omniture

Kongres EAN 2022: Pesakit positif COVID-19 berisiko lebih tinggi untuk mendapat gangguan neurodegeneratif, menurut kajian baharu

EAN Congress 2022
2022-06-25 12:01 699

Pesakit luar yang positif COVID-19 menghadapi risiko gangguan neurodegeneratif yang meningkat berbanding individu yang diuji negatif dengan virus tersebut, seperti yang ditunjukkan oleh sebuah kajian baharu yang dibentangkan hari ini di Kongres Neurologi Akademi Eropah (EAN) kali ke-8.

VIENNA, 25 Jun 2022 /PRNewswire/ -- Kajian yang menganalisis rekod kesihatan bagi lebih separuh penduduk Denmark ini mendapati bahawa mereka yang telah diuji positif COVID-19 mempunyai risiko yang meningkat untuk mendapat penyakit Alzheimer, Parkinson dan strok iskemik.

Daripada 919,731 individu yang diuji untuk COVID-19 dalam kajian ini, para penyelidik mendapati bahawa 43,375 individu yang positif mempunyai 3.5 kali ganda peningkatan risiko untuk didiagnosis dengan penyakit Alzheimer, 2.6 kali ganda risiko untuk penyakit Parkinson, 2.7 kali ganda risiko untuk strok iskemik dan peningkatan sebanyak 4.8 kali ganda untuk pendarahan intraserebrum. Walaupun keradangan saraf boleh menyumbang kepada perkembangan gangguan neurodegeneratif yang lebih cepat, pengarang menyerlahkan implikasi fokus saintifik terhadap susulan jangka panjang selepas COVID-19.

Kajian ini menganalisis pesakit luar dan pesakit warga Denmark yang dimasukkan ke hospital antara bulan Februari 2020 hingga November 2021 serta pesakit influenza dari tempoh prapandemik yang berkaitan. Para penyelidik menggunakan teknik statistik untuk mengira risiko relatif manakala hasil keputusan telah dikategorikan mengikut status, umur, jantina dan komorbiditi bagi kemasukan ke hospital.

Dr. Pardis Zarifkar, pengarang utama kajian dari Jabatan Neurologi, Rigshospitalet, Copenhagen, Denmark, menjelaskan, "Selepas lebih dua tahun sejak bermulanya pandemik COVID-19, sifat dan evolusi kesan COVID-19 yang tepat terhadap gangguan neurologi masih belum ditentukan ciri-cirinya. Kajian terdahulu telah membuktikan perkaitan dengan sindrom neurologi, tetapi sehingga kini tidak diketahui sama ada COVID-19 juga mempengaruhi insiden penyakit neurologi tertentu dan sama ada penyakit ini berbeza daripada jangkitan pernafasan yang lain".

Walau bagaimanapun, peningkatan risiko bagi kebanyakan penyakit neurologi adalah lebih rendah pada pesakit positif COVID-19 berbanding pesakit yang telah didiagnosis dengan influenza atau penyakit pernafasan lain. Pesakit COVID-19 mempunyai 1.7 kali peningkatan risiko menghidap strok iskemik berbanding influenza dan pneumonia bakteria pada pesakit yang berusia melebihi 80 tahun.

Kekerapan penyakit neurodegeneratif yang lain seperti sklerosis berbilang, miastenia gravis, sindrom Guillain-Barré dan narkolepsi tidak meningkat selepas COVID-19, influenza atau pneumonia. 

Dr. Pardis Zarifkar menambah, "Penemuan ini akan memberi maklumat kepada kami tentang kesan jangka panjang COVID-19 pada badan dan peranan yang dimainkan oleh jangkitan ini dalam penyakit neurodegeneratif dan strok."

Source: EAN Congress 2022
Keywords: Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Clinical Trials/Medical Discoveries Survey, Polls & Research