapai Dunia Tanpa Polio Menjelang 2018

Global Polio Eradication Initiative
2013-04-26 09:33 150

-- Derma-derma yang diumumkan bakal membolehkan lebih daripada satu bilion kanak-kanak diberi vaksin

-- Program pembanterasan global akan berjalan serentak di pelbagai bidang bagi memperluaskan tumpuan untuk memperbaiki imunisasi kanak-kanak dan melindungi kutipan yang diperoleh setakat ini

-- Komitmen baharu oleh kerajaan dan dermawan merangsang usaha untuk memenuhi matlamat bajet pelan ini

ABU DHABI, Emiriah Arab Bersatu, 26 April 2013 /PRNewswire/ -- Hari ini, di Sidang Kemuncak Vaksin Sedunia, Inisiatif Pembanterasan Polio Sedunia (GPEI) membentangkan sebuah pelan enam tahun yang menyeluruh, pelan pertama untuk menghapuskan semua jenis penyakit polio – kes-kes yang diakibatkan oleh kedua-dua poliovirus liar dan terbitan vaksin – secara serentak. Pemimpin dunia dan dermawan-dermawan menunjukkan keyakinan mereka terhadap pelan itu dengan mendermakan hampir tiga suku daripada kos unjuran pelan itu sebanyak US$5.5 bilion dalam tempoh enam tahun. Mereka juga menyeru penderma-penderma lain untuk memberikan terlebih dahulu tambahan US$1.5 bilion yang diperlukan bagi memastikan pembanterasan.

Rancangan baharu ini mengambil kesempatan ke atas peluang terbaik untuk menghapuskan polio, dengan bilangan kanak-kanak yang lumpuh akibat penyakit ini pada tahap yang paling rendah: hanya 223 kes pada tahun 2012 dan hanya 19 kes setakat ini dalam tahun ini. Tindakan segera ini perlu diambil kerana wujudnya kemajuan-kemajuan hebat yang dicapai pada tahun 2012 dan jendela peluang yang sempit untuk merebut faedah daripada kemajuan itu dan menghentikan semua jangkitan poliovirus sebelum negara-negara bebas polio dijangkiti semula.

"Selepas berabad-abad lamanya menentang polio, pelan ini akhirnya menunjukkan harapan untuk kejayaan. Kini kita mempunyai pengetahuan baharu mengenai poliovirus, teknologi baharu dan taktik baharu untuk sampai kepada komuniti paling terdedah kepadanya. Pengalaman luas, prasarana dan pengetahuan yang didapati daripada pembanterasan polio boleh membantu kita sampai kepada semua kanak-kanak dan semua komuniti dengan perkhidmatan kesihatan yang penting," kata Ketua Pengarah Organisasi Kesihatan Sedunia, Margaret Chan.

Pelan baharu untuk menghapuskan polio, memperkuatkan sistem imunisasi dan perancangan untuk peralihan

Pelan Strategik Penghapusan dan Penamatan Polio 2013-2018 dibangunkan oleh GPEI dengan rundingan terperinci bersama pihak-pihak berkepentingan daripada pelbagai latar belakang. Pelan ini menggabungkan tauladan kejayaan India menjadi bebas polio pada awal tahun 2012 dan pengetahuan canggih tentang risiko peredaran poliovirus terbitan vaksin. Ia juga melengkapi Pelan Tindakan Kecemasan yang digubal khas dan telah dilaksanakan sejak tahun lalu dalam negara-negara yang masih endemik polio - Afghanistan, Pakistan dan Nigeria – termasuk pendekatan-pendekatan memberi vaksin kepada kanak-kanak di kawasan-kawasan kurang selamat.

Di Sidang Kemuncak yang diadakan hari ini di Abu Dhabi, para pemimpin dunia mengumumkan keyakinan mereka dalam kemampuan pelan tersebut untuk mencapai dunia bebas polio yang berkekalan menjelang tahun 2018 dan menjanjikan sokongan kewangan dan politik mereka bagi pelaksanaannya.

"Menamatkan polio bukan saja akan menjadi kejayaan bersejarah untuk umat manusia, tetapi juga merupakan sebahagian besar usaha kita untuk sampai kepada setiap kanak-kanak yang sukar dicapai dengan rangkaian vaksin yang mampu menyelamatkan nyawa," kata Pengarah Eksekutif UNICEF Anthony Lake.

Pelan ini menangani cabaran-cabaran pelaksanaan untuk memberi vaksin kepada kakan-kanak, termasuk dalam kawasan-kawasan bandar berkepadatan tinggi, kawasan-kawasan terpencil dan kawasan-kawasan yang kurang selamat. Pelan ini termasuklah penggunaan pengalaman penghapusan polio dan sumber-sumber bagi memperkuatkan sistem imunisasi di negara-negara berkeutamaan tinggi. Ia juga membentangkan sebuah proses untuk merancang bagaimana memindahkan sumber-sumber dan tauladan daripada GPEI, terutamanya untuk sampai kepada kanak-kanak dan komuniti yang lemah dan dipinggirkan, agar mereka boleh terus membantu usaha perkhidmatan kesihatan awam lain. Dianggarkan usaha GPEI untuk menghapuskan polio boleh menghasilkan jumlah faedah bersih sebanyak US$40-50 bilion menjelang tahun 2035 hasil daripada pengurangan kos rawatan dan keuntungan dalam produktiviti.

