omniture

Yayasan Rockefeller Lancarkan Cabaran Membina Daya Ketahanan Lebih Tinggi 100 Bandar Seluruh Dunia

The Rockefeller Foundation
2013-05-15 17:46 249

- Cabaran 100 Bandar Berdaya Tahan Diumumkan pada Ulang Tahun ke-100 Yayasan

- Usaha Yayasan bernilai $100 juta untuk membina ketahanan bandar-bandar seluruh dunia

BANGKOK, 15 Mei 2013 /PRNewswire/ --  Bertapak dan berakar umbi dalam pelaburan inovasi selama seabad lamanya, dan merupakan peneraju dalam bidang ketahanan yang semakin berkembang, hari ini Yayasan Rockefeller mengumumkan komitmen $100 juta untuk membina ketahanan bandar bagi bandar-bandar di seluruh dunia. Cabaran Seabad 100 Bandar Berdaya Tahan Yayasan ini akan memilih seratus buah bandar di seluruh dunia dan membantu bandar-bandar ini dengan sokongan teknikal dan sumber bagi membangun dan melaksanakan pelan ketahanan bandar, serta membantu pengumpilan pembiayaan prasarana dengan nilai tambah berbilion dolar.

Dengan peningkatan kekerapan, impak dan skala kejutan dan ketegangan semula jadi dan buatan manusia yang mampu memberi kesan merentasi sistem dan kedudukan geografi, kebanyakan bandar tidak bersedia untuk memberi tindak balas, bertahan dan pulih semula daripada malapetaka. Beban paling berat daripada semua kejadian seperti ini, seperti impak perubahan iklim atau ancaman kesihatan orang awam, sering ditanggung oleh golongan yang lemah yang tidak berkemampuan untuk menghadapinya dan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih, mengganggu kehidupan dan meningkatkan jurang ketidaksamarataan. Oleh itu, terdapat keperluan segera untuk menumpukan pada ketahanan, bukan saja dari segi penyediaan diri dengan lebih baik untuk malapetaka seterusnya, tetapi juga meningkatkan kebajikan orang-orang miskin atau lemah di seluruh dunia.

"Pada hari ini seratus tahun yang lalu, Yayasan Rockefeller membuka pintunya dengan misi menggalakkan kebajikan manusia sejagat. Hari ini, kebajikan itu semakin bergantung kepada kemampuan kita untuk bersedia, bertahan dan muncul dengan lebih kuat daripada kejutan dan ketegangan dunia moden kita hari ini," kata Presiden Yayasan Rockefeller Dr. Judith Rodin. "Dengan lebih ramai orang yang tinggal di kawasan metro berbanding sebelum ini, bandar-bandar adalah tempat kritikal untuk mencapai matlamat ini. Pada awal abad kedua Yayasan Rockefeller, kita lihat ketahanan bandar sebagai sebuah idea yang sudah sampai masanya untuk dilaksanakan. Matlamat kita adalah agar Cabaran Seabad 100 Bandar Berdaya Tahan akan bertindak sebagai platform untuk tindakan yang lebih baik dalam menghasilkan dunia yang lebih berdaya tahan."

Melalui Cabaran Seabad 100 Bandar Berdaya Tahan, Yayasan Rockefeller menjemput bandar-bandar seluruh dunia untuk memohon dinamakan sebagai salah satu daripada 100 bandar berdaya tahan. Pemohon, di kalangan pegawai majlis perbandaran atau institusi besar dalam bandar tersebut, akan diminta untuk membentangkan gambaran jelas tentang bagaimana bandar mereka membuat pendekatan dan merancang untuk membina ketahanan yang lebih tinggi untuk bandar mereka yang memenuhi keperluan orang-orang miskin atau lemah. Para pemenang akan diumumkan dalam tiga pusingan sepanjang tiga tahun hadapan, dengan para pemenang pusingan terakhir diumumkan pada tahun 2015.

Setiap bandar yang menang akan menerima sokongan dalam tiga bentuk:

  • Sokongan untuk mencipta sebuah pelan ketahanan, bersama peralatan, sokongan teknikal, dan sumber untuk pelaksanaan. Yayasan Rockefeller akan mengatur kedudukan kepakarannya dalam pembiayaan inovatif bagi membantu bandar-bandar meningkatkan sokongan kewangan sektor swasta dan sektor awam untuk merealisasikan pelan-pelan mereka.
  • Keahlian dalam sebuah rangkaian baharu yang sedang dibina oleh Yayasan Rockefeller, Rangkaian 100 Bandar Berdaya Tahan, yang menyediakan sokongan kepada bandar-bandar yang menjadi ahlinya dan berkongsi pengetahuan baharu dan amalan terbaik ketahanan.
  • Sokongan untuk menggajikan seorang Ketua Pegawai Ketahanan (CRO). Pembentukan jawatan baharu yang inovatif ini adalah sebuah inovasi yang akan memastikan pembinaan dan koordinasi ketahanan adalah tanggungjawab khusus seorang pegawai khas dalam majlis perbandaran bandar itu. Para CRO juga boleh memantau pembangunan strategi ketahanan bandar tersebut dan menjadi sebahagian daripada rangkaian pembelajaran CRO lain sebagai perwakilan di Rangkaian 100 Bandar Berdaya Tahan

