omniture

Continental Komited terhadap Kemampanan dalam Rantaian Bekalan Getah Asli bersama HeveaConnect

HeveaConnect Pte. Ltd.
2021-12-20 10:27 151
  • Berkuat kuasa serta-merta, Continental akan mengendalikan sebahagian daripada pembelian getah aslinya melalui platform perdagangan digital HeveaConnect yang menjamin ketelusan dan kemampanan yang lebih tinggi dalam rantaian bekalan getah asli

SINGAPURA, 20 Disember 2021 /PRNewswire/ -- Berkuat kuasa serta-merta, pengeluar tayar premium Continental akan mengendalikan sebahagian daripada pembelian getah aslinya melalui platform perdagangan digital yang diwujudkan untuk menjamin ketelusan dan kemampanan yang lebih tinggi dalam rantaian bekalan getah asli.

"Matlamat kami adalah untuk memperoleh semua bahan daripada sumber yang bertanggungjawab. Kunci untuk mencapai matlamat ini terletak pada teknologi inovatif dan pendigitalan yang dapat memberi sumbangan muktamad kepada ketelusan dalam rantaian bekalan yang rumit," kata Dr. Andrea Appel, Ketua Pembelian bagi kawasan perniagaan Tayar di Continental. Beliau menambah: "HeveaConnect menunjukkan bagaimana platform digital mengupayakan analisis yang mantap terhadap rantaian bekalan yang rumit serta pengurusan sasarannya. Risiko-risiko ekologi, sosial dan kewangan dijadikan sama telus untuk semua peserta pasaran."

Platform HeveaConnect mengesahkan aspek-aspek penting rantaian bekalan yang mampan dan memastikan pematuhan melalui ketelusan dan tawaran khas. Peserta-peserta tawaran diberikan papan pemuka yang menunjukkan maklumat yang diseragamkan mengenai kualiti, kebolehkesanan dan pematuhan mengikut piawaian sosial serta alam sekitar selain maklumat mengenai purata harga jualan. Selain itu, Continental dapat menggunakan platform tersebut untuk menempah tawaran daripada pembekal getah pada masa sebenar, membandingkan dan merundingkannya, memuktamadkan kontrak bekalan jangka pendek atau jangka panjang serta mendokumentasikannya secara elektronik.

Perkhidmatan perundingan dengan syarat-syarat khas yang mematuhi dengan jelas piawaian minimum tertentu disediakan kepada pengeluar getah asli melalui HeveaConnect. Sebagai contoh, terdapat kemungkinan untuk menyepadukan keputusan daripada analisis yang dijalankan oleh Rubberway, usaha sama analisis risiko kemampanan antara Continental dan Michelin.

"Platform kami bertujuan untuk menjadikan perdagangan getah asli fizikal lebih cekap, telus dan menyediakan pembeli dengan data berfokuskan kemampanan penting untuk membuat keputusan perolehan yang lebih baik. Kami mencipta getah bersandarkan data dengan menggandingkan maklumat kemampanan dengan produk getah fizikal yang didagangkan di platform kami. Continental telah lama komited terhadap rantaian bekalan yang mampan dan kami berbesar hati dengan adanya mereka menyertai HeveaConnect. Melalui penglibatan Continental dan pengusaha-pengusaha industri yang lain di platform perdagangan kami, kami berada selangkah lebih hampir untuk mencipta indeks fizikal bersandarkan data. Dengan bantuan Singapore Exchange (SGX), kami seterusnya menyasarkan untuk melengkapkan penanda aras SICOM, indeks harga global untuk getah asli, dengan indeks yang memiliki perincian harga yang lebih besar," jelas Gerald Tan, Ketua Pegawai Eksekutif HeveaConnect.

Continental membangunkan teknologi dan perkhidmatan perintis untuk mobiliti orang ramai dan barang-barang mereka yang mampan dan terhubung. Ditubuhkan pada tahun 1871, syarikat teknologi ini menawarkan penyelesaian yang selamat, cekap, pintar dan berpatutan kepada kenderaan, mesin, trafik serta pengangkutan. Pada tahun 2020, Continental menjana jualan sebanyak €37.7 bilion dan ketika ini menggaji lebih daripada 192,000 orang di 58 negara serta pasaran. Pada 8 Oktober 2021, syarikat ini menyambut ulang tahunnya yang ke-150.

HeveaConnect ialah sebuah syarikat teknologi berpangkalan di Singapura yang menyediakan penyelesaian untuk menyelesaikan cabaran pendigitalan dan kemampanan dalam sektor agrikomoditi. HeveaConnect membolehkan syarikat-syarikat menyepadukan kebolehkesanan dan kemampanan dalam proses keputusan perolehan melalui komoditi bersandarkan data, memberi kebolehlihatan yang lebih besar terhadap rantaian bekalan mereka dan mendedahkan risiko-risiko kemampanan. Sejak penubuhannya pada tahun 2018, lebih 400,000 tan metrik getah asli bernilai lebih USD 550 juta telah diurusniagakan melalui Platform HeveaConnect. HeveaConnect amat percaya terhadap kemampanan dan berusaha secara ekstensif dengan pelbagai organisasi pemuliharaan untuk membangunkan penyelesaian dan program yang menangani isu-isu ini.

Maklumat perhubungan untuk wartawan:

Henry Schniewind
Ketua Komunikasi Luar
Kawasan perniagaan Continental Tires
Telefon: +49 511 938-21810
E-Mel: henry.schniewind@conti.de

Eric Pratama Kurniawan
Ketua Komersial
HeveaConnect Pte Ltd
E-Mel: eric.kurniawan@heveaconnect.com

 

Portal akhbar:  www.continental-press.com
  www.heveaconnect.com/press/

Source: HeveaConnect Pte. Ltd.
Keywords: Auto Computer/Electronics Internet Technology Telecommunications Transportation Licensing/marketing agreements