omniture

Menerima peluang industri untuk maksimumkan nilai perniagaan 5G

Huawei
2023-10-12 11:44 96

DUBAI, UAE, 12 Oktober 2023 /PRNewswire/ -- Forum Jalur Lebar Mudah Alih Global (MBBF) tahunan Huawei bermula di Dubai semalam. Acara itu bermula dengan perbincangan yang disiarkan secara langsung antara Pengerusi Bergilir Huawei Ken Hu dan Ketua Pengarah GSMA, Mats Granryd mengenai keadaan semasa pembangunan 5G dan unjuran masa depan.

"Teknologi berubah dengan sangat pantas dan permintaan baharu berkembang saban hari," kata Hu. "Maka rangkaian kami juga perlu terus berkembang. Industri kita secara keseluruhannya perlu bersiap sedia untuk mendepani masa depan dan memaksimumkan nilai pelaburan dalam 5G – dan itulah sebabnya kami sangat bekerja keras untuk 5G-Advanced."

Huawei’s Ken Hu and GSMA’s Mats Granryd discussing 5G at MBBF 2023 in Dubai
Huawei’s Ken Hu and GSMA’s Mats Granryd discussing 5G at MBBF 2023 in Dubai

5G telah maju dengan begitu pesat

Kedua-dua Hu dan Granryd bersetuju bahawa 5G telah menyaksikan kemajuan luar biasa dalam penempatan rangkaian, penerimaan, khidmat pelanggan dan aplikasi industri. Setakat ini, lebih daripada 260 rangkaian 5G telah dipasang di seluruh dunia, meliputi hampir separuh daripada populasi dunia. 5G merupakan teknologi mudah alih yang berkembang paling pantas seumpamanya, mencapai satu bilion sambungan hanya dalam tempoh tiga tahun selepas pelancarannya. Sebagai perbandingan, 4G mengambil masa selama enam tahun untuk mencapai kejayaan yang sama.

Menurut Hu, 5G menjadi enjin pertumbuhan baharu untuk operator mudah alih dalam pasaran pengguna. Bagi operator mudah alih yang terkemuka di serata dunia, kini 5G menyumbang sebahagian besar daripada trafik rangkaian. Khususnya, aplikasi berasaskan video mengubah tabiat penggunaan, memacu peningkatan dalam trafik rangkaian sebanyak tiga hingga lima kali ganda dan peningkatan purata 10%–25% dalam ARPU.

5G juga membantu rangkaian komunikasi mudah alih berkembang ke dalam pasaran industri vertikal – salah satu perbezaannya yang terbesar dengan 4G. Ketika ini, terdapat lebih daripada 50,000 aplikasi 5G industri di seluruh dunia dan lebih daripada 10 juta sambungan 5G dalam persekitaran industri.

"Sepanjang empat tahun yang lalu, kami telah mengenal pasti senario penting untuk aplikasi industri seperti kawalan jauh, angkut balik video, visi mesin dan penentududukan, yang membolehkan kami memaksimumkan nilai 5G," sambung Hu. "Kami juga telah mengenal pasti industri-industri seperti perlombongan, pelabuhan dan pembuatan yang melaluinya kami dapat meningkatkan keupayaan 5G."

Granryd berkata, "5G memacu transformasi digital merentas industri-industri dan membuka peluang yang sangat besar. Pada tahun 2030, 5G akan menambah AS$1 trilion kepada ekonomi global, dengan faedah-faedah tersebar dalam semua industri."

Keupayaan, model dan ekosistem baharu: Menyerlahkan potensi penuh 5G

Berbicara tentang langkah-langkah yang seterusnya untuk 5G, Hu menyebut beberapa inisiatif utama berhadapan dengan pengguna yang dapat membantu operator mudah alih mencapai kejayaan perniagaan yang berterusan. Ini termasuk meluaskan liputan rangkaian secara berterusan, meningkatkan pengalaman pengguna dan meneroka model penentuan harga yang lebih fleksibel.

Bagi pasaran B2B, Hu mencadangkan agar industri ini memanfaatkan aplikasi 5G yang terbukti bagi memacu penerimaan 5G secara meluas dalam lebih banyak industri. Sepanjang proses ini, operator mudah alih dapat menetapkan kedudukan mereka yang lebih baik bagi merebut peluang baharu dalam pendigitalan industri dengan mengukuhkan keupayaan mereka dalam awan, pembangunan aplikasi industri dan integrasi sistem hujung-ke-hujung.

"Memandang ke hadapan, banyak tugas yang harus kami lakukan," kata Hu. "Kami perlu meningkatkan keupayaan kami, mengembangkan teknologi, mencipta pengalaman pengguna yang lebih baik, meningkatkan industri dan memaksimumkan nilai pelaburan kami ke atas 5G."

Bagi membantu memperkayakan lagi ekosistem aplikasi 5G, GSMA mencadangkan inisiatif Gerbang Terbuka (Open Gateway) sebagai cara untuk menyokong inovasi silang-industri. Gerbang Terbuka merupakan rangka kerja API umum yang akan membawa akses sejagat kepada keupayaan rangkaian operator, membolehkan pembangun dan penyedia perkhidmatan awan menambah baik dan mencipta perkhidmatan digital baharu.

"Kini, kami mempunyai kira-kira 240 operator mudah alih mendaftar, mewakili lebih daripada 62% daripada pelanggan mudah alih dunia," kata Granryd. "Gerbang Terbuka merupakan cara untuk pembangun, penskala hiper dan lain-lain memanfaatkan keupayaan rangkaian dengan lebih berkesan dan mencipta API umum yang dapat kami kongsikan merentas seluruh komuniti operator. Ia seperti apa yang kami lakukan dengan perayauan dalam era 2G yang lalu, tetapi untuk API, ia sangat-sangat mengujakan."

"Kita perlu mengaktifkan ekosistem," kata Hu bersetuju. "Terutamanya pembangun aplikasi. Gerbang Terbuka merupakan cara yang hebat untuk membantu pembangun memanfaatkan sepenuhnya rangkaian, mencipta peluang pembangunan yang lebih besar untuk 5G baik dalam pasaran pengguna mahupun pendigitalan industri."

Forum Jalur Lebar Mudah Alih Global 2023 dianjurkan oleh Huawei, bersama-sama rakan-rakan industrinya GSMA, GTI dan SAMENA. Diadakan pada 10 dan 11 Oktober di Dubai, UAE, forum tahunan ini menghimpunkan pembawa rangkaian mudah alih, pemimpin industri vertikal dan rakan kongsi ekosistem dari serata dunia untuk meninjau kejayaan pengkomersialan 5G dan mempercepatkan penggunaan komersial 5.5G. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi: https://www.huawei.com/en/events/mbbf2023.

Source: Huawei
Keywords: Banking/Financial Service Computer Hardware Computer Networks Computer Software Computer/Electronics Consumer Electronics Entertainment Internet Technology Mobile Entertainment Computer Accessories Telecommunications Telecommunications Carriers and Services Telecommunications Equipment Trade show news Cloud Computing / Internet of Things