RIGA, Latvia, 25 Februari 2014 /PRNewswire/ --
Rangkaian sosial soal jawab remaja yang semakin popular, Ask.fm telah melancarkan Pusat Keselamatan dalam talian bagi membantu para pelayar Internet untuk membina kemahiran keselamatan dalam talian.
Dengan lebih 90 juta pengguna berdaftar dari 150 negara yang berbeza, laman ini membolehkan para pengguna untuk mengajukan soalan serta memberikan jawapan bagi lebih 35 juta persoalan setiap hari. Memandangkan popularitinya telah benar-benar meningkat, syarikat ini mula menganalisis kaedah interaksi antara pengguna dengan media sosial serta telah membangunkan hab utama yang menyediakan pelbagai maklumat tentang cara untuk menggalakkan kesedaran keselamatan dalam kalangan pengguna.
Pusat Keselamatan ini merupakan ruang yang membolehkan ibu bapa, para penjaga, guru serta para pengguna untuk mendapatkan maklumat tentang bagaimana laman tersebut berfungsi, tip keselamatan dalam talian serta terma dan syarat syarikat tersebut yang ketat. Ia turut bermatlamat untuk mendidik ibu bapa dan sesiapa sahaja yang rapat dengan pengguna berkaitan keselamatan ketika berada dalam talian.
Ilja Terebin, Ketua Pegawai Eksekutif Ask.fm berkata: "Keselamatan dan perlindungan pengguna kami, terutamanya pengguna yang lebih muda merupakan keutamaan kami dan kini kami telah mewujudkan suatu ruang yang membolehkan sesiapa sahaja untuk mempelajari dengan lebih lanjut tentang topik yang amat penting ini. Kami akan terus mengkaji semula bagaimana risiko terhadap pengguna boleh berubah dan akan terus mengemas kini bimbingan yang berkaitan bagi memastikan para pengguna sentiasa peka terhadap perubahan tingkah laku dalam talian."
Dalam tempoh beberapa bulan lalu, syarikat ini telah menunjukkan komitmennya terhadap perlindungan keselamatan pengguna dengan memperkenalkan siri protokol keselamatan. Ini termasuklah peningkatan bilangan moderator bagi pasukan ini, untuk memudahkan dan melancarkan laporan terhadap kandungan yang tidak bersesuaian serta mewujudkan beberapa lapisan keselamatan untuk mengenal pasti dan turut mengeluarkan kandungan yang tidak dibenarkan secara automatik.
Di samping itu, syarikat ini turut menyemak semula setiap gambar dan video yang dimuat naik ke Ask.fm. Setiap kandungan yang dimuat naik akan dinilai oleh beberapa moderator bebas dan jika tidak bersesuaian, ia akan dikeluarkan dalam tempoh 15 minit secara purata.
Baru-baru ini, syarikat tersebut telah menyertai Yayasan Pemantauan Internet, organisasi terkemuka dalam membanteras kandungan dalam talian yang tidak dibenarkan sejak penubuhannya pada tahun 1996.
Bagi mengunjungi hab tersebut, sila layari http://www.ask.fm/safety
Bagi maklumat lanjut, sila hubungi Ross Hall menerusi FTI Consulting di talian +44(0)20-7269-9334 atau Ross.hall@fticonsulting.com
Sumber: Ask.fm