omniture

GSMA Memberi Penghormatan kepada Kerajaan Botswana, Lebanon, Sepanyol dan Emiriah Arab Bersatu semasa Anugerah Kecemerlangan Mudah Alih Kerajaan

GSMA
2014-02-25 00:30 169

BARCELONA, Sepanyol, 25 Februari 2014 /PRNewswire/ -- GSMA hari ini mengiktiraf kerajaan Botswana, Lebanon, Sepanyol dan Emiriah Arab Bersatu semasa Anugerah Kecemerlangan Mudah Alih Kerajaan berp restij dalam industri mudah alih, yang mengiktiraf pencapaian kerajaan tersebut yang signifikan dalam memacu pertumbuhan dan impak sosioekonomi industri mudah alih di negara mereka masing-masing. Pada tahun ini, Anugerah Kecemerlangan Mudah Alih Kerajaan telah diperluaskan bagi merangkumi empat kategori: Kepimpinan Kerajaan, Spektrum untuk Jalur Lebar Mudah Alih, Polisi Ekonomi untuk Pertumbuhan Mudah Alih Mampan serta Kerajaan Terhubung. Anugerah itu mengiktiraf polisi dan kawal selia kerajaan yang menggalakkan pelaburan dan menyokong ketelusan, persaingan dan juga kebebasan kawal selia.

"Kerajaan Botswana, Lebanon, Sepanyol dan Emiriah Arab Bersatu telah menunjukkan komitmen yang jelas bagi mengutamakan aspek mudah alih dalam agenda digital mereka," kata Tom Phillips, Ketua Pegawai Kawal Selia GSMA. "Kami menggalakkan pihak pentadbiran dari seluruh dunia agar mendapat ilham daripada pencapaian mereka dan turut menggunakan langkah amalan terbaik yang serupa bagi menggalakkan pelaburan industri mudah alih yang lebih tinggi, menyokong inovasi serta meningkatkan pembekalan khidmat mudah alih bagi rakyat mereka."

Anugerah Kepimpinan Kerajaan – Kerajaan Botswana
Anugerah Kepimpinan Kerajaan 2014 telah disampaikan kepada Kerajaan Botswana dan juga Yang Berhormat Menteri Komunikasi, En. Nonofo Molefhi. Menteri itu serta kepimpinan dan wawasan Kerajaan beliau bagi Afrika Selatan bersifat digital merupakan pemangkin bagi kolaborasi serantau dalam Sidang Kemuncak Menteri "Menggalakkan Rangkuman Digital di Afrika Selatan" yang diadakan di Kasane, Botswana pada September 2013. Sidang kemuncak ini diakhiri dengan majlis menandatangani kenyataan bersama oleh enam negara, yang disokong dengan komitmen daripada GSMA bagi memperluas usaha membina kapasiti di rantau itu. Persetujuan itu bertindak sebagai rangka kerja bagi penyelarasan polisi serantau yang diperhebat.

Anugerah Spektrum untuk Jalur Lebar Mudah Alih – Kerajaan Emiriah Arab Bersatu
Pihak Berkuasa Kawal Selia Telekomunikasi (TRA) Emiriah Arab Bersatu telah berada di barisan hadapan usaha antarabangsa bagi meningkatkan spektrum yang sedia ada untuk jalur lebar mudah alih. TRA mempengerusikan Persidangan Komunikasi Radio Dunia ITU pada tahun 2012 dan turut menerajui usaha untuk mencapai sepersetujuan serta koordinasi intensif bagi mengenal pasti jalur lebar 700MHz untuk mudah alih, pada peringkat antarabangsa. Pada bulan Mei 2013, Emiriah Arab Bersatu menjadi negara pertama di Timur Tengah, Afrika atau Eropah yang mengiktiraf jalur spektrum 700MHz untuk mudah alih – pencapaian penting dalam pembangunan jalur spektrum yang bakal diselaraskan pada peringkat global untuk jalur lebar mudah alih.

Anugerah Polisi Ekonomi untuk Pertumbuhan Mudah Alih Mampan – Kerajaan Sepanyol
Agenda Digital untuk Sepanyol, yang diluluskan pada bulan Februari 2013, ialah strategi kerajaan bagi membangunkan ekonomi dan masyarakat digital Sepanyol. Dengan 121 langkah padu serta belanjawan sebanyak €2.3 bilion, strategi itu menggabungkan rangka kerja legislatif yang inovatif, bagi menggalakkan pengaturan penggunaan rangkaian mudah alih; program yang dibiayai awam, bagi memperluas liputan rangkaian mudah alih dalam bidang yang kurang berkeuntungan; dan juga peruntukan spektrum yang lebih banyak untuk jalur lebar mudah alih. Bagi meningkatkan pelaburan dalam infrastruktur mudah alih, Kerajaan Sepanyol sedang membangunkan Undang-undang Telekomunikasi Am baharu, yang akan meningkatkan kepastian perundangan dan turut menyediakan faedah kecekapan untuk para pengendali mudah alih melalui perundangan yang mengurangkan kos pengaturan penggunaan rangkaian.

Anugerah Kerajaan Terhubung – Kerajaan Lebanon
Projek "Bukakan Masa Depan Anda" Kerajaan Lebanon bertujuan untuk menyediakan setiap pelajar dengan tablet 3G mampu milik, dibina mengikut pengkhususan dengan kandungan akademik dan juga keselamatan yang mantap. Bekerjasama dengan beberapa penyedia teknologi, matlamatnya adalah untuk menambah baik peluang pendidikan dan turut menyediakan kelebihan pembelajaran untuk kanak-kanak, lalu mewujudkan peluang yang sama seperti peluang kanak-kanak seluruh dunia. Kementerian Telekomunikasi Lebanon membiayai projek itu dengan menyumberkan 15,000 tablet berasaskan Android, semuanya dilengkapi dengan kawalan ibu bapa dan sistem pengurusan mobiliti syarikat (EMM) yang disediakan oleh AirWatch. Matlamat Kementerian Pendidikan adalah untuk mengaturkan penggunaan 400,000 tablet lagi ke dalam sekolah dalam masa dua tahun seterusnya dan turut mengilhamkan penerbit kandungan serta pembangun app untuk mengeluarkan bahan pendidikan bagi tujuan akademik.

Anugerah itu telah disampaikan sebagai sebahagian daripada Program Menteri tahunan GSMA di Kongres Dunia Mudah Alih. Lebih 1,200 wakil kawal selia dan kerajaan yang penting dari seluruh dunia bertemu dengan pemimpin industri bagi membincangkan isu kawal selia tertentu yang berkaitan dengan kemajuan komunikasi mudah alih. Pada tahun ini, Program Menteri telah menarik lebih 160 delegasi, dengan mewakili semua rantau.

Latar belakang GSMA 
GSMA mewakili kepentingan pengendali mudah alih seluruh dunia. Merentasi lebih 220 negara, GSMA menyatukan hampir 800 daripada pengendali mudah alih dunia dengan 250 syarikat dalam ekosistem mudah alih lebih luas, termasuk pembuat telefon bimbit dan peranti, syarikat perisian, penyedia peralatan dan juga syarikat Internet, serta organisasi dalam sektor perindustrian seperti perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan, media, pengangkutan dan kemudahan awam. GSMA turut menganjurkan acara yang menerajui industri seperti Kongres Dunia Mudah Alih dan Ekspo Asia Mudah Alih.

Bagi maklumat lanjut, sila lawati laman web korporat GSMA di www.gsma.com. Ikuti GSMA di Twitter: @GSMA.

Source: GSMA
Related Links:
Keywords: Telecommunications Awards Trade show news