NINGBO, China, 5 April 2022 /PRNewswire/ -- Risen Energy Co., Ltd., pengeluar modul solar yang terkemuka di China, baru sahaja menamatkan sidang akhbarnya di Ninghai, wilayah Zhejiang bagi pelancaran barisan produk fotovolta bersepadu-bangunan (BIPV) terkini yang melibatkan Super Top, Super Tile berserta tawaran heterosimpang (HJT) yang terkini, Hyper-ion. Seluruh barisan ini mempunyai pengurangan selanjutnya dalam penggunaan karbon dan meningkatkan prestasi penjanaan kuasa, lalu meluaskan sebesar-besarnya peluang untuk pembangunan dan pelaksanaan produk BIPV dan HJT.
Super BIPV menjadi peneraju dalam menyediakan bumbung "hijau"
Setiap industri di China telah menyokong usaha pengurangan karbon berikutan kerajaan Cina menetapkan matlamat puncak karbon dan keneutralan karbon. Pada tahun 2021, kerajaan memperkenalkan satu siri dasar pengurangan karbon yang menyasarkan khususnya kepada sektor bangunan dan pembinaan, bagi menggalakkan pembinaan bangunan serta persekitaran yang lebih hijau dan rendah-karbon dan untuk mempersiapkan sektor ini untuk ketibaan era puncak karbon dan keneutralan karbon. Sebagai respons kepada dasar ini, Risen Energy, melalui peranannya sebagai peneraju dan perintis dalam semua hal berkaitan fotovolta, melancarkan dua produk utama, Super Top untuk bumbung bangunan industri dan komersial serta Super Tile untuk bumbung kediaman. Kedua-dua produk ini meraih pencapaian tertinggi dari segi menjadi penyokong usaha untuk mendiami China dengan stok perumahan hijau dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar: ia selamat, andal, menjimatkan, pelbagai dari segi kebolehgunaan, mudah dipasang dan memuaskan dari segi estetika dalam penampilannya.
Ciri unik Super Top ialah kaedah pemasangan baharu untuk plat keluli dan modul PV agar modul dapat berpadu dengan lancar dalam warna-warna yang biasanya digunakan oleh industri keluli dan boleh diintegrasikan sepenuhnya dalam proses pembinaan dan bukannya diikat selepas proses tersebut. Modul ini mempunyai modul tanpa kerangka dwikaca baharu dengan wafer 210mm. Dwikaca 210+ memastikan kapasiti penjanaan kuasa yang tinggi, kerangka tanpa tepi menghalang pengumpulan habuk pada bahagian atas unit manakala sel 210+HJT menyampaikan perolehan penjanaan kuasa sebanyak 7 peratus. Modul ini ialah 740W dan didatangkan lengkap dengan penguncian tegak 360-darjah, kalis air dan tidak menunjukkan kehilangan teduhan, mencapai perolehan penjanaan kuasa sehingga 1.5% lagi.
Beralih kepada estetika modul pula, Super Top didatangkan dengan aluminium-zink-magnesium pilihan atau plat keluli bersalut warna serta warna-warna yang disesuaikan bagi memenuhi kehendak pengguna akhir. Pemasangan adalah mudah dan pantas serta boleh disiapkan oleh seorang individu, sementara operasi dan penyelenggaraan selepas pemasangan diminimumkan. Reka bentuk rintang kakisan pada produk itu sendiri dan rintangan angin dan api yang sangat baik bererti tempoh yang lebih panjang antara setiap semakan penyelenggaraan, membawakan pengalaman yang selamat dan tanpa kebimbangan.
Super Tile 1817mm*420mm didatangkan dalam pelbagai warna dan bentuk yang dapat memadankan secara sempurna dengan sistem bumbung rumah. Modul ini mempunyai kuasa maksimum 120 watt dan reka bentuk tanpa habuk yang dapat meningkatkan kecekapan penjanaan kuasa sebanyak 5%. Seperti Super Top, pemasangan adalah mudah serta cepat dan boleh disiapkan oleh seorang individu, membawa kepada penjimatan kos pembinaan sebanyak 30%.
Super Tile didatangkan dalam dua format iaitu "bersusun" dan "jubin" bagi memenuhi pelbagai kehendak pengguna akhir. Kos pada asasnya bersamaan dengan sistem teragih isi rumah dan jubin bumbung yang akan mengambil ruang yang sama. Memandangkan tiada perubahan kos dengan efektif berbanding penyelesaian yang lebih lama, Super Tile karbon-rendah ini dapat memenuhi permintaan pasaran semasa dengan lebih baik.
Hyper-ion meningkatkan nilai hijau produk HJT
Memastikan kos di bawah kawalan sentiasa menjadi masalah yang mencabar yang mana sehingga kini, ia telah menjadi penghalang untuk teknologi HJT menuju arus perdana. Berdasarkan kepada teknologi utama dalam fizik semikonduktor, pempakejan semikonduktor, bahan asas dan reka bentuk peralatan, selepas beribu-ribu lelaran, akhirnya Risen Energy melancarkan produk yang boleh dibanggakan olehnya. Produk baharu ini — sel Hyper-ion menggunakan teknologi 120 mikron separuh potong 210 HJT dan mikrohabluran, mencapai kecekapan yang amat tinggi melebihi 25.2%. Mengasaskan pengiraan pada projek 100MW di wilayah Hainan, penjanaan kuasa jangka panjang penyelesaian HJT mempunyai kelebihan mengurangkan LCOE sebanyak lebih daripada 10% dan mungkin lebih banyak lagi apabila membandingkan kos pelaburan sekali dan overhed berterusan yang berkaitan dengan proses tradisional.
Dengan bergantung kepada kemajuan teknologi pempasifan, unit ini hadir dengan voltan terbuka melebihi 750mV dan wafer amat nipis yang agak kurang tebal berbanding TOPCon dan PERC, selain sel nipis HJT dengan nilai karbon mencapai hampir 30% lebih rendah daripada PERC. Menggunakan kerangka keluli aloi berkekuatan tinggi, skor jejak karbon Hyper-ion dikurangkan daripada lebih 570 setiap kw kepada kurang daripada 400 tanpa aplikasi bahan silikon khas dan boleh diturunkan lebih jauh lagi kepada hampir 300 apabila bahan silikon khas digunakan. Ini merupakan penanda aras yang sangat baik dalam sektor karbon ultra-rendah.
Modul HJT Risen Energy menunjukkan prestasi 5 kali ganda daripada yang biasa diperlukan oleh spesifikasi ujian IEC, sementara skor jejak karbon diperakui oleh pihak ketiga yang berada kurang daripada 400. Apabila menggunakan pendekatan jejak karbon, premium berpotensi untuk Hyper-ion boleh mencecah 0.01 yuan setiap watt berdasarkan kepada harga semasa hak emisi karbon Eropah pada sekitar 80 euro setiap tan.
Risen Energy merancang untuk memberi tumpuan terutamanya kepada kajian tentang produk siri karbon-rendah termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang selanjutnya dalam BIPV, kerangka keluli, teknologi HJT, dengan matlamat untuk melancarkan lebih banyak produk karbon-rendah, membangunkan selanjutnya "bidang karbon-rendah" fotovolta, memudahkan pembangunan hijau dan mampan serta mempercepatkan peralihan ke era karbon-sifar.