omniture

Royal Bank of Canada mengumumkan cadangan pengambilalihan Brewin Dolphin

RBC; RBC Wealth Management
2022-04-04 19:53 78

Perjanjian untuk mewujudkan syarikat pengurusan kekayaan bersepadu yang utama di UK, Kepulauan Channel dan Ireland 

TORONTO, 4 April 2022 /PRNewswire/ -- Royal Bank of Canada ("RBC") hari ini mengumumkan bahawa, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dan penerimaan semua kelulusan kawal selia Brewin Dolphin Holdings PLC ("Brewin Dolphin"), RBC akan mengambil alih Brewin Dolphin.

RBC
RBC

RBC Wealth Management (Jersey) Holdings Limited ("Bidco"), sebuah anak syarikat milik penuh RBC, telah menerbitkan pengumuman Peraturan 2.7 di UK di bawah Kod Bandar tentang Pengambilalihan dan Penggabungan, mengumumkan cadangan tawaran tunainya untuk keseluruhan terbitan dan modal saham Brewin Dolphin yang akan diterbitkan sebanyak 515 pence sesaham, menunjukkan nilai ekuiti pada kira-kira CAD2.6 bilion (£1.6bilion) berdasarkan kecairan sepenuhnya.

Brewin Dolphin merupakan salah satu penyedia khidmat pengurusan kekayaan pilihan yang bebas dan terkemuka di UK dan Ireland dengan lebih 30 buah rangkaian pejabat serta Aset di bawah Pengurusan bernilai £59 bilion pada 31 Disember 2021. Brewin Dolphin mempunyai rekod prestasi pertumbuhan dan inovasi yang mengagumkan serta rekod yang berpanjangan dalam menyampaikan perkhidmatan pelanggan yang unggul serta prestasi pelaburan yang mantap.

Mengulas tentang pengambilalihan ini, Doug Guzman, Ketua Kumpulan RBC Wealth Management, RBC Insurance dan RBC Investor & Treasury Services berkata:
"UK merupakan pasaran pertumbuhan utama bagi RBC, manakala Brewin Dolphin pula menyediakan kami dengan platform yang luar biasa untuk mengubah perniagaan pengurusan kekayaan kami di rantau ini secara signifikan, meletakkan RBC Wealth Management pada kedudukan #3 di pasaran UK dan Ireland, selain menjadi peneraju pasaran di Kanada dengan kedudukan yang semakin meningkat di Amerika Syarikat. Dengan menggabungkan dua perniagaan yang saling melengkapi, kami akan meningkatkan saiz dan tawaran perkhidmatan kami sekali gus menjadikan perniagaan gabungan ini sebagai penyedia pengurusan kekayaan bersepadu yang unggul bagi pelanggan swasta dan institusi.

Kedua-dua pasukan pengurusan teruja dengan visi yang dikongsi bersama tentang perkhidmatan pelanggan berkualiti tinggi, budaya berpusatkan pelanggan dan peluang pertumbuhan luar biasa yang boleh kami hasilkan secara bersama-sama. Kami ingin terus melabur dalam perniagaan gabungan ini dan membawanya ke tahap yang lebih tinggi. Kami yakin bahawa pengambilalihan ini akan memberi manfaat kepada gabungan para pelanggan, pekerja dan para pemegang taruh kami." 

David Thomas, Ketua Pegawai Eksekutif RBC Capital Markets Eropah merangkap Ketua Pengurusan Kekayaan menambah:
"Ini adalah pengambilalihan yang transformatif bagi RBC Wealth Management dan mengukuhkan kedudukan RBC sebagai peneraju pasaran pada pelbagai platform perniagaan di UK, Kepulauan Channel dan Eropah. Kami teruja mengalu-alukan kedatangan para pekerja serta pelanggan Brewin Dolphin dan tidak sabar untuk bekerjasama bagi memanfaatkan jangkauan global serta keupayaan RBC yang ketara bagi mencipta peluang pertumbuhan baharu untuk perniagaan gabungan ini."

