omniture

CLÉ DE PEAU BEAUTÉ MULAKAN TAHUN KETIGA PERKONGSIANNYA DENGAN UNICEF YANG MENCAPAI 7.9 JUTA KANAK-KANAK PEREMPUAN MELALUI PENDIDIKAN DAN PEMBELAJARAN UNTUK PEKERJAAN DAN PEMERKASAAN

Clé de Peau Beauté
2022-04-21 12:00 109

Clé de Peau Beauté akan menyumbang sebahagian daripada jualan global The Serum untuk memperjuangkan pendidikan STEM kanak-kanak perempuan sebagai kunci untuk membuka dunia yang lebih baik

TOKYO, 21 April 2022 /PRNewswire/ -- Clé de Peau Beauté, jenama penjagaan kulit dan solekan mewah global, dengan bangganya bekerjasama dengan UNICEF[1] untuk tahun ketiga dengan menyokong Program Kesamaan Jantina Global yang menyokong hak setiap kanak-kanak terhadap masa depan yang sama rata. Clé de Peau Beauté percaya bahawa menyerlahkan kuasa potensi tanpa batasan kanak-kanak perempuan melalui pendidikan dan ilmu pengetahuan akan memimpin menuju masa depan yang lebih baik untuk semua. Ketika perkongsian ini memasuki tahun ketiganya, UNICEF dan Clé de Peau Beauté bermatlamat untuk terus menghapuskan halangan yang mungkin dihadapi oleh gadis muda dengan meningkatkan akses mereka kepada pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta kemahiran yang berkaitan – untuk memperkasa mereka dengan alat untuk mencapai impak positif ke atas komuniti mereka dan dunia. Clé de Peau Beauté akan menyumbang sebahagian daripada jualan global The Serum untuk menyokong usaha UNICEF di Bangladesh, Kyrgyzstan dan Niger antara wilayah-wilayah lain untuk mendidik dan memperkasa kanak-kanak perempuan. Inisiatif ini akan berjalan di kedai-kedai mulai bulan Mei hingga Jun dan secara dalam talian mulai Mei hingga Disember 2022[2].

#KeyToABetterWorld terletak pada menyerlahkan kuasa wanita menerusi Pendidikan, Pekerjaan dan Pemerkasaan.
#KeyToABetterWorld terletak pada menyerlahkan kuasa wanita menerusi Pendidikan, Pekerjaan dan Pemerkasaan.

 

Tatkala dunia mula bangkit daripada pandemik COVID dan memandang ke arah masa depan yang lebih cerah, kami mengiktiraf legasi daripada dua tahun yang lalu dan kesannya ke atas bagaimana masa depan akan dibentuk. Kami menyaksikan peningkatan kepercayaan dalam sains dan saintis di seluruh dunia dan teknologi baharu menjadi keperluan terhadap kehidupan harian – membawa kepada pemahaman kolektif bahawa penyelesaian saintifik dan teknikal akan menjadi kunci kepada banyak cabaran global semasa dan masa depan. Dengan peningkatan tumpuan terhadap subjek STEM, Clé de Peau Beauté percaya adalah lebih penting daripada sebelum ini untuk mempersiapkan kanak-kanak perempuan generasi seterusnya dengan pendidikan STEM dan alatan yang diperlukan oleh mereka untuk mencipta masa depan yang lebih baik untuk diri mereka dan untuk masyarakat secara keseluruhan.

Dana yang dikumpul untuk UNICEF daripada jualan The Serum tahun lalu memajukan inisiatif untuk menyokong kanak-kanak perempuan di serata dunia, bagi membolehkan mereka mengatasi halangan terhadap pendidikan dan pembangunan kemahiran. Pencapaiannya termasuk:

Bangladesh: Program Memperkukuh Pendidikan untuk Remaja bagi menjadikannya Responsif Jantina

  • Clé de Peau Beauté menyokong program UNICEF di Bangladesh untuk menggalakkan kesaksamaan jantina dalam sistem pendidikan, mengurangkan halangan berkaitan jantina terhadap pendidikan dan mengurangkan keganasan berasaskan jantina.
  • Dengan kerjasama Kerajaan Bangladesh, UNICEF mengikuti pendekatan yang sistematik untuk mengukuhkan kesaksamaan jantina dalam sistem pendidikan dengan menyediakan sokongan teknikal bagi membangunkan kurikulum berasaskan kemahiran, yang telah diluluskan oleh Perdana Menteri Bangladesh.
  • UNICEF telah melaksanakan Program Pembelajaran Alternatif di Bangladesh untuk remaja perempuan tidak bersekolah yang paling mudah terdedah pada bahaya, menghubungkan mereka dengan latihan perantisan dan latihan kerja dengan kemahiran teori serta asas. 1,100 orang kanak-kanak perempuan telah mendaftar.

Kyrgyzstan: Membina Kemahiran Abad ke-21 untuk Kanak-kanak Perempuan 

  • Clé de Peau Beauté menyokong program STEM4Girls UNICEF di Kyrgyzstan untuk memperkasa kanak-kanak perempuan meneruskan pendidikan dan kerjaya profesional dalam STEM dan selanjutnya bagi menangani ketaksamaan jantina sedia ada – termasuk kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan wanita dan kelaziman perkahwinan kanak-kanak.
  • 621 orang kanak-kanak perempuan telah dilatih menjadi suri teladan dan pendidik rakan sebaya untuk gadis muda dalam komuniti mereka. Pendidik rakan sebaya ini berjaya mencapai lebih 16,000 rakan sebaya – membawa kepada 81 peratus peserta melaporkan bahawa sesi-sesi membantu mereka mengenal pasti pilihan profesional mereka dalam STEM.
  • 155 orang kanak-kanak perempuan memasuki Universiti untuk belajar STEM, 39 peratus dengan geran tuisyen.

