omniture

COVID-19 Dikaitkan Dengan Disfungsi Kognitif Jangka Panjang, Mempercepatkan Gejala Alzheimer

Alzheimer’s Association
2021-07-30 03:00 64

DENVER, 30 Julai 2021 /PRNewswire/ -- Banyak yang telah dipelajari tentang SARS-CoV-2, virus yang menjadi punca kepada koronavirus novel sejak bermulanya pandemik COVID-19. Walau bagaimanapun, persoalan utamanya adalah mengenai kesan jangka panjang virus itu ke atas badan dan otak kita. Penyelidikan baharu yang dilaporkan pada Persidangan® Antarabangsa Persatuan Alzheimer (AAIC) 2021 yang diadakan secara maya dan di Denver, Colorado, telah menemui perkaitan antara COVID-19 dan defisit kognitif yang berterusan, termasuk percepatan patologi dan gejala penyakit Alzheimer.

Selain daripada gejala pernafasan dan gastrousus yang mengiringi COVID-19, ramai orang yang menghidap virus itu mengalami simptom neuropsikiatri jangka pendek dan/atau panjang, termasuk kehilangan deria bau dan rasa serta defisit kognitif dan perhatian, yang dikenali sebagai "kabus otak." Bagi sesetengah orang, gejala neurologi ini berterusan dan para penyelidik berusaha untuk memahami mekanisme yang menyebabkan disfungsi otak ini berlaku dan apa maksudnya untuk kesihatan kognitif jangka panjang.

Pemimpin saintifik, termasuk Persatuan Alzheimer dan perwakilan dari hampir 40 buah negara — dengan panduan teknikal daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) — adalah sebahagian daripada konsortium antarabangsa pelbagai disiplin bagi mengumpul dan menilai kesan jangka panjang COVID-19 pada sistem saraf pusat, serta perbezaannya di antara negara. Dapatan awal daripada konsortium ini yang dibentangkan di AAIC 2021 dari Greece dan Argentina menunjukkan orang dewasa yang lebih lanjut usianya mengalami kemerosotan kognitif yang berterusan, termasuk kekurangan deria bau yang berterusan, selepas pulih daripada jangkitan SARS-CoV-2.

Hasil dapatan penting lain yang dilaporkan pada AAIC 2021 termasuklah:

  • Penanda biologi kecederaan otak, keradangan saraf dan Alzheimer mempunyai perkaitan kukuh dengan kehadiran gejala neurologi pada pesakit COVID-19.
  • Individu yang mengalami penurunan kognitif selepas jangkitan COVID-19 cenderung mempunyai oksigen yang rendah dalam darah selepas latihan fizikal yang singkat dan keadaan fizikal keseluruhan yang buruk.

"Data baharu ini menunjukkan trend menakutkan yang mempamerkan jangkitan COVID-19 membawa kepada kemerosotan kognitif yang berterusan, bahkan juga gejala Alzheimer," kata Heather M. Snyder, PhD, naib presiden perhubungan perubatan dan saintifik Persatuan Alzheimer. "Dengan lebih 190 juta kes dan hampir 4 juta kematian di seluruh dunia, COVID-19 telah membinasakan seluruh dunia. Adalah penting untuk kita terus mengkaji apa yang virus ini boleh lakukan kepada badan dan otak kita. Persatuan Alzheimer dan rakan kongsinya sedang meneraju, tetapi lebih banyak penyelidikan diperlukan."

Kemerosotan Kognitif Berhubung Kait dengan Kehilangan Deria Bau Berterusan pada Pesakit COVID-19 yang Telah Pulih
Gabriel de Erausquin, MD, PhD, MSc, dari Pusat Sains Kesihatan Universiti Texas di Fakulti Perubatan Long San Antonio, bersama-sama rakan sekerja daripada konsortium SARS-CoV-2 global di bawah pimpinan Persatuan Alzheimer, mengkaji kognisi dan deria olfaktori dalam satu kumpulan seramai hampir 300 orang dewasa Amerindia dari Argentina yang lebih lanjut usia yang telah dijangkiti COVID-19.