Robin Beer, Ketua Pegawai Eksekutif Brewin Dolphin berkata:
"Ahli Lembaga Pengarah Brewin Dolphin berbesar hati untuk mengesyorkan tawaran RBC ini demi kepentingan para pemegang saham, pelanggan, pekerja dan rakan kongsi perniagaan kami. Berdasarkan pertumbuhan organik yang kukuh yang telah kami capai setakat ini, perniagaan gabungan ini akan mewujudkan sebuah platform yang menarik untuk pertumbuhan masa depan. Sebagai sebahagian daripada RBC, kami berupaya menyediakan pelanggan kami dengan pelbagai produk dan perkhidmatan serta memperluas saluran agihan kami dengan memanfaatkan penampilan RBC di seluruh dunia. Kami berkongsi nilai-nilai pelengkap yang menekankan tentang pentingnya hubungan pelanggan yang telah lama terjalin serta budaya keterangkuman yang menyokong para pekerja dan komuniti setempat. Tumpuan kami adalah untuk mengekalkan kesinambungan, supaya kami dapat menambahkan lagi apa yang telah kami capai. Saya tidak sabar untuk bekerjasama bagi meningkatkan kedudukan kami di pasaran sebagai pengurus kekayaan didayakan digital serta berfokuskan nasihat yang terkemuka."

Pengambilalihan ini dijangka akan mengakibatkan pengurangan nisbah Tahap 1 Ekuiti Biasa ("CET1") RBC sebanyak ~40 mata asas (bps) 1 pada Tarikh Kuat Kuasa2. RBC percaya bahawa pengambilalihan ini akan menghasilkan kumulatif EPS (Perolehan Sesaham) terselaras untuk RBC sebanyak ~1% pada tahun pertama selepas Tarikh Kuat Kuasa ini, tidak termasuk faedah sinergi pendapatan masa depan.3 Dalam jangka sederhana, RBC percaya bahawa perniagaan pengurusan kekayaan yang digabungkan di UK, Ireland dan Kepulauan Channel boleh menjana hasil CAGR (Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun) sebanyak ~9% dan mencapai keuntungan sebelum cukai terselaras sebanyak ~CAD0.5 bilion termasuk manfaat kos dan sinergi pendapatan4. Pengambilalihan ini dijangka akan menghasilkan Kadar Pulangan Dalaman (IRR)5 dua digit tidak termasuk manfaat sinergi pendapatan masa depan.

Pengambilalihan ini tertakluk kepada beberapa syarat biasa yang ditetapkan dalam Pengumuman Peraturan 2.7, termasuk kelulusan pengawal selia dan pemegang saham Brewin Dolphin. Kami menjangkakan penyempurnaan urus niaga ini menjelang akhir suku ke-3 2022.

Butiran lengkap tentang pengambilalihan ini boleh didapati dalam pengumuman Peraturan 2.7 yang tersedia di: https://www.rbc.com/investor-relations/offer-for-brewin-dolphin.html

Tentang RBC
Royal Bank of Canada ialah sebuah institusi kewangan global dengan pendekatan berdasarkan tujuan dan berpandukan prinsip dalam menyampaikan prestasi yang terkemuka. Kejayaan kami dihasilkan oleh para pekerja seramai lebih 88,000 orang yang memanfaatkan imaginasi dan wawasan mereka dalam merealisasikan visi, nilai dan strategi kami supaya kami dapat membantu para pelanggan kami berkembang maju dan komuniti kami memperoleh kemakmuran. Sebagai bank terbesar di Kanada dan salah sebuah bank yang terbesar di dunia dari segi modal pasaran, kami mempunyai model perniagaan yang pelbagai yang menumpukan inovasi serta menyediakan pengalaman yang luar biasa kepada 17 juta pelanggan kami di Kanada, Amerika Syarikat dan 27 buah negara lain. Ketahui lebih lanjut di rbc.com.

Kami berbangga dapat menyokong pelbagai inisiatif komuniti melalui sumbangan, pelaburan komuniti dan aktiviti sukarelawan pekerja. Sila lihat caranya di rbc.com/community-social-impact.

