-- Kerjasama ini akan menyumbangkan lebih $10 juta bagi memerangi AIDS dan melancarkan muat turun percuma lagu debut U2 baharu ketika Super Bowl
NEW YORK, 24 Januari 2014 /PRNewswire/ -- (RED), kumpulan rock U2 serta Bank of America, hari ini mengumumkan kerjasama yang mampu menjana lebih $10 juta bagi memerangi AIDS. Maklumat lanjut boleh didapati melalui www.bankofamerica.com/RED.
(Foto: http://photos.prnewswire.com/prnh/20140123/NY51738-a)
(Logo: http://photos.prnewswire.com/prnh/20140123/NY51738LOGO-b)
Kerjasama tersebut akan dimulakan dengan iklan ketika Super Bowl pada 2 Februari nanti, yang akan memaparkan U2 mempersembahkan lagu baharunya, "Invisible." Edisi terhad lagu tersebut boleh didapati melalui iTunes sebagai muat turun percuma ketika perlawanan berlangsung dan bagi tempoh 24 jam berikutnya. Bagi setiap muat turun dalam tempoh berkenaan, Bank of America akan mendermakan $1 sehingga berjumlah $2 juta kepada Global Fund bagi Memerangi AIDS, Tuberkulosis dan Malaria, yang akan menyediakan perkhidmatan rawatan, pengujian dan pencegahan HIV/AIDS kepada puluhan juta individu di negara paling miskin di dunia.
(RED) telah berjaya menjana lebih $240 juta untuk Global Fund sejak ditubuhkan pada tahun 2006 oleh penyanyi utama U2, Bono dan Bobby Shriver bagi mendorong derma korporat untuk memerangi AIDS. Pembiayaan tambahan daripada Bank of America akan membantu (RED) melebihi sejumlah suku bilion dolar yang dikumpul.
Bono berkata, "Bank of America yang secara sukarela mahu bekerjasama dengan (RED) bagi membantu usaha Global Fund memerangi AIDS merupakan berita yang sangat menguja. Ini juga akan membangkitkan pengaruh yang bukan sahaja mampu meraih jutaan dolar, bahkan mampu meningkatkan kesedaran serta memastikan rakyat peka akan usaha menamatkan wabak yang dahsyat ini yang telah pun menyebabkan kematian 35 juta orang. Komitmen bank yang mahu menyumbang sebanyak $10 juta ini telah menarik perhatian Yayasan Gates, SAP dan Keluarga Motsepe dari Afrika untuk turut menyumbang, lalu menjadikan keseluruhan sumbangan berjumlah $22 juta. Sungguh mengagumkan."
Rahsia kejayaan inisiatif ini adalah melalui peningkatan kesedaran dalam kalangan pelanggan Bank of America yang ramai dan juga lebih 240,000 kakitangan, serta menyediakan peluang untuk mereka bertindak pada saat yang kritikal ini melalui usaha peringkat global bagi membasmi pemindahan HIV daripada ibu kepada anak menjelang tahun 2015. Bank of America berkhidmat untuk satu dalam dua isi rumah di A.S. dengan rangkaian kira-kira 5,100 pejabat perbankan runcit dan 16,300 ATM, mempunyai salah satu laman web yang paling kerap dikunjungi di dunia dan lebih 30 juta pengguna perbankan dalam talian serta 14 juta pengguna menerusi telefon bimbit.
Brian Moynihan, Ketua Pegawai Eksekutif, Bank of America berkata, "Sebagaimana kami mengkhususkan seluruh sumber yang dimiliki kami untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan di A.S. dan di seluruh dunia, kami turut membawakan kemampuan kepada (RED) dan masyarakat kesihatan global dalam usaha memerangi AIDS. Apa yang paling penting ialah kami turut menggalakkan para pelanggan dan kakitangan untuk turut serta dalam usaha ini."
Dana (RED) digunakan bagi memerangi AIDS di lapan negara Afrika iaitu Ghana, Kenya, Lesotho, Rwanda, Afrika Selatan, Swaziland, Tanzania dan Zambia serta digunakan bagi menyokong geran HIV/AIDS untuk menyediakan perkhidmatan rawatan, pengujian dan pencegahan serta penjagaan dengan memberi tumpuan terhadap pembasmian pemindahan HIV daripada ibu kepada anak serta mewujudkan generasi bebas AIDS. Bagi dana yang telah berjaya dikumpulkan oleh (RED) sebanyak lebih $240 juta itu, 100 peratus telah disumbangkan kepada Global Fund bagi perkhidmatan peringkat akar umbi tanpa pengambilan overhed oleh (RED). (RED) dan rakan kongsinya daripada Bank of America, Starbucks, Apple dan banyak lagi bersatu dalam usaha global untuk menamatkan pemindahan virus HIV yang membawa maut ini daripada ibu kepada anak menjelang tahun 2015, selaras dengan Matlamat Pembangunan Milenium PBB.