Pada awal bulan ini, dalam sebuah Deklarasi Saintifik untuk Pembanterasan Polio, lebih daripada 400 orang saintis dan pakar kesihatan global dari seluruh dunia menyokong pelan GPEI itu dan menyatakan semula keyakinan mereka bahawa sebuah dunia bebas polio boleh dicapai menjelang tahun 2018.

Para dermawan menyokong faedah melabur dalam penghapusan polio

Dalam kenyataan yang dibuat di Sidang Kemuncak itu, Bill Gates, pengerusi bersama Yayasan Bill & Melinda Gates, menekankan pelbagai faedah menghapuskan polio dan keperluan untuk menyediakan campurtangan kesihatan dan pembangunan kepada kanak-kanak terpinggir. Beliau juga menyeru penderma-penderma lain untuk tampil dengan komitmen jangka masa panjang untuk membiayai sepenuhnya pelan GPEI ini.

"Pelan ini bukan sekadar sebuah pelan pembanterasan polio, ia sebuah pelan imunisasi global dengan matlamat untuk menamatkan polio di samping memperbaiki usaha untuk melindungi semua kanak-kanak, termasuk yang paling lemah, dengan vaksin yang boleh menyelamatkan nyawa," kata Gates. "Kejayaan pelaksanaan pelan ini memerlukan pelaburan yang signifikan dalam masa yang terhad bakal menghasilkan sebuah dunia bebas polio dan menghasilkan dividen untuk generasi hadapan."

Gates mengumumkan bahawa yayasan beliau akan mendermakan satu pertiga daripada jumlah kos bajet GPEI itu untuk pelaksanaannya selama enam tahun, sejumlah $1.8 bilion. Dana itu akan diagihkan dengan matlamat untuk membolehkan GPEI mencapai semua objektif pelan tersebut dengan berkesan. Bagi menggalakkan penderma-penderma lain untuk membiayai jumlah baki kos itu, pendanaan Gates untuk 2016-2018 akan diluluskan bila GPEI mendapat pembiayaan yang memastikan sumbangan yayasan itu tidak melebihi satu pertiga daripada jumlah bajet untuk tahun-tahun tersebut.

Gates turut disertai oleh sekumpulan dermawan individu yang mengumumkan sokongan untuk pelaksanaan penuh pelan baharu ini. Jumlah yang dijanjikan oleh para dermawan untuk inisiatif polio ini memberi penambahan US$335 juta kepada bajet enam tahun pelan tersebut. Para penderma memuji kemajuan hebat yang dicapai dalam tahun lepas dan meluahkan keinginan mereka untuk membantu mengubah sejarah dan menamatkan polio sementara peluangnya masih ada. Para dermawan yang telah membuat komitmen termasuklah:

Yayasan Albert L. Ueltschi
Yayasan Alwaleed Bin Talal- Global
Kumpulan Dermawan Bloomberg
Yayasan Carlos Slim
Yayasan Dalio
Yayasan untuk Peluang Lebih Baik yang ditubuhkan oleh Carl C. Icahn
Yayasan Tahir

Sebuah pelan dibiayai sepenuhnya dan komitmen politik mampan akan melindungi sumbangan yang diperolehi setakat ini dan membolehkan GPEI mencapai objektif jangka pendek dan jangka panjang

Di Sidang Kemuncak itu, para pemimpin dari negara endemik polio mengulang penegasan fokus berterusan mereka untuk membanteras polio dan mengalu-alukan skop pelan tersebut yang lebih luas untuk memperbaiki sistem imunisasi.

Dengan memuji fokus lanjutan pelan itu untuk memastikan usaha penghapusan polio – sampai kepada kanak-kanak paling lemah di dunia – menyokong campurtangan kesihatan yang lebih luas, penderma sedia ada iaitu negara Kanada, Jerman, Norway dan UK, serta Nigeria, mengumumkan komitmen baharu menyokong objektif jangka masa panjang pelan tersebut. Duli Yang Teramat Mulia Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata EAB, mengumumkan derma kedua pembanterasan polio berjumlah US$120 juta, ditambah pada derma pertama yang dibuat oleh baginda dalam tahun 2011. Penderma-penderma lain termasuk Bank Pembangunan Islam, Ireland dan Jepun, membantu untuk mengumpulkan derma tambahan.

Rotary International, penderma utama untuk GPEI, menjanjikan komitmennya sehingga tahun 2018 untuk mengumpul dana dan menggerakkan sokongan strategi penamatan ini. "Bagi menghapuskan polio sepenuhnya, kita perlu bertindak segera supaya semua kanak-kanak dilindungi sepenuhnya dan negara-negara tersebut tidak akan dijangkiti semula," kata Presiden Rotary International Sakuji Tanaka. "Ini memerlukan komitmen pemimpin kebangsaan dan tempatan di mana polio masih wujud, sokongan berterusan dari negara penderma, dan komitmen kukuh daripada para pemvaksin yang berani."