Para peserta telah dikaji antara tiga hingga enam bulan selepas jangkitan COVID-19. Lebih daripada separuh menunjukkan masalah berterusan melibatkan sifat pelupa, dan kira-kira satu daripada empat orang mempunyai masalah tambahan kognisi termasuk disfungsi bahasa dan pelaksanaan. Kesukaran ini dikaitkan dengan masalah berterusan dalam fungsi deria bau, tetapi bukan pada tahap yang sama teruknya pada waktu mula-mula dijangkiti COVID-19.

"Kami mula melihat hubungan yang jelas antara COVID-19 dan masalah melibatkan kognisi beberapa bulan selepas jangkitan," kata Erausquin. "Adalah penting untuk kami terus mengkaji populasi ini dan yang lain di seluruh dunia, bagi tempoh yang lebih lama untuk memahami kesan neurologi jangka panjang daripada COVID-19."

Jangkitan COVID-19 Berhubung Kait dengan Peningkatan Biopenanda Alzheimer di dalam Darah
Penanda biologi tertentu dalam darah — termasuk jumlah tau (t-tau), cahaya neurofilamen (NfL), protein asid fibrilari glia (GFAP), hidrolase terminal karboksil ubiquitin L1 ( UCH-L1), dan spesies amiloid beta (Aβ40, Aβ42) dan fosforilasi tau (pTau-181) — merupakan penunjuk kecederaan pada otak, keradangan saraf dan penyakit Alzheimer.

Bagi mengkaji kehadiran biopenanda darah ini, neurodegenerasi dan keradangan saraf pada pesakit yang lebih lanjut usia yang dimasukkan ke hospital kerana menghidap COVID-19, Thomas Wisniewski, MD, seorang profesor neurologi, patologi dan psikiatri di New York University Grossman School of Medicine berserta rakan sekerja telah mengambil sampel plasma daripada 310 orang pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke New York University Langone Health. Daripada jumlah tersebut, 158 pesakit adalah positif SARS-CoV-2 dengan gejala neurologi dan 152 adalah positif SARS-CoV-2 tanpa gejala neurologi. Gejala neurologi yang paling biasa adalah kekeliruan disebabkan oleh ensefalopati metabolisme toksik (TME).

Bagi pesakit yang pada awalnya normal secara kognitif yang menghidap TME dan tanpa TME yang berkaitan dengan jangkitan COVID-19, para penyelidik mendapati tahap t-tau, NfL, GFAP, pTau 181, dan UCH-L1 adalah lebih tinggi pada pesakit COVID-19 yang menghidap TME berbanding pesakit COVID-19 tanpa TME. Tidak ada perbezaan yang signifikan bagi Aβ1-40, tetapi nisbah pTau/Aβ42 menunjukkan perbezaan yang signifikan pada pesakit yang menghidap TME. Selain itu, tau, NfL, UCHL1, dan GFAP mempunyai hubung kaitan yang ketara dengan penanda keradangan seperti peptida C-reaktif, yang mungkin menunjukkan gangguan penghalang darah-otak yang berkaitan dengan keradangan, disertai dengan kecederaan saraf/glia.

"Penemuan ini menunjukkan bahawa pesakit yang menghidap COVID-19 mungkin mengalami percepatan gejala dan patologi yang berkaitan dengan Alzheimer," kata Wisniewski. "Walau bagaimanapun, penyelidikan yang lebih panjang diperlukan untuk mengkaji bagaimana biopenanda ini mempengaruhi kognisi dalam jangka panjang pada individu yang menghidap COVID-19."

Individu yang Telah Pulih daripada COVID-19 Yang Mengalami Penurunan Kognitif Lebih Cenderung Mengalami Keadaan Fizikal yang Teruk, Ketepuan Oksigen yang Rendah
George Vavougios, MD, PhD, penyelidik pascakedoktoran di Universiti Thessaly (UTH) dan rakan sekerjanya mengkaji kemerosotan kognitif dan langkah-langkah kesihatan yang berkaitan pada 32 orang pesakit COVID-19 bergejala ringan hingga sederhana yang pernah dimasukkan ke hospital, dua bulan selepas keluar dari hospital. 56.2% daripada mereka menunjukkan penurunan kognitif. Kemerosotan ingatan jangka pendek dan kemerosotan multidomain tanpa kekurangan ingatan jangka pendek adalah corak utama kemerosotan kognitif.