Mark Dybul, pengarah eksekutif Global Fund bagi Memerangi AIDS, Tuberkulosis dan Malaria berkata, "Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Bank of America, (RED) dan U2 atas kerjasama inovatif ini bagi menyumbangkan sejumlah dana yang diperlukan serta meningkatkan kesedaran bagi memerangi AIDS. Kerjasama ini juga akan memberi impak yang amat besar bagi beberapa tahun akan datang."
Latar Belakang (RED) ™
(RED) telah ditubuhkan pada tahun 2006 oleh Bono dan Bobby Shriver bagi melibatkan perniagaan dan individu untuk memerangi AIDS.
Rakan kongsi (RED) merupakan jenama paling ikonik di dunia yang menyumbangkan sehingga 50% keuntungan daripada barangan dan perkhidmatan berjenama (RED) kepada Global Fund. Rakan Kongsi (RED) termasuk: Apple, Starbucks, The Coca-Cola Company, Beats by Dr. Dre, Belvedere, Claro, SAP, Telcel serta Live Nation Entertainment. Rakan Edisi Istimewa (RED) pula termasuklah: Jonathan Adler, Theory, HEAD, Kidrobot, Mophie, FEED, Sir Richard's Condom Company, Shazam, Girl Skateboards, Nanda Home, Bottletop, Fatboy USA dan juga Bed Bath & Beyond.
Sehingga kini, (RED) telah berjaya mengumpulkan lebih $240 juta untuk Global Fund bagi memerangi AIDS, Tuberkulosis dan Malaria, menyokong geran HIV/AIDS di Ghana, Kenya, Lesotho, Rwanda, Afrika Selatan, Swaziland, Tanzania dan Zambia. 100 peratus daripada dana tersebut disumbangkan kepada usaha peringkat akar umbi dengan tiada pengambilan overhed. Geran Global Fund yang disokong oleh (RED) telah membantu lebih 40 juta individu menerusi perkhidmatan pencegahan, rawatan, kaunseling, pengujian HIV dan juga penjagaan.
(RED) merupakan sebahagian daripada The ONE Campaign.
Ketahui dengan lebih lanjut di red.org.
Latar Belakang Global Fund
Global Fund merupakan institusi kewangan antarabangsa yang dikhususkan untuk menarik dan membayar sumber bagi mencegah dan merawat penyakit HIV dan AIDS, TB serta malaria. Global Fund turut menggalakkan kerjasama antara kerajaan, masyarakat awam, sektor swasta dan masyarakat yang terlibat dengan kaedah paling berkesan untuk membantu mereka yang memerlukan. Pendekatan inovatif ini juga bergantung pada pemilikan negara dan dana berasaskan prestasi, yang bermakna rakyat di negara mereka akan melaksanakan program mereka sendiri berdasarkan keutamaan mereka dan Global Fund menyediakan sumber kewangan apabila keputusan yang memuaskan berjaya diperoleh.
Sejak penubuhannya pada tahun 2002, Global Fund telah membantu lebih 1,000 program di lebih 140 negara, dengan menyediakan rawatan AIDS kepada 6.1 juta pesakit, rawatan anti-tuberkulosis untuk 11.2 juta pesakit dan juga 360 juta jaring yang dirawat dengan racun serangga bagi mencegah penyakit malaria. Global Fund bekerja dengan erat bersama organisasi dua hala dan berbilang hala bagi menyokong usaha yang sedia ada bagi menangani tiga penyakit berkenaan.
Latar Belakang Bank of America
Bank of America merupakan salah satu institusi kewangan paling besar di dunia yang menjalankan perkhidmatan kepada para pengguna secara individu, perniagaan pasaran kecil dan sederhana dan juga syarikat besar dengan sejumlah rangkaian dalam perbankan, pelaburan, pengurusan aset serta perkhidmatan dan produk kewangan dan pengurusan risiko yang lain. Syarikat ini turut memberi kemudahan yang tiada tandingan di Amerika Syarikat, dengan membantu sekitar 50 juta hubungan perniagaan kecil dan pelanggan dengan kira-kira 5,100 pejabat perbankan runcit dan hampir 16,300 ATM serta perbankan dalam talian yang memenangi anugerah dengan 30 juta pengguna aktif dan lebih 14 juta pengguna menerusi telefon bimbit. Bank of America merupakan antara syarikat pengurusan harta yang menerajui di dunia dan peneraju global bagi perbankan korporat dan pelaburan serta perdagangan bagi pelbagai rangkaian kelas aset, berkhidmat untuk syarikat, kerajaan, institusi dan para individu di serata dunia. Bank of America turut menawarkan sokongan yang menerajui industri kepada hampir 3 juta pemilik perniagaan kecil menerusi produk dan perkhidmatan dalam talian yang inovatif dan mudah digunakan. Syarikat ini turut berkhidmat untuk para pelanggan menerusi operasinya di lebih 40 negara. Saham Bank of America Corporation (NYSE: BAC) turut disenaraikan pada Bursa Saham New York.