omniture

Kongres EAN: COVID-19 membawa kepada masalah kognitif dan tingkah laku yang signifikan pada pesakit

European Academy of Neurology
2021-06-21 06:01 48

VIENNA, 20 Jun 2021 /PRNewswire/ -- Pesakit COVID-19 mengalami masalah kognitif dan tingkah laku dua bulan selepas dikeluarkan dari hospital menurut penemuan suatu kajian baharu yang dibentangkan pada Kongres Neurologi Akademi Eropah ke-7[1].

Isu-isu berkaitan masalah ingatan, kesedaran ruang dan memproses maklumat telah dikenal pasti sebagai potensi gangguan yang berpunca daripada virus tersebut pada pesakit pasca COVID-19 yang disusuli dalam tempoh lapan minggu.

Penyelidikan ini juga mendapati bahawa satu daripada 5 orang pesakit telah melaporkan gangguan tekanan pascatrauma dengan 16% daripadanya menunjukkan gejala kemurungan.

Kajian dari Itali ini melibatkan ujian kebolehan neurokognitif dan menggunakan imbasan otak MRI pesakit dalam tempoh dua bulan selepas mengalami gejala COVID-19. Lebih 50% daripada pesakit mengalami gangguan kognitif; 16% mempunyai masalah dengan fungsi eksekutif (fungsi memori pentadbiran, pemikiran fleksibel dan pemprosesan maklumat), 6% mengalami masalah visuospatial (kesukaran menilai kedalaman dan melihat perbezaan), 6% mengalami memori yang terjejas dan 25% menunjukkan gabungan kesemua gejala ini.

Masalah kognitif dan psikopatologi yang jauh lebih teruk dialami oleh golongan muda dengan sebahagian besar pesakit berumur di bawah 50 tahun menunjukkan masalah fungsi eksekutif.

Daripada keseluruhan sampel, tahap keparahan yang lebih tinggi pada gejala pernafasan akut COVID-19 ketika dimasukkan ke hospital dikaitkan dengan prestasi fungsi eksekutif yang rendah.

Selain itu, pemerhatian jangka panjang pada kohort yang sama pada bulan ke-10 selepas dijangkiti COVID-19 menunjukkan pengurangan gangguan kognitif daripada 53% kepada 36%, tetapi terdapat gejala kemurungan dan PTSD yang berterusan.

Ketua pengarang kajian ini iaitu Prof. Massimo Filippi dari Scientific Institute and University Vita-Salute San Raffaele, Itali menerangkan, "Kajian kami telah mengesahkan masalah kognitif dan tingkah laku yang signifikan berkaitan dengan COVID-19 dan ia berterusan selama beberapa bulan selepas redanya penyakit tersebut."

"Penemuan yang amat membimbangkan ialah perubahan kepada fungsi eksekutif yang kami dapati, yang menjadikan sukar bagi individu terbabit untuk menumpukan perhatian, merancang, berfikir dengan fleksibel dan mengingati sesuatu perkara. Gejala-gejala ini mengganggu tiga daripada 4 pesakit yang lebih muda yang berada pada tahap usia bekerja."

Dalam kajian ini, tiada perhubungan yang ketara diperhatikan antara prestasi kognitif dengan saiz otak.

"Kajian yang lebih besar dan susulan jangka panjang diperlukan, namun kajian ini mengesyorkan bahawa COVID-19 ada kaitannya dengan masalah kognitif dan psikopatologi yang signifikan," Dr Canu dari Hospital San Raffaele, Milan yang juga merupakan pengarang pertama kajian ini menyimpulkan. "Susulan dan rawatan yang sesuai adalah penting untuk memastikan pesakit yang pernah dimasukkan ke hospital ini diberikan sokongan yang mencukupi bagi membantu mengurangkan gejala ini."

1. Cognitive and behavioural features of a cohort of patients in COVID-19 post-acute phase. Dibentangkan pada Kongres EAN ke-7 2021.

 

 

Source: European Academy of Neurology
Related Links:
Keywords: Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Clinical Trials/Medical Discoveries