Tentang RBC Wealth Management
RBC Wealth Management memberi perkhidmatan kepada pelanggan mewah, pelanggan dengan nilai bersih tinggi dan pelanggan dengan nilai bersih ultra tinggi di seluruh dunia secara langsung dengan rangkaian penyelesaian khidmat perbankan, pelaburan, khidmat pengurusan kekayaan dan amanah lain yang lengkap, dari hab operasi utama kami di Kanada, Amerika Syarikat, Kepulauan British dan Asia. Perniagaan ini juga menyediakan produk dan perkhidmatan pengurusan aset secara langsung dan melalui RBC serta pengedar pihak ketiga kepada pelanggan institusi dan individu, melalui perniagaan RBC Global Asset Management (termasuk BlueBay Asset Management). RBC Wealth Management mempunyai CAD1.3 trilion aset di bawah pentadbiran, CAD1 trilion aset di dalam pengurusan dan lebih 5,500 pelanggan berurusan dengan penasihat di seluruh dunia. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.rbcwealthmanagement.com.

_____________________________

1 CET1 dikira menggunakan garis panduan Keperluan Kecukupan Modal (CAR) OSFI. 

2 Berdasarkan anggaran kunci kira-kira RBC dan Brewin Dolphin pada Tarikh Kuat Kuasa, termasuk kesan berkaitan urus niaga.

3 Ini ialah ukuran bukan GAAP. EPS terselaras tidak termasuk kesan pelunasan tidak ketara, kesan kecairan saham boleh tukar dan perjanjian, urus niaga serta kos penyepaduan tertentu.

4 Ini ialah ukuran bukan GAAP. PBT (Keuntungan Sebelum Cukai) terselaras ialah keuntungan berkanun sebelum cukai terselaras bagi perkara berikut: pelunasan tidak ketara termasuk perhubungan pelanggan dan jenama; manfaat kos perkhidmatan masa lalu bagi skim pencen yang ditentukan; kos pengambilalihan; anugerah insentif; kontrak yang membebankan serta keuntungan dan kerugian lain.

5  "Kadar pulangan dalaman".

Tentang Brewin Dolphin
Brewin Dolphin ialah sebuah syarikat pengurusan kekayaan budi bicara bertaraf FTSE 250 UK. Dengan jumlah dana sebanyak £59.0* bilion, kami menawarkan perkhidmatan pengurusan kekayaan yang memenangi anugerah dan diperibadikan yang memenuhi keperluan pelanggan kami yang pelbagai termasuk individu, badan amal dan korporat.

Perkhidmatan kami terdiri daripada pengurusan pelaburan khas, budi bicara hingga rancangan persaraan dan pelaburan yang cekap cukai. Tumpuan kami terhadap pengurusan pelaburan budi bicara telah mendorong pertumbuhan yang signifikan dalam dana pelanggan dan kini, kami menguruskan £52.0* bilion dana berdasarkan budi bicara.

Syarikat perantara kami menguruskan aset berjumlah £19.0* bilion untuk lebih 1,700 firma penasihat sama ada berdasarkan budi bicara atau melalui Perkhidmatan Portfolio Terurus kami, rangkaian dana MI Brewin Dolphin Voyager serta Perkhidmatan Portfolio Terurus Mampan.

Sejajar dengan keutamaan yang kami letakkan pada hubungan peribadi, kami telah membina rangkaian dengan lebih 30 buah pejabat di seluruh UK dan Republik Ireland yang dikendalikan oleh para pengurus pelaburan dan perancang kewangan yang bertauliah. Kami komited terhadap piawaian perkhidmatan pelanggan yang paling tepat, dengan pemikiran jangka panjang dan fokus sepenuhnya terhadap keperluan teras para pelanggan kami.

Untuk maklumat lanjut, sila layari: www.brewin.co.uk

*setakat 31 Disember 2021.

Brewin Dolphin diberi kuasa dan dikawal selia oleh FCA (nombor rujukan Pendaftar Perkhidmatan Kewangan 124444)

Prestasi utama dan ukuran bukan GAAP 

Kami menggunakan pelbagai ukuran kewangan untuk menilai prestasi kami. Selain ukuran yang ditetapkan oleh prinsip perakaunan diterima umum (GAAP), kami menggunakan ukuran prestasi utama dan ukuran bukan GAAP yang kami percaya dapat memberikan maklumat berguna kepada pelabur tentang keadaan kewangan dan hasil operasi kami. EPS tidak termasuk kesan pelunasan tidak ketara, kesan pencairan saham boleh tukar dan kos perjanjian, urus niaga dan penyepaduan tertentu yang meningkatkan kebolehbandingan kerana sesetengah institusi tidak menggunakan struktur sedemikian.

