omniture

Takeda Lantik Giles Platford sebagai Ketua Pasaran Baharu

Takeda Pharmaceuticals International
2014-03-18 20:37 109

ZURICH, 18 Mac 2014 /PRNewswire/ -- Takeda Pharmaceuticals International GmbH ("Takeda"), hari ini mengumumkan Giles Platford telah dilantik sebagai Ketua Bahagian Operasi Komersil, Pasaran Baharu, dan akan melapor diri kepada Christophe Weber, Ketua Pegawai Operasi Takeda Pharmaceutical Company Limited pada 1 April 2014.

Bagi peranan ini, beliau akan bertanggungjawab untuk memimpin perluasan berterusan bagi segala aktiviti komersil Takeda di rantau ini, yang terdiri daripada Rusia-CIS, Amerika Latin, Timur Tengah/Afrika dan juga Asia Selatan.

Platford yang berasal dari UK telah berkhidmat bersama Takeda sejak tahun 2009 lagi. Baru-baru ini, beliau telah berkhidmat sebagai Ketua bahagian rantau Timur Tengah, Turki, Afrika (META) bagi menstrukturkan semula perniagaan tersebut, lalu berjaya menjana 60% pertumbuhan berbanding tahun sebelumnya dalam tiga suku pertama tahun fiskal berkenaan. Sebelum ini, Platford telah bertugas sebagai Pengurus Besar Takeda Brazil dan telah berjaya mengetuai pemerolehan Multilab, syarikat bersaiz sederhana yang menumpukan usaha terhadap produk generik berjenama serta produk tanpa preskripsi doktor (OTC). Ini seterusnya berjaya menjadikan Takeda sebagai salah satu daripada 10 kumpulan farmaseutikal terkenal di Brazil. Beliau mempunyai pengalaman selama lapan tahun dalam industri farmaseutikal di Asia Pasifik dan turut memegang beberapa peranan penting yang melibatkan Pembangunan Perniagaan serta Pengurusan Komersil dan Am.

Matlamat komersil Takeda adalah untuk menggunakan pendekatan yang fleksibel serta disasarkan untuk setiap pasaran individu dengan menggabungkan produk baharu yang inovatif bersama produk generik berjenama dan juga produk OTC yang sudah mampan. Pasaran baharu dijangka menyumbang sebanyak 70% daripada jumlah pertumbuhan pasaran farmaseutikal global dari tahun 2013 hingga 2017 (IMS Health).

Latar Belakang Takeda Pharmaceuticals International GmbH

Syarikat yang beribu pejabat di Zurich ini merupakan syarikat subsidiari yang dimiliki sepenuhnya oleh Takeda Pharmaceutical Company Limited, Osaka, Jepun. Kehadiran komersilnya pula meliputi lebih 70 negara, dengan kekuatan tertentu di Asia, Amerika Utara, Eropah serta pasaran baharu yang pesat berkembang termasuk Amerika Latin, Rusia-CIS dan juga China. Antara bidang tumpuan syarikat ini termasuklah kardiovaskular dan metabolik, onkologi, pernafasan serta imunologi, sistem saraf pusat, perubatan umum dan juga vaksin.

Takeda juga merupakan syarikat global berasaskan penyelidikan dengan memberi tumpuan utama terhadap bidang farmaseutikal. Sebagai syarikat farmaseutikal terbesar di Jepun dan salah satu peneraju global bagi industri ini, Takeda amat komited untuk berusaha ke arah mempertingkat kualiti kesihatan individu di seluruh dunia menerusi inovasi yang menerajui dalam bidang perubatan. Menerusi penyepaduan Millennium Pharmaceuticals dan Nycomed, Takeda telah berjaya membuat beberapa perubahan penting, memperluas kepakaran terapeutik serta jangkauan geografinya.

Sebarang maklumat lanjut tentang Takeda boleh didapati menerusi laman web korporat, http://www.takeda.com.

Siaran akhbar ini telah dikeluarkan oleh Takeda Pharmaceuticals International GmbH, Thurgauerstrasse 130, CH-8152 Glattpark-Opfikon, Zurich, Switzerland.

SUMBER  Takeda Pharmaceuticals International

Source: Takeda Pharmaceuticals International
Related Links:
Keywords: Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Pharmaceuticals Personnel announcements