"Sebagai sebuah institusi yang membantu mencipta bidang perancangan bandar, Yayasan Rockefeller meneruskan warisannya dengan mempelopori pemikiran baharu tentang bandar-bandar dan kehidupan bandar yang menangani cabaran Abad ke-21, sebuah usaha yang sudah kukuh bertapak seluruh Asia," kata En. Ashvin Dayal, Pengarah Urusan Yayasan Rockefeller Asia yang berpusat di Bangkok. "Harapan kami adalah pelaburan dalam 100 bandar-bandar seluruh dunia akan memangkinkan bidang ini, dan bantuan memperoleh pembiayaan berbilion dolar dalam membangunkan prasarana dapat memastikan kawasan-kawasan bandar kita menjadi tempat yang menyediakan lebih banyak peluang serta lebih berdaya tahan untuk 100 tahun akan datang dan lebih lagi."

Selama lebih sedekad, Yayasan Rockefeller telah menjadi pelopor dalam bidang ketahanan yang semakin berkembang dalam kedua-dua konteks bandar dan luar bandar, membina ketahanan bandar untuk menghadapi perubahan iklim di Asia melalui Rangkaian Ketahanan Perubahan Iklim Bandar-Bandar Asia, melalui pelaburan dalam membina ketahanan kawasan luar bandar menghadapi perubahan iklim di Afrika, dengan memberi dana kerja-kerja perancangan menyeluruh di New Orleans selepas malapetaka Taufan Katrina, dan baru-baru ini dengan mengetuai Suruhanjaya Pasca Taufan Sandy Gabenor New York, Gabenor Cuomo, yang membentangkan sebuah pelan berani untuk membina ketahanan jangka panjang di New York.

"Yayasan Rockefeller telah menjadi rakan kongsi penting dalam membina semula New Orleans," kata Datuk Bandar New Orleans Mitch Landrieu. "Mereka adalah pemacu sempadan pemikiran dan tindakan ketahanan tercanggih. Majlis perbandaran berada di barisan hadapan perancangan boleh suai, dan sokongan inovasi dan kerjasama Rockefeller penting dan sukar ditemui dalam menjayakan pelaksanaannya. Wawasan Yayasan Rockefeller adalah suatu rahmat yang membantu bandar-bandar melibatkan diri dalam proses proaktif dalam memenuhi keperluan semua penduduk, membolehkan pertumbuhan masa depan, dan menyediakan kami dengan persiapan lebih baik untuk menguruskan cabaran yang mendatang. Saya tidak sabar-sabar lagi untuk menghantar nama New Orleans sebagai pemohon untuk  Cabaran Seabad 100 Bandar Berdaya Tahan."

Setiap bandar mempunyai visi tersendiri dan keperluan khusus dalam membina ketahanan dan akan memerlukan set sumber yang berbeza. Sesetengah tindakan pembinaan ketahanan termasuk membina kemampuan pengurusan kecemasan yang lebih kukuh dan sistem amaran awal hujung ke hujung, atau sistem saliran menyeluruh terkini bagi membolehkan pengurusan banjir dan sisa pepejal yang lebih baik. Bandar-bandar mungkin perlu menjadikan sistem kesihatan mereka lebih responsif, atau meningkatkan ekosistem bandar.

"Kami bangga kerana Durban telah menerajui usaha untuk membangunkan strategi yang menyeluruh membina ketahanan untuk berhadapan pelbagai risiko dan kerentanan yang sentiasa berubah-ubah, daripada perubahan iklim ke keselamatan sumber air, kehilangan biodiversiti dan urbanisasi pantas," ujar Datuk Bandar James Nxumalo dari Durban, Afrika Selatan yang baru-baru ini menjadi penganjur sidang kemuncak perubahan iklim dunia. "Daripada struktur majlis perbandaran kami hingga kepada cara kita mengagihkan sumber, membina ketahanan kini menjadi keutamaan yang mempengaruhi setiap keputusan, di segenap sektor. Kami mencapai perubahan besar status quo dalam masa beberapa tahun sahaja, dan hasilnya, kami menjadi lebih kuat. Kami belajar bahawa membina ketahanan dan kemampuan beradaptasi adalah sebuah proses dan bukannya suatu matlamat, dan saya pasti bahawa Cabaran 100 Bandar Berdaya Tahan Yayasan Rockefeller, yang penting dan diadakan tepat pada waktunya akan memberi perangsang bagi lebih banyak bandar untuk bertindak."

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Cabaran Seabad 100 Bandar Berdaya Tahan Yayasan Rockefeller, lawati www.100resilientcities.org.

Source: The Rockefeller Foundation
Keywords: Corporate Social Responsibility Not for profit Public Safety