Pembaca diingatkan bahawa ukuran prestasi utama dan ukuran bukan GAAP tidak mempunyai apa-apa makna yang standard yang ditetapkan oleh GAAP dan oleh itu, tidak boleh dibandingkan dengan ukuran serupa yang didedahkan oleh institusi kewangan lain.

Amaran Tentang Pernyataan Berpandangan Ke Hadapan

Siaran akhbar ini mengandungi pernyataan yang berpandangan ke hadapan dalam pengertian undang-undang sekuriti tertentu, termasuk peruntukan "perlindungan selamat" dalam Akta Pembaharuan Litigasi Sekuriti Swasta Amerika Syarikat 1995 dan mana-mana udang-undang sekuriti Kanada berkaitan yang merujuk kepada prestasi kewangan, kepercayaan, rancangan, jangkaan dan anggaran RBC dan Brewin Dolphin. Pernyataan berpandangan ke hadapan dalam siaran akhbar ini mungkin termasuk, tetapi tidak terhad kepada, pernyataan yang merujuk kepada rancangan operasi gabungan RBC dan Brewin Dolphin, kesan kewangan, operasi dan modal terhadap urus niaga yang dicadangkan, strategi atau tindakan masa depan kami serta objektif dan komitmen kami. Maklumat berpandangan ke hadapan yang terkandung dalam siaran akhbar ini dibentangkan bertujuan untuk membantu para pemegang saham dan penganalisis memahami urus niaga yang dicadangkan dan mungkin tidak sesuai untuk tujuan lain. Pernyataan berpandangan ke hadapan biasanya dikenal pasti dengan perkataan seperti "percaya", "harap", "agak", "ramal", "jangka", "hasrat", "anggaran", "matlamat", "rancang" dan "unjur" serta ungkapan kata kerja bersyarat dan bersifat akan datang seperti "akan", "mungkin", "sepatutnya", "boleh" atau "bakal".

Berdasarkan sifatnya, pernyataan berpandangan ke hadapan memerlukan kami membuat andaian dan tertakluk kepada risiko dan ketidakpastian yang wujud, yang menimbulkan kemungkinan bahawa tekaan, ramalan, unjuran, jangkaan atau kesimpulan kami tidak terbukti tepat, bahawa andaian kami mungkin tidak betul dan hasil sebenar kami mungkin berbeza secara material daripada tekaan, ramalan, unjuran, jangkaan atau kesimpulan tersebut.

