HWACHEON, Korea Selatan, 21 Januari 2014 /PRNewswire/ -- Hasrat 25,000 penduduk kampung telah menarik perhatian 7 bilion orang seluruh dunia.
(Foto: http://photos.prnasia.com/prnh/20140120/8521400305 )
Perkampungan gunung Korea Selatan yang kecil ini telah menjadi tajuk utama berita dalam dan luar negara, dengan lebih 1 juta orang mengunjungi pesta musim sejuk yang dianjurkan di sini setiap tahun.
Menurut pegawai Daerah Hwacheon pada hari Ahad, Pesta Ais Hwacheon Sancheoneo telah diperkenalkan pada rangkaian A.S., ABC melalui "World News Now." Pesta itu merupakan salah satu daripada 138 tajuk berita di 34 negara.
Pada tahun lepas, penyiar Singapura News Asia telah memperkenalkan pesta itu dalam rancangannya "One in a Million" apabila acara itu disebut sebanyak 109 kali dalam berita di 24 negara.
Daerah Hwacheon di Wilayah Gangwon dipenuhi ais.
Dengan populasi seramai hanya 25,000 orang, daerah itu menghadap Korea Utara yang hanya terletak seberang sempadan di satu-satunya negara yang terbahagi di dunia.
Lebih 90 peratus daripada daerah itu terdiri daripada pergunungan dan air, dengan penduduknya hanya menetap di 3 peratus daripada luas kawasannya. Memandangkan jaraknya yang dekat dengan Korea Utara, daerah itu lebih mirip bandar ketenteraan, jadi ia sangat terhad daripada segi pembangunan. Perjalanan kaki selama 20 minit sudah lebih daripada mencukupi untuk melawat seluruh kawasan pusat bandarnya.
Hanya ahli tentera yang mendapat cuti atau keluarga yang melawat para askar sahajalah yang menjadi sumber perniagaan dalam satu-satunya daerah di negara itu yang tidak mempunyai jalan empat lorong.
Situasi itu memerlukan para penduduknya mencari kaedah kelangsungan hidup mereka sendiri.
Kejiranan itu bertuah kerana mempunyai pergunungan yang menawarkan pemandangan indah sewaktu musim panas tetapi ia juga mempunyai sungai yang akan membeku dan menukarkan seluruh kawasan menjadi ais semasa musim sejuk.
Musim sejuk berais inilah yang telah membuahkan ilham. Pada tahun 2003, para penduduknya membuat keputusan untuk menukarkan pergunungan dilitupi salji, sungai beku dan "sancheoneo," atau ikan yang dikenali hanya tinggal dalam air yang bersih, agar menjadi pakej jelajah untuk pesta musim sejuk.
Pesta pertama mereka pada bulan Januari tahun itu jauh melebihi jangkaan mereka, dengan 220,000 orang melawat daerah itu pada ketika ia masih sangat kurang dikenali.
Pada tahun berikutnya, 500,000 orang telah datang. Menjelang pesta kali keempat, ia mempunyai lebih 1 juta pengunjung.
Pada tahun 2009, foto daripada pesta itu telah dipaparkan dalam Time Magazine.
Bilangan pengunjung meningkat secara berterusan, dengan lebih 100,000 pengunjung asing telah melawat perkampungan gunung itu setakat ini.
Bagi menjadikan pesta itu suatu pesta yang tersendiri, para penganjur mengupah pakar yang terdiri daripada orang awam dan memastikan mereka yang mengetuainya, bukan pegawai pentadbiran.
Tumpuan kemudiannya beralih terhadap mempromosikan ekonomi tempatan, dan pada tahun 2006, kad hadiah pesta telah dicipta bagi membenarkan pengunjung pesta membeli produk di daerah itu dengan tiket kemasukan mereka.
Ini mewujudkan pekerjaan baharu untuk 20 juta orang, termasuk warga emas.
Pegawai daerah pula telah menjual produk pertanian bernilai kira-kira 1.1 bilion won. Kesan ekonomi pesta itu dianggarkan bernilai kira-kira 136.6 bilion won, kata mereka.
Pesta Ais Hwacheon Sancheoneo bukan sahaja merupakan salah satu acara yang paling mewakili Korea, tetapi juga salah satu daripada empat pesta musim sejuk utama di dunia. Pada tahun 2011, media asing telah menggelarnya sebagai salah satu daripada tujuh keajaiban. Pada bulan September tahun lepas, daerah itu diiktiraf sebagai bandar pesta dunia untuk populasi yang terdiri daripada kurang 50,000 orang.
Pesta tahun ini, yang dirasmikan pada 4 Januari, sudah pun menarik kunjungan seramai 800,000 orang, dan menjelang hujung minggu ini, angka itu dijangka dapat melepasi kiraan 1 juta orang dengan mudah.
"Impian 25,000 orang telah menambat perhatian 7 bilion orang seluruh dunia," kata Chung Gap-chul, ketua daerah itu. "Kami akan berusaha menukarkan Pesta Ais Hwacheon Sancheoneo menjadi acara antarabangsa dengan menjadikannya acara yang menyeluruh serta menggabungkan budaya dan kesenian."
Pesta itu akan berlangsung sehingga 26 Januari.
Hubungan Media
An gyu-jeong
+82-33-440-2227
a4891@korea.kr