omniture

Graetzel menang hadiah tenaga boleh diperbaharui pertama UofL

University of Louisville
2013-11-21 03:30 138

LOUISVILLE, Kentucky, 21 November 2013 /PRNewswire/ -- Ahli kimia dari Switzerland, Michael Graetzel yang diiktiraf atas penemuan sel suria baharu yang lebih mudah dan lebih murah untuk dihasilkan berbanding sel berasaskan silikon, telah memenangi tempat pertama bagi Hadiah Leigh Ann Conn bagi Tenaga Boleh Diperbaharui berjumlah $50,000 daripada Universiti Louisville (UofL).

Graetzel, seorang profesor dan pengarah Makmal Fotonik dan Antara Muka di Ecole Polytechnique Federale de Lausanne, diiktiraf atas sumbangan beliau yang menggabungkan sains nano bersama penukaran foto dengan membangunkan sel suria sensitif pewarna yang dikenali sebagai sel Graetzel.

Sel yang dihasilkan beliau mampu menukarkan cahaya matahari kepada tenaga elektrik dengan menggunakan bahan yang banyak ditemui pada bumi, pada tahap kecekapan yang hampir mencapai tahap kecekapan sel berasaskan silikon berfilem tipis tetapi dengan kos pengeluaran yang jauh lebih rendah. Penghasilan besar-besaran sel tersebut bermula pada tahun 2009.

Graetzel, salah seorang ahli kimia yang banyak disebut-sebutkan dalam artikel ilmiah di seluruh dunia, mempunyai lebih 50 paten dan telah menulis dua buku dan lebih 1,200 hasil penerbitan. Konsep beliau telah berjaya melahirkan beratus-ratus kumpulan penyelidikan dan banyak persidangan.

Pada musim bunga akan datang, beliau akan mengadakan lawatan ke Louisville bagi memberikan ceramah umum berkaitan hasil kerja beliau dan juga bagi menerima pingat dan anugerah Hadiah Conn, yang mengiktiraf idea dan pencapaian yang cemerlang dalam bidang tenaga boleh diperbaharui serta dibuktikan impaknya di peringkat global.

"Dr. Graetzel merupakan peneraju antarabangsa bagi usaha menghasilkan tenaga suria yang lebih cekap, praktikal dan mampu milik. Kami amat menghargai usaha penyelidikan beliau dan kami berbangga dengan pencapaian beliau sebagai pemenang pertama bagi Hadiah Leigh Ann Conn," kata Presiden UofL, James Ramsey yang akan menyampaikan anugerah tersebut.

Hadiah tersebut yang diuruskan oleh Pusat Conn UofL bagi Penyelidikan Tenaga Boleh Diperbaharui, dinamakan bersempena mendiang anak perempuan penyokong pusat dan penyumbang hadiah tersebut, Hank dan Rebecca Conn.

"Pengiktirafan terhadap inovasi dalam bidang tenaga boleh diperbaharui yang berkaliber tinggi sebegini merupakan cara paling indah untuk memperingati Leigh Ann," ujar Hank Conn. "Kami amat teruja kerana sains dibuktikan dan diterjemahkan ke dalam dunia. Pilihan Michael Graetzel mencerminkan tugasan yang dilakukan di Pusat Conn dan menggalakkan lagi segala usaha yang telah dijalankan sejak lima tahun lalu. Leigh Ann pasti berbangga dengannya."

Pencalonan bagi hadiah tahun 2014 akan diterima bermula pada 1 Januari hingga 1 Jun. Foto Graetzel yang boleh dimuat turun boleh didapati di sini.

Source: University of Louisville
Keywords: Education Environmental Products & Services Higher Education Oil/Energy Utilities Awards