BARCELONA, Sepanyol, 24 Februari 2014 /PRNewswire/ -- GSMA hari ini mengumumkan penganugerahan selepas kematian untuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif GSMA, Robert G. Conway dengan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat GSMA yang pertama. Anugerah berprestij ini bertujuan untuk mengiktiraf segala usaha Rob yang penting dalam memacu perkembangan industri mudah alih, untuk manfaat pengendali mudah alih, syarikat seluruh ekosistem, kerajaan, perniagaan serta berbilion-bilion pengguna di serata dunia. Anugerah ini telah disampaikan kepada ahli keluarga Rob dalam majlis khas pada hari Ahad di Kongres Dunia Mudah Alih.
"Rob telah berusaha dengan bertungkus-lumus demi industri mudah alih, dengan menggalakkan usaha positif dalam kalangan pengendali mudah alih GSMA serta memperjuangkan pengaruh dan manfaat mudah alih ke serata dunia," kata Jon Fredrik Baksaas, Pengerusi GSMA serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Telenor Group. "Dengan mewakili pihak Lembaga GSMA dan seluruh ahli kami, serta sebagai rakan kerja dan sahabat lama beliau, saya ingin menyatakan penghargaan atas penghormatan bagi menyampaikan anugerah penting ini kepada ahli keluarga Rob dan turut berkongsi pelbagai kejayaan beliau dalam industri yang dinamik ini."
Rob amat dikenali kerana kepimpinan beliau selama bertahun-tahun bersama GSMA, dengan memajukan pertubuhan ini daripada peranan awalnya sebagai badan separa standard hinggalah kepada organisasi yang mewakili hampir 800 pengendali mudah alih di seluruh dunia. Tempoh perkhidmatan beliau selama 12 tahun bersama GSMA menghasilkan perkembangan yang dramatik serta pesat dalam pelbagai teknologi GSM, termasuk peralihan daripada rangkaian 2G kepada jalur lebar mudah alih, sehinggalah kepada penggunaan komersil 4G LTE pada akhirnya. Dalam tempoh ini, dunia menyaksikan pelancaran telefon pintar, tablet dan juga pelbagai peranti mudah alih buat julung kalinya, serta perkembangan pelbagai perkhidmatan mudah alih yang memudahkan serta menambah baik kehidupan individu. Industri ini juga berjaya mencapai beberapa kejayaan penting dalam tempoh penting ini, melangkaui 5 bilion sambungan mudah alih peringkat global pada tahun 2010.
Salah satu kejayaan Rob yang paling penting bersama GSMA ialah pengambilalihan acara penting organisasi ini iaitu Kongres Dunia Mudah Alih. Bermula dari saat itu, Kongres Dunia Mudah Alih telah beralih dari Cannes ke Barcelona yang terus memperlihatkan kegemilangannya sehingga menjadi acara tahunan yang penting bagi industri ini dengan menarik lebih 75,000 peserta pada setiap tahun.
Rob turut memainkan peranan penting dalam usaha awal untuk "menghubungkan yang masih belum dihubungkan", memacu seluruh sektor mudah alih menerusi pertandingan pada tahun 2006 bagi menghasilkan Telefon Bimbit Pasaran Baharu yang bernilai kurang $30. Beliau juga merupakan pendorong utama di sebalik pembentukan organisasi GSMA Mudah Alih untuk Pembangunan yang memberi tumpuan terhadap penyatuan ahli pengendali mudah alih GSMA, industri mudah alih yang lebih luas serta komuniti pembangunan untuk memacu perkhidmatan mudah alih komersil bagi individu yang kurang mendapat peluang ini dalam pasaran baharu.
Kerjaya Rob dalam industri mudah alih ini telah berkembang melangkaui GSMA; sebagai pegawai eksekutif bersama Motorola, beliau memainkan peranan penting dalam pengenalan kepada penggunaan GSM pertama di Amerika Latin pada tahun 1990-an dan menerajui usaha syarikat tersebut yang membawa kepada penghasilan pengendali mudah alih di Brazil dan Mesir. Rob juga merupakan Ketua Pegawai Hal Ehwal Antarabangsa untuk VimpelCom dan berkhidmat untuk lembaga pengurusannya bermula pada tahun 2011 hingga 2013.
Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat ini merupakan sebahagian daripada Anugerah Mudah Alih Global tahunan, yang akan disampaikan pada hari Selasa, 25 Februari, jam 2:30 petang. Anugerah Mudah Alih Global ini akan diadakan di Auditorium 1, Dewan 4, Fira Gran Via dan terbuka kepada semua peserta Kongres Dunia Mudah Alih daripada kesemua syarikat yang telah disenarai pendek, tanpa mengira jenis pas, serta kesemua peserta Kongres Dunia Mudah Alih lain yang memegang pas Platinum, Emas, Perak atau Wartawan/Penganalisis.
Sila ikuti perkembangan serta kemas kini tentang Kongres Dunia Mudah Alih (#MWC14) melalui Twitter @GSMA atau menerusi Facebook www.facebook.com/mobileworldcongress.
Latar Belakang GSMA
GSMA mewakili kepentingan pengendali mudah alih seluruh dunia. Merentasi lebih 220 negara, GSMA menyatukan hampir 800 daripada pengendali mudah alih dunia dengan 250 syarikat dalam ekosistem mudah alih lebih luas, termasuk pembuat telefon bimbit dan peranti, syarikat perisian, penyedia peralatan dan juga syarikat Internet, serta organisasi dalam sektor perindustrian seperti perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan, media, pengangkutan dan kemudahan awam. GSMA turut menganjurkan acara yang menerajui industri seperti Kongres Dunia Mudah Alih dan Ekspo Asia Mudah Alih.
Bagi maklumat lanjut, sila lawati laman web korporat GSMA di www.gsma.com. Ikuti GSMA di Twitter: @GSMA.