Kami mengingatkan para pembaca supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada pernyataan ini atas beberapa faktor risiko yang boleh menyebabkan keputusan sebenar kami berbeza secara material daripada jangkaan yang dinyatakan dalam pernyataan berpandangan ke hadapan ini. Faktor-faktor ini – kebanyakannya adalah di luar kawalan kami dan kesannya boleh jadi sukar untuk diramalkan – termasuk, tetapi tidak terhad kepada: kemungkinan bahawa urus niaga yang dicadangkan tidak dimuktamadkan sebagaimana yang diharapkan atau tidak dimuktamadkan sama sekali disebabkan terjadinya apa-apa peristiwa, perubahan atau keadaan lain yang boleh menyebabkan salah satu atau kedua-dua pihak berhak untuk menamatkan urus niaga yang dicadangkan, termasuk disebabkan kawal selia, pemegang saham atau kelulusan lain yang diperlukan dan/atau syarat-syarat muktamad lain tidak diterima atau dipenuhi tepat pada masanya atau tidak diterima sama sekali atau diterima tetapi tertakluk kepada syarat-syarat atau keperluan yang bertentangan; kemungkinan bahawa manfaat yang dijangkakan daripada urus niaga yang dicadangkan seperti perolehan sesaham (EPS) terselaras, pewujudan peluang sinergi dan operasi UK kami yang semakin meningkat tidak direalisasikan dalam jangka masa yang dijangkakan atau tidak direalisasikan sama sekali disebabkan oleh perubahan ekonomi dan pasaran am, kadar faedah dan pertukaran, dasar kewangan, undang-undang dan peraturan (termasuk perubahan keperluan modal) dan penguatkuasaannya serta tahap persaingan di lokasi geografi dan perniagaan tempat RBC dan Brewin Dolphin beroperasi pada masa ini; risiko bahawa sebarang pengumuman yang berkaitan dengan gabungan yang dicadangkan boleh memberi kesan negatif kepada harga pasaran saham biasa bagi salah satu atau kedua-dua pihak dalam urus niaga tersebut; kemungkinan bahawa perniagaan RBC dan Brewin Dolphin tidak mencapai prestasi seperti yang diharapkan atau sejajar dengan sejarah prestasinya; keupayaan untuk menyepadukan Brewin Dolphin dengan segera dan berkesan; keupayaan RBC untuk mencapai objektif modal; keupayaan RBC untuk menyilang jual produk yang lebih banyak kepada pelanggan; risiko reputasi dan reaksi pelanggan serta pekerja Brewin Dolphin terhadap urus niaga tersebut; kemungkinan bahawa urus niaga mungkin lebih mahal untuk diselesaikan daripada apa yang dijangkakan, termasuk hasil daripada faktor atau peristiwa yang tidak dijangka; perubahan masa pengurusan bagi isu berkaitan urus niaga; peningkatan pendedahan kepada kadar pertukaran yang turun naik; perubahan penting yang bertentangan dari segi ekonomi dan industri; suasana persaingan, ekonomi, politik dan pasaran secara umum; dan faktor-faktor lain yang dibincangkan dalam bahagian risiko dan bahagian Kesan pandemik COVID-19 dalam Laporan Tahunan 2021 RBC serta bahagian pengurusan Risiko Laporan S1 2022 RBC kepada Pemegang Saham, dan faktor-faktor yang dibincangkan dalam Laporan Tahunan dan Akaun 2021 Brewin Dolphin, yang kesemuanya menggariskan faktor-faktor utama dan risiko tertentu yang boleh menjejaskan keputusan masa depan serta keupayaan kami untuk meramal dan menguruskan risiko yang timbul akibat daripada faktor yang dinyatakan di atas, dengan berkesan.

Kami memberi amaran bahawa senarai faktor risiko yang dinyatakan di atas adalah tidak lengkap dan faktor lain juga boleh mempengaruhi keputusan kami. Apabila bergantung kepada pernyataan berpandangan ke hadapan kami untuk membuat keputusan yang berkaitan dengan kami, para pelabur dan pihak lain harus mempertimbangkan dengan teliti faktor-faktor yang dinyatakan di atas serta ketidakpastian dan potensi peristiwa lain. Andaian ekonomi penting yang mendasari pernyataan berpandangan ke hadapan yang terkandung dalam siaran akhbar ini dinyatakan dalam bahagian ulasan dan tinjauan ekonomi, pasaran serta kawal selia dan bagi setiap segmen perniagaan di bawah tajuk keutamaan Strategik dan Tinjauan dalam Laporan Tahunan 2021 RBC, sebagaimana yang dikemas kini oleh bahagian tinjauan dan ulasan ekonomi, pasaran dan kawal selia dalam Laporan S1 2022 RBC untuk Pemegang Saham.

Mana-mana pernyataan berpandangan ke hadapan yang terkandung dalam dokumen ini mewakili pandangan RBC dan Brewin Dolphin hanya pada tarikh ia disiarkan. Kecuali sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang, RBC atau Brewin Dolphin tidak bertanggungjawab untuk mengemas kini mana-mana pernyataan berpandangan ke hadapan, sama ada secara bertulis atau lisan, yang mungkin boleh dibuat dari semasa ke semasa oleh kami atau bagi pihak kami.

Hubungan Media RBC: Melanie Rockliff, Komunikasi Korporat (Kanada) – melanie.rockliff@rbc.com, +1 (647)-964-1423; Carol Key, Komunikasi Korporat (UK) – carol.key@rbc.com, +44 (0) 7701 396 234; Hubungan Penganalisis RBC: Asim Imran, Naib Presiden, Ketua Perhubungan Pelabur, asim.imran@rbc.com, +1 (416)-955-7804; Marco Giurleo, Pengarah Kanan, Perhubungan Pelabur, marco.giurleo@rbc.com, +1 (437)-239-5374

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1777613/RBC_Royal_Bank_of_Canada_announces_proposed_acquisition_of_Brewi.jpg?p=medium600

Source: RBC; RBC Wealth Management
Keywords: Banking/Financial Service Acquisitions, mergers, takeovers