Skor ujian kognitif yang lebih teruk mempunyai perkaitan dengan usia, lilitan pinggang dan nisbah pinggang ke pinggul yang lebih tinggi. Setelah menyesuaikan usia dan jantina, skor ingatan dan pemikiran yang lebih teruk dikaitkan secara bebas dengan tahap ketepuan oksigen yang lebih rendah semasa ujian berjalan kaki selama 6 minit, yang biasanya digunakan untuk menilai keupayaan fungsian bagi individu yang menghidap penyakit kardiopulmonari.

"Otak yang kekurangan oksigen adalah tidak sihat, dan kekurangan yang berterusan boleh menyebabkan kesukaran kognitif," kata Vavougios. "Data ini menunjukkan beberapa mekanisme biologi biasa di antara spektrum diskognitif COVID-19 dan keletihan pascaCOVID-19 yang telah dilaporkan secara anekdot sejak beberapa bulan lepas."

Kohort ini juga merupakan sebahagian daripada konsortium SARS-CoV-2 global.

Tentang Persidangan Antarabangsa Persatuan Alzheimer (AAAIC)
Persidangan Antarabangsa Persatuan Alzheimer (AAIC) ialah perhimpunan penyelidik dari seluruh dunia yang terbesar yang memberi tumpuan kepada penyakit Alzheimer dan penyakit demensia yang lain. Sebagai sebahagian daripada program penyelidikan Persatuan Alzheimer, AAIC berfungsi sebagai pemangkin untuk menjana pengetahuan baharu tentang demensia dan memupuk komuniti penyelidikan yang penting dan sama taraf.
Laman utama AAIC 2021: www.alz.org/aaic/
Bilik berita AAIC 2021: www.alz.org/aaic/pressroom.asp
Tanda pagar AAIC 2021: #AAIC21

Tentang Persatuan Alzheimer
Persatuan Alzheimer menjadi peneraju dalam usaha menyembuhkan penyakit Alzheimer dan semua jenis demensia yang lain — dengan mempercepat penyelidikan global, mendorong pengurangan risiko dan pengesanan awal, serta memaksimumkan penjagaan dan sokongan yang berkualiti. Visi kami adalah dunia tanpa Alzheimer dan lain-lain demensia. Layari alz.org atau hubungi talian bantuan 24/7 di 800.272.3900.

  • Gabriel de Erausquin, MD, PhD, MSc, dan lain-lain. Disfungsi olfaktori dan kemerosotan kognitif kronik berikutan jangkitan SARS-CoV-2 dalam sampel orang dewasa yang lebih lanjut usia dari Pergunungan Andes Argentina. (Penyumbang Dana: Persatuan Alzheimer; Fundación de Lucha contra los Trastornos Neurológicos y Psiquiátricos en Minorías (FULTRA); Zachry Foundation Distinguished Chair of Alzheimer's Clinical Care and Research; Greehey Family Foundation Distinguished University Chair of Alzheimer's Research)
  • Thomas Wisniewski, PhD, dan lain-lain. Biopenanda Plasma Neurodegenerasi dan Keradangan Saraf dalam kalangan Pesakit COVID-19 yang Dimasukkan Ke Hospital yang Bergejala dan Tanpa Gejala Neurologi Baharu (Penyumbang Dana: Institut Kesihatan Nasional/Institut Penuaan Nasional)
  • George Vavougios, MD, PhD, dan lain-lain. Menyelidik keluasan kemerosotan kognitif dalam kalangan pesakit COVID-19 bergejala ringan dan sederhana, dua bulan selepas keluar hospital: perkaitan dengan kecergasan fizikal dan fungsi pernafasan. (Penyumbang Dana: Biasiswa Kerangka Rujukan Strategik Nasional (NSRF) 2020)

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1579813/Alzheimers_Association_International_Conference_2021_Logo.jpg?p=medium600

 

Source: Alzheimer’s Association
Related Links:
Keywords: Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Mental Health Senior Citizens Survey, Polls & Research