Pakar perubatan terkenal di dunia, pengurus hospital dan kementerian kesihatan akan bergabung tenaga pada Sidang Kemuncak Kecekapan dan Kualiti Hospital Asia 2014 di Malaysia yang sangat dinanti-nantikan.
KUALA LUMPUR, Malaysia, 5 Disember 2013 /PRNewswire/ -- Kebimbangan yang kian meningkat terhadap keselamatan pesakit menjadi tunjang setiap perbincangan serius dalam kalangan penyedia penjagaan kesihatan di seluruh Asia. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, "hampir satu dalam sepuluh pesakit tercedera ketika menerima penjagaan kesihatan di hospital yang dibiayai serta menggunakan teknologi terkini". Di hospital yang kurang maju, kadar ini mungkin sekali lebih tinggi. Seiring dengan isu ini, hospital turut terperangkap dalam isu lain seperti peningkatan kos, ketidakcekapan dan pembaziran. Keadaan ini jelas menunjukkan betapa besarnya masalah yang timbul di hospital.
Bagi menghadapi cabaran yang mendatang, pengurus hospital terkemuka, pakar perubatan serta kementerian kesihatan akan berkumpul di Sidang Kemuncak Kecekapan & Kualiti Hospital Asia Tahunan ke-3 2014 pada 19 dan 20 Mac yang bertempat di Kuala Lumpur, Malaysia. Persidangan ini ialah hasil kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan disokong oleh Persatuan Hospital Swasta (Malaysia), yang bertujuan untuk mengenal pasti cara untuk memperbaiki kecekapan, mengurangkan pembaziran dan menguruskan kos di samping memperbaiki keselamatan dan hasil penjagaan kesihatan pesakit.
Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia akan merasmikan acara tersebut dengan ucapan utama beliau tentang Mencapai Wawasan 2020: Pemacu dan Keutamaan KKM yang Penting bagi Memperbaiki Kecekapan dan Kualiti Penjagaan Kesihatan. Para penceramah antarabangsa terkenal lain yang akan turut serta ialah En. Steven Thompson, Ketua Pegawai Eksekutif Johns Hopkins Medicine International, Amerika Syarikat; En. Miles Scott, Ketua Pegawai Eksekutif St. George's Hospital dan Ketua Pegawai Eksekutif Serantau bagi Apollo Hospital Group, Dr. Umapathy Panyala.
Salah satu tema utama yang bakal mendominasi perbincangan pada forum tahun ini adalah bagaimana hospital dapat memperkembangkan tawaran perkhidmatannya tanpa menjejaskan kecekapan dan yang lebih penting lagi, keselamatan. Jawapan kepada persoalan tersebut terletak pada matlamat utama pentadbiran hospital dan bagi melaksanakannya, perbincangan panel pada peringkat ketua telah dijadualkan bagi mengetengahkan isu tersebut. Individu yang membentuk panel perbincangan ini ialah eksekutif terkemuka daripada Apollo Hospitals Group, Fortis Healthcare dan Gleneagles Hospital.
Agenda persidangan tersebut akan dilengkapkan dengan bengkel yang kaya dengan maklumat dan menepati masa tentang: Mengurangkan Kemasukan Semula ke Hospital; Memperbaiki Proses untuk Memendekkan Masa Rawatan dan Memperbaiki Penjagaan Pesakit melalui Pengurusan Jururawat. Satu lawatan yang eksklusif ke Hospital Putrajaya telah diuruskan oleh para penganjur persidangan untuk wakil yang telah membuat tempahan awal.
Sidang Kemuncak Kecekapan & Kualiti Hospital Asia Tahunan ke-3 dianjurkan oleh IQPC. Bagi mengetahui dengan lebih lanjut, layari http://www.hospitalefficiencyquality-asia.com atau hubungi +65-6722-9388. Anda juga boleh e-mel kami di enquiry@iqpc.com.sg