MILAN, 6 September 2022 /PRNewswire/ -- Para penyelidik telah mengenal pasti biopenanda imun pada bayi baru lahir yang boleh meramalkan permulaan dan tahap keterukan ekzema atopik susulan pada kanak-kanak seperti yang ditunjukkan dalam sebuah kajian baharu yang dibentangkan di Kongres Dermatologi dan Venereologi Akademi Eropah (EADV) kali ke-31.
Kajian 'Barrier dysfunction in Atopic newBorns' (BABY) atau Disfungsi Penghalang pada Bayi Baru Lahir Atopik menganalisis satu kohort yang mengandungi seramai 450 bayi (300 bayi baru lahir yang cukup bulan dan 150 bayi baru lahir pramatang) untuk memeriksa sama ada penghalang kulit dan biopenanda imun boleh meramalkan permulaan dan tahap keterukan ekzema semasa 2 tahun pertama kehidupan.
Kedua-dua bayi cukup bulan dan pramatang dengan peningkatan tahap 'Thymus and Activation-Regulated Chemokine' (TARC) atau Timus dan Kemokin Aktif Terkawal pada usia 2 bulan didapati lebih dua kali ganda berkemungkinan untuk mendapat ekzema pada usia 2 tahun. Peningkatan risiko ini masih didapati berlarutan selepas penyelarasan atopi ibu bapa (di mana sistem imun lebih sensitif kepada penyakit alahan) dan mutasi gen filagrin, yang merupakan faktor pendorong utama ekzema. Kajian ini mendapati perkaitan yang positif antara tahap TARC dengan keterukan ekzema.
Para penyelidik menggunakan kepingan pita untuk mengumpul sel-sel kulit tanpa rasa sakit dan tidak invasif dari belakang tangan bayi cukup bulan yang berusia 0-3 hari dan 2 bulan dan juga daripada kulit antara tulang belikat pada bayi pramatang yang berusia 2 bulan. Kepingan pita ini dianalisis untuk biopenanda imun dan bayi telah disusul dalam tempoh 2 tahun berikutnya.
Pengarang utama dan penyelidik bersama, Dr. Anne-Sofie Halling dari Hospital Bispebjerg di Universiti Copenhagen, mengulas, "Sepanjang pengetahuan kami, ini adalah kajian pertama yang menunjukkan bahawa biopenanda kulit yang dikumpul secara tidak invasif boleh digunakan untuk meramalkan permulaan dan tahap keterukan ekzema atopik susulan pada kanak-kanak."
"Kajian ini akan membantu kami menyelidik dan mencipta strategi pencegahan masa depan untuk kanak-kanak dengan tahap TARC yang tinggi bagi membantu menghentikan perkembangan penyakit yang lazim dan melemahkan ini, yang merupakan suatu prospek yang menarik."
Ekzema menjejaskan sehingga 20% populasi kanak-kanak dan diagnosis penyakit ini didapati terus meningkat.
"Ujian ini tidak menyakitkan dan mudah dilakukan serta boleh membantu kami mengenal pasti perubahan kulit yang berlaku sebelum perkembangan ekzema, terutamanya untuk jenis penyakit yang paling teruk. Ini memberi kami peluang untuk membangunkan ujian bersasar dan mencegah kes ekzema daripada berlaku," ulas Dr. Anne-Sofie Halling.