KABUL, Afghanistan, 22 Januari 2014 /PRNewswire/ -- Presiden Afghanistan, Hamid Karzai dan Ketua Pegawai Eksekutif Ariana Television & Radio Network (ATN), Ehsanollah Bayat mengalu-alukan kedatangan lebih seratus pemimpin tertinggi Kabinet Afghanistan, Ahli Parlimen, orang kenamaan rasmi dan wakil antarabangsa ke majlis pembukaan rasmi Pusat Media Bayat pada hari Selasa, 21 Januari 2014 yang bertempat di Kabul.
Bangunan 5 tingkat Pusat Media tersebut merupakan kemudahan penyiaran televisyen dan radio paling besar dan moden di rantau ini dan turut berfungsi sebagai ibu pejabat negara bagi Afghan Wireless Communication Company (AWCC) dan Yayasan Bayat. Pusat Media ini merupakan pelaburan yang benar-benar besar terhadap masa depan ekonomi Afghanistan dan turut memainkan peranan sebagai warisan negara bagi maklumat, komunikasi dan inovasi teknologi serta kepimpinan Afghanistan.
Bangunan Pusat Media seluas lebih 77,000 kaki persegi ini turut mempunyai 7 studio televisyen; 8 studio rakaman radio / audio; 2 studio suara latar dan penyuntingan; serta teater dengan 250 tempat duduk berteknologi video dan audio terkini bagi persembahan televisyen dan radio secara langsung. Kemudahan penerbitan dan penyiaran bertaraf dunia ini dapat meletakkan Ariana Television and Radio dalam kedudukan yang lebih kukuh bagi menyediakan Afghanistan dengan suara kebangsaan yang disatukan, masyarakat digital yang saling bekerjasama dan platform serantau yang sekali lagi dapat menghidupkan peranan kepimpinan Afghanistan dalam media Asia Tengah. Pusat Media ini merupakan salah satu bangunan paling menjimatkan tenaga dan "mesra alam" di Afghanistan yang menggunakan dinding kaca dwilapisan bagi memaksimumkan penggunaan cahaya matahari, lampu LED yang menyeluruh, pemanas air berkuasa suria dan juga sistem kitar semula / rawatan air yang inovatif dan bebas.
Menurut Ehsanollah Bayat, "Pusat Media Bayat bukan sekadar bangunan bertaraf dunia; ia merupakan warisan negara bagi inovasi teknologi, komunikasi dan maklumat yang diterajui Afghanistan bagi kesemua rakyat Afghanistan. Kami telah melalui begitu banyak cabaran sepanjang sejarah negara kami dan kami dapat melihat kemampuan rakyat Afghanistan dari semua bahagian negara untuk menyatukan, membina semula, menguatkan dan memajukan negara bangsa kami ke hadapan. Dengan ini, saya amat berbesar hati dapat menjemput Presiden Karzai untuk bersama saya bagi merasmikan "tetingkap dunia" baharu ini untuk negara kami dan saya amat berbangga untuk menyatakan kepada semua orang serata dunia masa depan Afghanistan adalah amat cerah dan penuh dengan peluang."
Bagi mengucapkan tahniah, Presiden Karzai berkata, "Saya amat berbangga dengan hasil usaha yang dijalankan oleh bangsa kami sendiri. Dengan kewujudan bangunan yang cantik, moden dan canggih ini, saya dapat melihat hasil titik peluh individu Afghanistan yang melabur bagi kemajuan negara kami ini dan rakyatnya. Saya amat gembira dapat melihat kemudahan ini dipenuhi dengan ahli profesional Afghanistan muda yang bijak dan berpengalaman serta saling bekerjasama untuk membentuk masa depan yang lebih cerah buat negara ini. Pusat Media baharu ini bukan sahaja dapat berkhidmat untuk rakyat dan generasi masa depan, malah ia juga menetapkan standard yang tinggi dan rujukan bagi kesemua yang berusaha ke arah membina dan memajukan Afghanistan. Majlis perasmian ini turut meraikan kejayaan yang telah kita usahakan sendiri: modal perniagaan sendiri, usaha, kerja keras serta dedikasi terhadap Afghanistan dan sekalian rakyatnya. Pastinya ini merupakan bukti bagi masa depan yang dicipta oleh Afghanistan, untuk Afghanistan."