Niger: Menggalakkan Pemerkasaan Kanak-kanak Perempuan

  • Clé de Peau Beauté menyokong program UNICEF di Niger, yang mana lebih daripada 1.3 juta orang kanak-kanak perempuan tidak bersekolah, bagi mendorong peluang baharu untuk remaja perempuan dengan membantu mereka membangunkan kecekapan dan kemahiran yang berkaitan.
  • Perkongsian tersebut menyokong 900 orang pelajar perempuan sekolah menengah dalam kumpulan bimbingan untuk mengukuhkan kemahiran asas mereka dalam matematik dan Bahasa Perancis. Kira-kira satu pertiga daripada pelajar perempuan ini telah berhenti sekolah, namun berjaya dibawa kembali ke sekolah melalui program bimbingan tersebut.
  • 24,956 orang kanak-kanak perempuan dan wanita mendapat manfaat daripada kempen dan bengkel untuk menangani stereotaip jantina dan menggalakkan kesejahteraan mereka.

"Pandemik ini telah menonjolkan kepentingan sains dan teknologi dalam menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi oleh dunia. Dengan sokongan daripada perkongsian kami bersama Clé de Peau Beauté, UNICEF melabur dalam inisiatif pembinaan kemahiran dalam STEM, teknologi digital dan keusahawanan sosial. UNICEF menyokong usaha yang memastikan agar kanak-kanak perempuan menjalani kehidupan yang diperkasa, dilengkapi dengan sumber dan peluang yang tepat. Melalui program ini, kami berharap dapat memberi inspirasi dan menyediakan alat yang diperlukan untuk generasi pemimpin wanita yang seterusnya," kata Cik Carla Haddad Mardini, Pengarah, Pengumpulan Dana dan Perkongsian Persendirian, UNICEF.

"Di Clé de Peau Beauté, kami percaya bahawa kunci kepada dunia yang lebih baik terletak dalam menyerlahkan kehebatan kanak-kanak perempuan melalui pendidikan STEM. Justeru itu, kami komited untuk membahagikan peratusan jualan daripada The Serum, salah satu produk kami yang paling diidam-idamkan untuk mendidik dan memperkasa wanita muda di serata dunia. Dua tahun yang lalu telah menjadi perjalanan yang bermakna ketika kami berusaha untuk membawa perubahan sebenar dan ia menjadi sangat istimewa apabila menerima penyertaan yang begitu bersemangat daripada pelanggan kami. Kami berbesar hati apabila mengetahui bahawa melalui UNICEF, sumbangan kami berupaya memberi kesan yang paling diperlukan dan bermakna," kata Cik Mizuki Hashimoto, Ketua Pegawai Jenama Clé de Peau Beauté.

Clé de Peau Beauté bertujuan untuk memperkasa kanak-kanak perempuan melalui pendidikan – langkah pertama untuk menyerlahkan potensi dan kecerdasan semula jadi kanak-kanak perempuan, lalu membawa kepada masa depan yang lebih baik buat semua.

Bagi setiap pembelian The Serum, sumbangan akan dibuat kepada UNICEF bagi menyokong pendidikan dan pemerkasaan kanak-kanak perempuan di serata dunia bilamana pembelajaran subjek STEM adalah lebih penting untuk masa depan kita berbanding sebelum ini. Bersama-sama, masa depan yang lebih cerah bersinar dan positif dapat dicapai.

Catatan untuk Editor

UNICEF tidak mengendors mana-mana syarikat, jenama, produk atau perkhidmatan.

Latar Belakang Clé de Peau Beauté  

Clé de Peau Beauté, jenama mewah bertaraf global daripada Shiseido Co., Ltd., ditubuhkan pada tahun 1982 sebagai ekspresi unggul bagi keanggunan dan sains. Clé de Peau Beauté bermaksud kunci kepada kecantikan kulit. Falsafah jenama ini adalah untuk menyerlahkan kuasa keserian pada wanita dengan memanfaatkan teknologi solekan dan penjagaan kulit yang canggih dari seluruh dunia. Selamanya dibimbing oleh kepekaan dan kecerdasan estetik yang hebat, Clé de Peau Beauté telah menerapkan produk-produknya dengan nilai kemodenan, kepesonaan dan kedinamikan untuk muncul sebagai peneraju industri dalam memberi keserian yang begitu luar biasa, yang terpancar dari dalam. Boleh didapati di 23 negara dan wilayah seluruh dunia[3].

Laman Sesawang Rasmi Clé de Peau Beauté: www.cledepeau-beaute.com

Instagram Rasmi Clé de Peau Beauté: https://www.instagram.com/cledepeaubeaute/  

Laman Penambat Kempen The Serum: https://www.cledepeau-beaute.com/int/unlockthepowerofgirls.html

#KeyToABetterWorld

[1]  UNICEF tidak mengendors mana-mana syarikat, jenama, produk atau perkhidmatan.

[2] Tarikh khusus untuk inisiatif tersebut akan berbeza mengikut pasaran. Sila semak dengan kedai tempatan untuk mengesahkan masa.

[3] Setakat April 2022.

 

Source: Clé de Peau Beauté
Keywords: Computer/Electronics Cosmetics & Personal Care Education Fashion Household/Consumer/Cosmetics Retail Corporate Social Responsibility Not for profit Women-related news STEM (Science,Technology,Engineering,Mathematics)