BEIJING, 21 September 2021 /PRNewswire/ -- Pada hari Jumaat, China menyeru negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) untuk mengukuhkan perpaduan dan kerjasama serta membangunkan komuniti SCO yang lebih erat dengan masa depan yang dikongsi bersama.
Menyedari bahawa tahun ini merupakan ulang tahun ke-20 penubuhan SCO, Presiden Cina Xi Jinping meninjau sejarah kerjasama SCO dan memberi cadangan untuk pembangunan masa depannya di mesyuarat ke-21 Majlis Ketua-ketua Negara SCO. Sidang kemuncak tersebut diadakan di Dushanbe, Tajikistan yang memegang jawatan presiden SCO bergilir pada tahun 2021.
Berucap di sidang kemuncak di Beijing melalui pautan video, Xi menyeru negara-negara anggota SCO untuk meningkatkan kolaborasi berhubung isu-isu yang berkaitan dengan Afghanistan dan menggalakkan peralihan yang lancar di negara berkenaan.
SCO akan melancarkan prosedur untuk memasukkan Iran sebagai negara anggota manakala Arab Saudi, Mesir dan Qatar sebagai rakan dialog yang baharu pada hari Jumaat, kata presiden Cina.
Usaha untuk membina 'jenis hubungan antarabangsa baharu'
Penubuhan SCO telah diumumkan pada 15 Jun 2001 di Shanghai oleh Kazakhstan, China, Kyrgyzstan, Rusia, Tajikistan dan Uzbekistan. India dan Pakistan menyertai blok ini pada tahun 2017, menjadikan jumlah negara anggota kepada lapan.
Presiden Xi memuji "pertumbuhan memberangsangkan" SCO dan "kerjasama membuahkan hasil yang saling memberi manfaat" antara negara-negara anggotanya sepanjang dua dekad yang lalu.
"Berpandukan Semangat Shanghai menerusi kepercayaan bersama, faedah bersama, kesaksamaan, perundingan, menghormati kepelbagaian peradaban dan mengejar pembangunan bersama, SCO berusaha untuk menggalakkan keamanan dunia, pembangunan serta kemajuan insan dan untuk menerokai bidang baharu, baik secara teori mahupun dengan langkah-langkah sebenar, dengan tujuan untuk membina jenis hubungan antarabangsa yang baharu dan komuniti yang mempunyai masa depan yang dikongsi bersama buat umat manusia," kata presiden Cina.
Negara-negara anggota SCO bersama-sama menggalakkan kepercayaan politik bersama, menjamin keselamatan dan kestabilan, mengejar kemakmuran dan pembangunan serta menegakkan keadilan antarabangsa, tambah beliau.
"Kami merupakan yang mula-mula menyeru untuk memerangi keganasan, fahaman pemisahan dan fahaman pelampau," kata Xi, yang menekankan kerjasama antara negara-negara anggota SCO dalam membendung penularan pengedaran dadah dan melaksanakan usaha pencegahan keganasan serta operasi kawalan sempadan.
'Komuniti SCO lebih erat dengan masa depan bersama'
SCO telah mencapai "titik permulaan bersejarah yang baharu" setelah 20 tahun menjalani pembangunan, kata Presiden Xi, menyeru usaha untuk "membina komuniti SCO yang lebih erat dengan masa depan bersama" dan memberi sumbangan selanjutnya terhadap keamanan global dan kemakmuran bersama yang berkekalan.
Pertubuhan ini harus kekal komited untuk meningkatkan perpaduan dan kerjasama, memelihara keselamatan bersama, menggalakkan keterbukaan dan integrasi, mendorong interaksi dan pembelajaran bersama serta menegakkan kesaksamaan dan keadilan, kata beliau.
Presiden Cina menyeru negara-negara anggota SCO untuk meningkatkan dialog dasar, komunikasi serta penyelarasan dan menghormati keprihatinan sah antara satu sama lain menerusi kerjasama mereka agar dapat memastikan pertubuhan ini "berada di laluan pembangunan yang mantap".