Presiden Karzai dan Ehsan Bayat turut mengambil kesempatan dalam majlis tersebut untuk merasmikan ATN News, rangkaian televisyen dan radio baharu yang dapat membawakan penyiaran ATN untuk melengkapi dua televisyen negara dan dua saluran radio negara. ATN News akan memaparkan pakej program berkepelbagaian yang terdiri daripada berita negara dan serantau, dengan penekanan terhadap keseimbangan politik, ekonomi dan analisis serantau serta ulasan.
Berbekalkan kelebihan pengumpulan berita yang luas oleh studio penerbitan berita serantau ATN yang terletak di Herat, Mazar, Jalalabad dan tidak lama lagi di Kandahar, ATN News akan membawakan perspektif negara yang menyeluruh terhadap isu kritikal seharian di bahagian utara, selatan, timur dan barat negara serta membolehkan semua rakyat Afghanistan, tanpa mengira lokasi atau bahasa untuk mengetahui tentang isu yang sedang dihadapi oleh negara dan juga peluang yang ada bagi menyatukan Afghanistan untuk terus berkembang dan makmur. Di samping itu, bagi mempertingkatkan pelaporan berita, ATN News akan turut menyediakan laporan kaji cuaca dan sukan.
Latar Belakang Ariana Television and Radio Network
Sejak ditubuhkan oleh En. Ehsanollah Bayat pada tahun 2005, Ariana Television and Radio Network (ATN) merupakan saluran media swasta paling besar di Afghanistan yang meliputi 33 daripada 34 wilayah dan mampu mencapai sehingga 25,000,000 penduduk Afghanistan. ATN juga boleh didapati melalui satelit bagi penonton yang berbahasa Dari dan Pashto di seluruh Eropah, Asia, Timur Tengah dan Amerika Utara. Program ATN memberi tumpuan terhadap maklumat, kandungan dan hiburan serta penekanan khusus terhadap pendidikan, kesihatan, program untuk kanak-kanak, wanita dan isu dunia. Pasukan ATN juga berbangga dapat menyiarkan berita yang tepat dan tidak berat sebelah kepada para penonton sejurus berlakunya peristiwa berkenaan.
Matlamat ATN sejak pelancarannya adalah berkisarkan rangkuman dan pendidikan, dengan menyediakan "Tetingkap bagi Masa Depan yang Lebih Baik". Dengan penyiaran yang melengkapi dua televisyen negara dan dua saluran radio negara (ATN dan ATN News), matlamat kami adalah untuk mendedahkan maklumat seni & budaya antarabangsa terbaik dari seluruh dunia kepada para penonton televisyen dan pendengar radio kami, di samping membuka peluang untuk para penulis tempatan, penerbit, pelakon dan pengarah dalam kalangan masyarakat Afghanistan. Program dapat diakses melalui laman web ATN, www.arianatelevision.com atau melalui satelit HotBird dan GlobeCast.
Latar Belakang Afghan Wireless
Sebagai syarikat yang ditubuhkan oleh Ehsanollah Bayat dan beribu pejabat di Kabul, Afghanistan, Afghan Wireless (AWCC) merupakan usaha sama antara Telephone Systems International, Inc. (TSI) dan Kementerian Komunikasi yang memberikan perkhidmatannya kepada lebih 4,000,000 pelanggan di seluruh Afghanistan. Dengan mengambil pekerja seramai lebih 5,500 secara langsung dan 100,000 lagi secara tidak langsung, Afghan Wireless merupakan salah satu daripada majikan terbesar di seluruh Afghanistan dan juga merupakan peneraju bagi menyediakan penyelesaian komunikasi wayarles dan jalur lebar kepada para pelanggan di kediaman mereka dan juga yang menjalankan perniagaan. Maklumat tambahan dapat diperoleh melalui www.afghan-wireless.com.
Latar Belakang Yayasan Bayat
Sejak tahun 2005, Yayasan Bayat, organisasi amal 501 c(3) telah mempromosikan kehidupan yang lebih sejahtera untuk penduduk Afghanistan. Setelah ditubuhkan dan dipimpin oleh Ehsan Bayat dan Fatema Bayat, Yayasan ini telah menyumbang kepada lebih 200 projek yang bertanggungjawab untuk mempertingkatkan kualiti hidup kanak-kanak, wanita, orang miskin dan orang tua di Afghanistan. Projek yang terlibat termasuklah pembinaan kemudahan baharu dan infrastruktur yang mampan di kawasan yang memerlukan serta mempromosikan program kesihatan, pendidikan, ekonomi dan kebudayaan. Bagi maklumat lanjut, sila hantarkan e-mel ke: info@bayatfoundation.org.