GPEI bakal bekerjasama dengan para penderma dalam memastikan perjanjian ini menjadi komitmen dan juga pembayaran tunai dana tepat pada masanya agar program ini boleh melaksanakan pelan tersebut sepenuhnya.

Bajet perancangan sebanyak US$5.5 bilion untuk enam tahun ini memerlukan pengekalan perbelanjaan tahunan semasa untuk menghapuskan polio. Bajet perancangan baharu ini termasuklah kos untuk sampai dan memberi vaksin kepada lebih daripada 250 juta kanak-kanak beberapa kali setiap tahun, pengawasan dan pemantauan di lebih 70 buah negara, dan mendapatkan prasarana yang boleh memberi faedah kepada program-program kesihatan dan pembangunan lain.

"Hari ini kita mempunyai kes paling sedikit di tempat paling sedikit di dunia, menjadikannya satu peluang terbaik yang kritikal bagi dunia untuk menamatkan penyakit yang dahsyat tetapi boleh dihindari ini," kata Anne Schuchat, M.D., ketua Pusat Kesihatan Sedunia di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit A.S.

Nota kepada Editor:

Pelan ini dicipta oleh GPEI setelah rundingan terperinci dilakukan dengan pihak berkuasa kesihatan kebangsaan, inisiatif kesihatan global, pakar saintifik, penderma dan pihak berkepentingan yang lain. Ada empat objektif utama pelan ini: 1) Pengesanan dan Penyampukan Poliovirus; 2) Pengukuhan Sistem Imunisasi dan Penarikan Vaksin Polio Oral; 3) Pembendungan dan Pensijilan; dan 4) Perancangan Legasi.

Peredaran poliovirus terbitan vaksin: Dalam kes-kes yang jarang didapati, poliovirus hidup tetapi dilemahkan yang terdapat dalam vaksin polio oral mungkin akan bertukar secara genetik di dalam perut orang yang telah diimunisasi itu. Jika sesebuah populasi tidak diimun secara serius, virus itu boleh beredar dalam komuniti tersebut dan dirujuk sebagai peredaran poliovirus terbitan vaksin (cVDPV). Antara tahun 2000 dan 2011 -  satu tempoh di mana lebih daripada 10 bilion dos vaksin polio oral diberi di seluruh dunia – wabak cVDPV telah mengakibatkan 580 kes polio. Dalam tempoh yang sama, poliovirus liar telah melumpuhkan lebih daripada 15,500 kanak-kanak. Ketika populasi poliovirus liar berkurangan, nisbah cVDPV dalam komuniti berkeimunan rendah pula meningkat. Pelan baharu ini menggunakan pengetahuan canggih tentang virus-virus ini dan taktik-taktik baharu untuk meningkatkan imunisasi, termasuk pengenalan vaksin polio ternyahaktif dan menghentikan secara berperingkat penggunaan komponen vaksin polio oral yang mengakibatkan majoriti kes cVDPV. Jika sesebuah populasi terimunisasi sepenuhnya menentang polio, ia akan terlindung daripada penyebaran kedua-dua jenis poliovirus liar dan terbitan vaksin.

Sumber-sumber tambahan:

Senarai pecahan derma bagi bajet GPEI 2013-2018 – http://www.polioeradication.org/Financing.aspx

Ringkasan Eksekutif Pelan Strategik Pembanterasan dan Penamatan Polio –http://www.polioeradication.org/Portals/0/Document/Resources/StrategyWork/PEESP_ES_EN_A4.pdf

Fail Fakta Pelan Strategik Pembanterasan dan Penamatan Polio –http://www.polioeradication.org/Portals/0/Document/Resources/StrategyWork/GPEI_Plan_FactFile_EN.pdf

Sumber Media Sidang Kemuncak Vaksin Sedunia – www.globalvaccinesummit.org

Mengenai GPEI

Inisiatif Pembanterasan Polio Sedunia (GPEI), dilancarkan pada tahun 1988, dipelopori oleh kerajaan negara-negara, Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO), Rotary International, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) dan UNICEF, dan disokong oleh rakan-rakan kongsi penting termasuk Yayasan Bill & Melinda Gates.

Sejak pelancarannya, insiden polio telah berkurang lebih daripada 99 peratus. Dalam tahun 1988, lebih daripada 350,000 kanak-kanak lumpuh setiap tahun dalam lebih daripada 125 negara endemik. Hari ini, hanya tiga negara yang kekal endemik: Nigeria, Pakistan dan Afghanistan. Tahun lepas, kes-kes poliovirus liar berkurang daripada 650 kes dalam tahun 2011 kepada 223 kes sahaja, penurunan terbanyak dalam dekad ini. Sehingga 17 April, hanya 19 kes yang telah dilaporkan, penurunan sebanyak 60 peratus berbanding masa yang sama tahun lepas.

Source: Global Polio Eradication Initiative
Keywords: Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Not for profit