omniture

Kanada dan United Kingdom bergabung tenaga bagi menangani perubahan iklim di Afrika dan Asia

International Development Research Centre
2014-03-07 23:11 146

NAIROBI, Kenya, 7 Mac 2014 /PRNewswire/ -- Pusat Penyelidikan Pembangunan Antarabangsa Kanada (IDRC) dan Jabatan Pembangunan Antarabangsa (DFID) UK hari ini telah mengumumkan pemilihan empat inisiatif penyelidikan berbilang rakan kongsi yang disasarkan bagi menangani impak perubahan iklim di Afrika dan Asia. Sebagai usaha yang dibiayai di bawah program Inisiatif Penyelidikan Adaptasi Kolaboratif di Afrika dan Asia (CARIAA), yang merupakan inisiatif penyelidikan tujuh tahun bernilai $70 juta, usaha ini mengambil pendekatan serba baharu bagi memahami perubahan dan juga adaptasi iklim di beberapa rantau paling lemah di Afrika dan Asia.

Sebagai program yang dirancang sekeliling empat konsortia berbilang rantau, CARIAA akan menumpukan perhatian terhadap tiga "titik panas" global, iaitu rantau separa gersang di Afrika serta Asia Selatan dan Asia Tengah; kawasan muara sungai di Afrika dan Asia Selatan; dan juga Lembangan Sungai Himalaya, dengan pandangan untuk menyumbang kepada polisi dan tindakan berkesan di lapangan. Program ini merentangi negara, rantau, serta sektor, menggunakan titik panas itu sendiri sebagai lensa bagi penyelidikan. Di Afrika, CARIAA akan menangani dua titik panas: rantau separa gersang di Afrika Timur, Barat dan juga Selatan serta Muara Sungai Volta dan Nil.

"Penyelidikan ini akan menghasilkan nasihat praktikal bagi penggubal dasar dan juga pembuat keputusan tempatan. Ia akan membantu pemimpin perniagaan, kementerian ekonomi, serta masyarakat ekonomi serantau membangunkan dasar dan strategi pelaburan yang mengurangkan kemiskinan sambil mengukuhkan adaptasi," kata Presiden IDRC, Jean Lebel. "Sebagai contoh, ia juga akan menunjukkan cara bagaimana firma dapat bertindak balas terhadap peluang pasaran baharu dan juga ancaman yang muncul akibat perubahan iklim serta pemacu penting lain di tanah separa gersang, dan bagaimana kerajaan dapat menyokong mereka dalam mengadaptasi kepada impak perubahan iklim ke atas penghasilan dan rantai nilai mereka."

"Tumpuan CARIAA bagi membangunkan asas bukti yang utuh bagi apa yang berkesan dan apa yang tidak, bertujuan untuk membantu beberapa masyarakat paling lemah di dunia untuk membina ketahanan terhadap kejadian cuaca melampau dan turut mengadaptasi diri kepada perubahan iklim adalah sangat dialu-alukan," kata Virinder Sharma, Penasihat Perubahan Iklim, DFID Kenya. "Saya rasa begitu bersemangat kerana melihat program ini menyasarkan untuk berfungsi pada semua tahap, dan turut merancang untuk melibatkan pihak berkepentingan daripada peringkat tempatan, serantau dan juga antarabangsa sejak permulaannya. Apa yang signifikan secara khususnya ialah tumpuan program ini bagi menghubungkan penyelidikan dengan polisi dan amalan. Proses pembangunan kolaboratif ini penting bagi memastikan bukti ini berguna bagi pembuat keputusan yang relevan."

Laporan Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) yang akan dikeluarkan pada bulan Mac ini mengunjurkan yang rantau kering dunia akan menjadi lebih kering lagi akibat pemanasan global. Persekitaran yang sudah sedia teruk ini akan berhadapan dengan suhu lebih tinggi dan sumber air yang berkurangan, lalu menyebabkan lebih banyak penderitaan dialami oleh mereka yang bergantung terhadap sumber semula jadi sebagai mata pencarian mereka, seperti pertanian, penangkapan ikan atau perhutanan.

Menjelang pertengahan kurun, suhu musim panas purata merentasi kawasan yang luas di Afrika bakal mengatasi rekod suhu paling panas, lalu mengakibatkan berlakunya kekurangan air dan juga kegagalan hasil tanaman. Tempoh musim penanaman pula mungkin akan berkurangan sehingga 20 peratus di kawasan Sahel Afrika Barat, Afrika Selatan dan juga Afrika Timur, menurut laporan itu lagi.

Perubahan iklim turut dijangka akan menjejaskan kawasan pesisiran pantai seperti Muara Sungai Nil, yang sangat terdedah kepada peningkatan aras laut serta peningkatan tahap kemasinan tanah, yang mungkin akan membawa kepada perpindahan paksa bagi sehingga 1.3 juta orang menjelang tahun 2050. Impak yang sama turut diunjurkan di muara sungai utama di India dan Bangladesh, di tempat yang lebih 100 juta orang mungkin akan terjejas.

Tekanan perubahan iklim ini akan diburukkan lagi akibat desakan pembangunan di kawasan yang sudah pun lemah. Contohnya, Lembah Rift di Kenya sedang mengalami hujan yang tidak tentu masa, diselang-seli dengan kemarau dan juga banjir yang memberi kesan kepada penduduk, hasil ternakan, kawasan rumput, hidupan liar serta infrastruktur. Perubahan penggunaan tanah yang tidak dirancang dan pola tempoh pemegangan tanah yang tidak menentu sedang menambah kepada semua tekanan iklim ini. Para petani dan ahli pastoral dengan akses modal yang sedikit merupakan yang paling berisiko. Namun demikian, perubahan yang sedang berlaku ini akan memberi kesan kepada orang bandar mahupun luar bandar. Jika unjuran atasan untuk perubahan iklim ini berlaku, menjelang separuh kedua abad ini, keseluruhan sistem mata pencarian mungkin perlu diubah di tanah separa gersang ini.

Maklumat lanjut, termasuk senarai institusi yang terpilih sebagai sebahagian daripada empat konsortia itu boleh didapati di CARIAA. Taklimat berita tidak rasmi boleh didapati mengikut permintaan.

Ikuti perbualan ini melalui Twitter #CARIAA dan Facebook.

Latar belakang IDRC
Sebagai satu bahagian yang penting dalam usaha dasar asing Kanada, IDRC menyokong penyelidikan di negara membangun bagi menggalakkan pertumbuhan serta pembangunan. Di IDRC, menangani perubahan iklim melalui penyelidikan ialah salah satu daripada aktiviti penting kami. Ketahui lebih lanjut tentang usaha perubahan iklim kami.

Latar belakang DFID
Jabatan Pembangunan Antarabangsa (DFID) UK menerajui usaha kerajaan UK dalam memerangi kemiskinan dunia.

Bagi maklumat lanjut:

Maklumat perhubungan media:

Gloria Lihemo | Kenya | +254 727 903 983 | glihemo@idrc.ca |@IDRC_ROSSA

Isabelle Bourgeault-Tasse | Kanada | +1 613 696-2343 | ibourgeault-tasse@idrc.ca | @IDRC_CRDI

Source: International Development Research Centre
Keywords: Oil/Energy Survey, Polls & Research