omniture

GSMA Umumkan Pencalonan Bagi Anugerah Mudah Alih Global Tahunan Kali ke-19

GSMA
2014-01-29 16:00 110

-- Majlis Anugerah Akan Dihoskan oleh Pelakon, Penulis, Penyampai dan Pelawak British yang Memenangi Anugerah Tony dan BAFTA, James Corden

LONDON, 29 Januari 2014 /PRNewswire/ -- GSMA hari ini mengumumkan calon bagi Anugerah Mudah Alih Global tahunan kali ke-19. Para pemenang akan diumumkan pada majlis petang yang akan dihoskan oleh pelakon, penulis, penyampai dan pelawak British, James Corden pada hari Selasa 25 Februari di Kongres Dunia Mudah Alih GSMA, Barcelona. Secara keseluruhannya, 160 pencalonan telah disenarai pendek bagi Anugerah Mudah Alih Global tahun ini. Senarai penuh bagi pencalonan dan kategori anugerah boleh didapati di www.globalmobileawards.com/nominees-2014/

"GSMA mengucapkan tahniah kepada semua calon bagi Anugerah Mudah Alih Global 2014," kata Michael O'Hara, Ketua Pegawai Pemasaran GSMA. "Kami dapat melihat tahap kepentingan yang mencatat rekod bagi Anugerah Mudah Alih Global tahun ini dengan lebih 680 permohonan yang berkualiti, lalu menjadikannya tugasan mencabar bagi para juri kami untuk memilih calon yang disenarai pendek. Kami tidak sabar-sabar lagi untuk mengiktiraf para pemenang di Kongres Dunia Mudah Alih pada bulan hadapan."

Beberapa kategori baharu turut diperkenalkan bagi anugerah 2014 tersebut dan secara keseluruhannya, 38 anugerah akan disampaikan menerusi lebih lapan kategori dengan enam anugerah baharu yang mempamerkan arah aliran yang kian berubah bagi seluruh ekosistem mudah alih. Antara anugerah baharu tersebut, kategori 'Telefon Bimbit dan Peranti Mudah Alih Terbaik' kini mempunyai dua anugerah telefon pintar yang mencerminkan pertumbuhan yang pantas dalam pasaran telefon pintar dan turut mengiktiraf kesan positif peranti yang mudah dimiliki. Terdapat juga peningkatan dalam kategori 'Teknologi Mudah Alih Terbaik', kategori 'Pembangunan Sosial dan Ekonomi' dan juga kategori 'App Terbaik', antara lainnya.

Majlis Anugerah Mudah Alih Global akan bermula pada jam 14.30 di Dewan 4, Auditorium 1. Majlis tersebut adalah terbuka kepada para peserta Kongres Dunia Mudah Alih daripada syarikat yang disenarai pendek, tanpa mengambil kira jenis pas serta para peserta Kongres Dunia Mudah Alih lain yang memiliki pas Platinum, Emas, Perak atau Akhbar/Penganalisis.

Para pemenang Anugerah Kepimpinan Kerajaan yang mengiktiraf kerajaan dari seluruh dunia bagi inovasi dan kepimpinan mereka terhadap penggunaan teknologi mudah alih dalam sektor awam, akan diumumkan pada majlis berasingan, pada hari Isnin, 24 Februari.

Anugerah bagi 'Telefon Bimbit, Peranti atau Tablet Mudah Alih Baharu Terbaik di Kongres Dunia Mudah Alih 2014' akan dikenal pasti dan dipilih daripada yang dipamerkan pada acara tersebut. Senarai pendek bagi anugerah ini akan diumumkan melalui Mobile World Live TV dan laman web Anugerah Mudah Alih Global pada 26 Februari dan pemenang akan diberi penghormatan dalam persembahan secara langsung melalui Mobile World Live TV pada hari berikutnya.

Hos bagi Anugerah Mudah Alih Global 2014, James Corden merupakan bintang penerima Anugerah Tony "One Man, Two Guvnors" yang telah ditayangkan di National Theatre, UK dan di Broadway, New York. James juga merupakan penulis bersama yang memenangi anugerah BAFTA dan bintang rancangan sitkom TV British, "Gavin and Stacey", hos selama empat kali berturut-turut bagi Anugerah BRIT dan juga hos bagi rancangan kuiz Sky 1, "A League of Their Own". Baru-baru ini, beliau turut melakonkan watak dalam produksi filem Weinstein, "One Chance", pencipta bersama, penulis bersama dan bintang bagi rancangan televisyen komedi seram, "The Wrong Mans" serta menjalani penggambaran bagi filem "Into the Woods" bersama Meryl Streep, Johnny Depp dan Emily Blunt.

Lebih 175 penganalisis bebas, wartawan, ahli akademik dan pakar bidang dari serata dunia turut terlibat dalam proses penghakiman. Di samping itu, para ketua pegawai teknologi daripada 14 pengendali mudah alih turut terlibat bagi menghakimi anugerah "Teknologi Mudah Alih Keseluruhan yang Cemerlang" termasuk ketua pegawai teknikal daripada CSL, Eircom, KT, M1, MTN, NTT DOCOMO, SK Telecom, Telefonica (Movistar dan O2), Telstra, Three, T-Mobile, VimpelCom dan juga Vodafone.

Maklumat penuh berkaitan Anugerah Mudah Alih Global boleh didapati di www.globalmobileawards.com.

Kongres Dunia Mudah Alih 2014 akan berlangsung pada 24 hingga 27 Februari di Fira Gran Via, Barcelona. Bagi maklumat lanjut, sila layari www.mobileworldcongress.com.

Latar Belakang GSMA

GSMA mewakili kepentingan pengendali mudah alih di seluruh dunia. Merangkumi lebih 220 negara, GSMA menyatukan hampir 800 pengendali mudah alih dunia dengan 250 syarikat di dalam ekosistem mudah alih yang lebih luas, termasuk pembuat peranti dan telefon bimbit, syarikat perisian, penyedia peralatan dan syarikat Internet serta organisasi dalam sektor industri seperti perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan, media, pengangkutan dan utiliti. GSMA turut menganjurkan acara yang menerajui industri seperti Kongres Dunia Mudah Alih dan Ekspo Asia Mudah Alih.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, sila layari laman web korporat GSMA di www.gsma.com. Ikuti GSMA di Twitter: @GSMA.

 

 

 

 

Source: GSMA
Related Links:
Keywords: Computer/Electronics Consumer Electronics Mobile Entertainment Telecommunications Trade show news