"Kita harus mengekalkan keyakinan teguh dalam sistem kita, menolak ceramah yang merendah-rendahkan pihak lain dan menyokong dengan padu negara-negara dalam meneroka laluan pembangunan serta model tadbir urus yang sesuai dengan keadaan negara mereka," kata beliau. "Kita harus memastikan masa depan pembangunan dan kemajuan negara-negara kita teguh di tangan kita sendiri."
'Tugas paling mendesak'
Menegaskan bahawa perjuangan memerangi COVID-19 kekal menjadi "tugas yang paling mendesak", Presiden Xi menyeru usaha bersama antara negara-negara anggota untuk mempererat kerjasama dalam memerangi pandemik ini, menggalakkan pengagihan vaksin yang adil dan saksama serta menentang dengan tegas sebarang tindakan yang mempolitikkan pengesanan asal usul COVID-19.
China menyediakan kira-kira 1.2 bilion dos vaksin yang telah siap dan pukal kepada lebih 100 negara dan organisasi antarabangsa, kata beliau, menambah bahawa China akan menggiatkan usaha untuk menyediakan sejumlah dua bilion dos kepada negara-negara lain tahun ini.
Bagi memudahkan pemulihan ekonomi pasca-COVID di kawasan ini, China akan berusaha untuk mencapai perdagangan kumulatifnya sebanyak $2.3 trilion dengan negara-negara SCO yang lain dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Xi.
China akan turut menyediakan 1,000 peluang latihan dalam pembasmian kemiskinan untuk negara-negara SCO yang lain dalam tempoh tiga tahun akan datang, umum beliau.
Kerjasama SCO berkaitan Afghanistan
President Xi menyeru tindakan yang tegas daripada negara-negara anggota SCO untuk memerangi keganasan, fahaman pemisahan dan fahaman pelampau termasuk Pergerakan Islam Turkestan Timur (ETIM).
Mengulas mengenai "cabaran berat" yang dihadapi oleh Afghanistan selepas pengunduran tentera asing, beliau menyeru negara-negara anggota SCO untuk memanfaatkan sepenuhnya platform-platform seperti SCO-Afghanistan Contact Group dan memudahkan peralihan yang lancar di negara berkenaan.
"Kita perlu menggalakkan Afghanistan untuk menyediakan kerangka politik yang luas dan inklusif, mengamalkan dasar domestik dan asing yang berhemah dan sederhana, memerangi dengan tegas segala bentuk keganasan, menjalani kehidupan dengan berbaik-baik bersama jiran tetangganya dan benar-benar memulakan jalan perdamaian, kestabilan dan pembangunan," tegas beliau.
Taliban Afghanistan menguasai Kabul pada 15 Ogos dan mengumumkan pembentukan kerajaan sementara pada awal bulan ini. China mendesak Taliban untuk berkerat rotan, berpatah arang dengan semua pertubuhan pengganas termasuk ETIM dan memerangi mereka dengan tegas. Taliban telah berjanji untuk tidak membenarkan wilayah Afghanistan dipergunakan "terhadap sesiapa atau mana-mana negara di dunia ini."
'Pembela aturan antarabangsa'
Presiden Xi menekankan peranan SCO dalam menegakkan kesaksamaan dan keadilan di dunia ini. "Bertindak daripada apa yang digelar sebagai 'kedudukan kekuatan' bukanlah cara untuk mengendalikan hal ehwal antarabangsa dan tindakan hegemoni, mendominasi dan membuli harus ditolak dengan tegas," kata beliau.
"Kita perlu mengamalkan multilateralisme sebenar dan menentang tindakan yang menggunakan peraturan untuk melemahkan aturan antarabangsa dan mengakibatkan konfrontasi serta perpecahan," tambah beliau.
Ketika SCO melancarkan prosedur untuk memasukkan Iran sebagai negara anggota manakala Arab Saudi, Mesir dan Qatar sebagai rakan dialog baharu, Xi menyatakan keyakinan bahawa "keluarga SCO yang semakin bertambah" akan memainkan peranan sebagai "pembangun keamanan dunia, penyumbang kepada pembangunan global dan pembela aturan antarabangsa."