omniture

CGTN: China kemukakan cadangan untuk tingkatkan pembangunan global, tangani kesukaran ekonomi

CGTN
2021-11-02 08:36 84

BEIJING, 2 November 2021 /PRNewswire/ -- Pada awal bulan Oktober, Tabung Kewangan Antarabangsa, menerusi World Economic Outlook, mengurangkan ramalan pertumbuhan global 2021 kepada 5.9 peratus dan memberi amaran mengenai ketidaktentuan yang tinggi dalam pemulihan ekonomi.

Berlatarbelakangkan hal berkenaan, pemimpin-pemimpin 20 ekonomi yang terbesar di dunia berkumpul di Rome, Itali pada hari Sabtu untuk berusaha menjadikan platform pelbagai hala berfungsi sekali lagi — sama seperti ketika mereka mengadakan dua sidang kemuncak setahun sejurus selepas kegawatan kewangan global tahun 2008.

China, sebagai enjin pertumbuhan ekonomi global yang penting, mengetengahkan kerjasama, keterangkuman dan pembangunan mesra alam di Sidang Kemuncak Pemimpin-pemimpin Kumpulan 20 (G20) kali ke-16.

Kerjasama terhadap pandemik 

Memandangkan COVID-19 masih melanda dunia, kerjasama vaksin global diutamakan oleh Presiden Cina Xi Jinping apabila menyampaikan ucapan beliau melalui video di sesi pertama sidang kemuncak ini.

Beliau mencadangkan Inisiatif Tindakan Kerjasama Vaksin Global enam-perkara dengan tumpuan terhadap kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin, pengagihan vaksin yang saksama, penepian hak harta intelek ke atas vaksin COVID-19, perdagangan yang lancar untuk vaksin, pengiktirafan bersama untuk vaksin dan bantuan kewangan untuk kerjasama vaksin global.

Ketaksamaan dalam pengagihan vaksin jelas terlihat, dengan negara-negara berpendapatan rendah menerima kurang daripada 0.5 peratus daripada jumlah keseluruhan global dan kurang daripada 5 peratus penduduk Afrika diberi vaksin sepenuhnya, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

WHO telah menetapkan dua sasaran untuk menangani pandemik ini: untuk memberi vaksin kepada sekurang-kurangnya 40 peratus penduduk dunia menjelang akhir tahun ini dan meningkatkannya kepada 70 peratus menjelang pertengahan tahun 2022.

"China bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi meningkatkan kebolehcapaian dan kemampuan vaksin di negara-negara sedang membangun serta memberi sumbangan yang positif untuk membina barisan pertahanan vaksin global," kata Xi.

China telah menyediakan lebih 1.6 bilion dos vaksin kepada lebih 100 negara dan pertubuhan antarabangsa setakat ini. Secara keseluruhan, China akan menyediakan lebih 2 bilion dos kepada dunia sepanjang tahun ini, tambah beliau, menyatakan bahawa China melaksanakan pengeluaran vaksin bersama dengan 16 negara.

Pembinaan ekonomi dunia terbuka 

Dalam usaha menggalakkan pemulihan ekonomi, presiden menegaskan bahawa G20 harus mengutamakan pembangunan dalam penyelarasan dasar makro, menyeru untuk melaksanakan pembangunan global yang lebih saksama, berkesan dan inklusif bagi memastikan tiada negara akan ditinggalkan.

"Ekonomi-ekonomi maju harus menunaikan janji mereka berhubung bantuan pembangunan rasmi dan menyediakan lebih banyak sumber kepada negara-negara sedang membangun," kata Xi.

Beliau turut mengalu-alukan penyertaan yang aktif daripada lebih banyak negara dalam Inisiatif Pembangunan Global.

Tidak lama dahulu, beliau mencadangkan Inisiatif Pembangunan Global di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan menyeru komuniti antarabangsa untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang pembasmian kemiskinan, keselamatan makanan, tindak balas dan vaksin COVID-19, pembiayaan pembangunan, perubahan iklim dan pembangunan mesra alam, pengindustrian, ekonomi digital serta kesalinghubungan.

Inisiatif ini sangat menepati matlamat dan keutamaan G20 dalam menggalakkan pembangunan global, kata Xi.

Pematuhan terhadap pembangunan mesra alam

Sementara itu, menangani perubahan iklim merupakan agenda global yang tinggi ketika sesi ke-26 bagi Persidangan Pihak-pihak (COP26) untuk Konvensyen Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim akan dibuka pada hari Ahad di Glasgow, Scotland.

Dalam konteks ini, Xi menggesa negara-negara maju untuk memimpin melalui teladan berhubung pengurangan emisi, berkata bahawa negara-negara harus menampung sepenuhnya kesukaran dan kebimbangan khas negara-negara sedang membangun, menunjukkan komitmen mereka terhadap pembiayaan iklim dan menyediakan teknologi, pembinaan kapasiti serta sokongan lain kepada negara-negara sedang membangun.

"Ini amat penting demi kejayaan COP26 yang akan datang," kata beliau.

Dalam banyak kesempatan, Xi menekankan pandangan China mengenai tadbir urus iklim global dan menyatakan sokongan padu China terhadap Perjanjian Paris, bagi memudahkan kemajuan utama di peringkat global.

Pada tahun 2015, Xi menyampaikan ucapan dasar di Persidangan Paris mengenai Perubahan Iklim, memberi sumbangan bersejarah kepada kesimpulan Perjanjian Paris mengenai tindakan iklim global selepas tahun 2020.

Awal bulan ini, beliau menekankan usaha untuk mencapai puncak karbon dan sasaran keneutralan China apabila berucap di sidang kemuncak pemimpin-pemimpin bagi mesyuarat ke-15 Persidangan Pihak-pihak Konvensyen Kepelbagaian Biologi.

Sidang kemunck G20 tahun ini diadakan secara dalam talian dan luar talian di bawah Kepresidenan Itali, memfokuskan kepada cabaran global yang paling mendesak dengan masalah-masalah yang berkaitan dengan pandemik COVID-19, perubahan iklim dan pemulihan ekonomi mengungguli agenda ini.

Ditubuhkan pada tahun 1999, G20 yang merangkumi 19 negara berserta Kesatuan Eropah merupakan forum utama untuk kerjasama antarabangsa berhubung isu-isu kewangan dan ekonomi.

Kumpulan ini menyumbang kepada hampir dua pertiga daripada penduduk dunia, lebih 80 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar global dan 75 peratus perdagangan global.

https://news.cgtn.com/news/2021-10-30/China-puts-forward-proposals-on-boosting-global-development-14MDU37P5gk/index.html

Source: CGTN
Related Links:
Keywords: Computer/Electronics Multimedia/Online/Internet Publishing/Information Service Broadcast feed announcements