Pemenang Hadiah Nobel, Peneraju Industri, Mantan Ketua Negara dan Pemimpin Masyarakat Awam Bersatu dalam Menyeru Pembebasan Tanpa Syarat terhadap Etnik Armenia yang Ditahan Secara Haram di Azerbaijan
Kegagalan membebaskan kebanyakan banduan yang terkenal ini menunjukkan pembalasan politik oleh Baku; Seruan untuk dikenakan sekatan terhadap rejim Aliyev semakin meningkat di Kongres AS dan Parlimen Eropah
Surat yang ditandatangani oleh mantan Presiden, Mary Robinson, Ernesto Zedillo, Pemenang Hadiah Nobel, Leymah Gbowee dan Oscar Arias, Elisha Wiesel, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Elie Wiesel Foundation for Humanity, usahawan Richard Branson, Marc Benioff, penerbit Ariana Huffington dan tokoh-tokoh global lain yang menunjukkan sikap prihatin terhadap para pemimpin daripada wilayah Nagorno-Karabakh yang ditahan, termasuk aktivis kemanusiaan Armenia, Ruben Vardanyan.
BRUSSELS, 12 Disember 2023 /PRNewswire/ -- Pemenang Hadiah Nobel, pemimpin perniagaan, mantan ketua negara dan aktivis kemanusiaan adalah antara lebih 100 orang tokoh global yang telah menandatangani satu surat bagi menyeru pembebasan segera dan tanpa syarat terhadap "Banduan Armenia" yang termasuk lapan orang tahanan politik Armenia, yang merupakan bekas pemimpin kerajaan Nagorno-Karabakh yang ditahan secara haram berikutan pencerobohan Azerbaijan dan perampasan yang dilakukan ke atas wilayah tersebut pada bulan September lepas. Lebih puluhan tawanan perang lain yang ditangkap semasa konflik tersebut turut kekal dalam tahanan.
Seruan secara kolektif ini menyuarakan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai keadaan dan layanan terhadap individu yang dipenjarakan ini, termasuk ahli perniagaan dan aktivis kemanusiaan Armenia yang terkenal, Ruben Vardanyan. Penahanan mereka dilakukan susulan kempen penghapusan etnik oleh pasukan tentera Azerbaijan. Walaupun pembebasan seramai 32 orang tawanan perang Armenia pada 7 Disember lepas merupakan satu langkah pertama yang dialu-alukan, namun semua tahanan yang lain mesti dibebaskan. Kegagalan Baku membebaskan baki lapan orang tahanan politik menimbulkan kebimbangan yang mendalam terhadap motif rejim Aliyev dalam penahanan mereka yang berterusan.
"Penyalahgunaan hak asasi manusia yang disaksikan selepas berlakunya konflik Nagorno-Karabakh menuntut perhatian dan tindakan segera," kata Noubar Afeyan, seorang lagi penandatangan yang juga merupakan Pengasas Bersama Aurora Humanitarian Initiative. "Presiden Aliyev memilih pembalasan politik berbanding keadilan. Kami percaya pada maruah dan hak setiap individu yang wujud serta menyeru masyarakat antarabangsa menyertai kami dalam mengutuk ketidakadilan ini."
Afeyan telah lama bekerjasama dalam projek kemanusiaan dan pembangunan ekonomi serantau dan global dengan Vardanyan, yang telah menjadi simbol perjuangan yang lebih luas terhadap kebebasan politik dan maruah manusia di wilayah ini. Pemenjaraan beliau yang tidak adil telah mendorong beberapa tokoh yang paling dihormati di dunia untuk memperjuangkan usaha beliau dan orang lain yang ditahan secara tidak adil.
"Kami menyeru Presiden Aliyev untuk memenuhi tanggungjawab beliau terhadap peraturan dan undang-undang antarabangsa dengan memastikan mereka yang dipenjarakan secara tidak adil dapat pulang dengan selamat kepada keluarga mereka," kata Paul Polman, Naib Pengerusi Global Compact Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang juga mantan Ketua Pegawai Eksekutif Unilever. "Semua individu di wilayah Nagorno-Karabakh mempunyai hak untuk memperoleh kehidupan yang aman dan selamat, termasuk kebebasan untuk bergerak tanpa halangan atau dihantui ketakutan terhadap perlakuan yang tidak berperikemanusiaan. Memandangkan Azerbaijan menawarkan untuk menjadi tuan rumah COP 29 pada tahun 2024, saya amat berharap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu hanya akan bersetuju jika Baku membebaskan kesemua banduan ini."
Polman ialah salah seorang penandatangan surat tersebut, bersama-sama mantan ketua negara seperti Ernesto Zedillo, mantan Presiden Mexico; Mary Robinson, mantan Presiden Ireland; Oscar Arias, mantan Presiden Costa Rica yang juga Pemenang Hadiah Nobel Keamanan dan Elisha Wiesel, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Elie Wiesel Foundation for Humanity serta anak lelaki mendiang Elie Wiesel, mantan Pengerusi Bersama Aurora Prize for Awakening Humanity. Penandatangan lain yang terkenal mewakili pelbagai sektor, termasuk Richard Branson, Ketua Pegawai Eksekutif Virgin, Marc Benioff, Ketua Pegawai Eksekutif Salesforce; Ariana Huffington, Pengasas Thrive dan The Huffington Post; dan Serj Tankian, pemuzik terkenal dan vokalis utama System of a Down.
"Penahanan yang tidak adil terhadap Ruben Vardanyan dan begitu juga dengan ramai lagi yang ditahan di Baku adalah melanggar hak asasi manusia mereka," kata Mary Robinson, Bekas Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB. "Supaya kerajaan Azerbaijan dihormati oleh masyarakat global, adalah penting bagi mereka untuk menghormati kedaulatan undang-undang, terutamanya dalam peristiwa pembersihan etnik Nagorno-Karabakh. Mereka mesti membebaskan tahanan ini dengan segera."
Seruan bersama mereka bertindak sebagai satu peringatan yang kuat bahawa para pemimpin politik di seluruh dunia memantau dengan teliti perkembangan di Azerbaijan dan menyeru pembebasan tahanan. Seperti yang ditegaskan dalam surat yang dikeluarkan hari ini, penahanan banduan Armenia tersebut adalah jelas melanggar norma antarabangsa, termasuk Konvensyen Geneva Ketiga.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, ahli-ahli Parlimen Eropah dan Majlis Eropah telah mengusahakan perjanjian damai antara Armenia dengan Azerbaijan dan pembebasan semua tahanan yang ditahan secara haram akibat konflik di wilayah Nagorno-Karabakh. Pada bulan Oktober lepas, Parlimen Eropah telah meluluskan satu resolusi yang menyeru Azerbaijan untuk membebaskan dan memberi pengampunan yang meluas kepada semua penduduk Nagorno-Karabakh yang telah ditangkap sejak 19 September lepas, termasuk bekas pegawai dari wilayah itu. Parlimen Eropah juga telah meminta sekatan dikenakan terhadap individu dalam Kerajaan Azerbaijan yang bertanggungjawab atas pelbagai pelanggaran gencatan senjata dan pelanggaran hak asasi manusia di wilayah Nagorno-Karabakh, serta penyiasatan ke atas penyalahgunaan yang dilakukan oleh tentera Azerbaijan yang boleh menjadi jenayah perang.
Begitu juga dengan Ahli Kongres Adam Schiff (D-CA) yang memperkenalkan satu resolusi yang menyeru Azerbaijan supaya membebaskan dengan segera semua tawanan perang (POW) dan orang awam yang kini ditahan dalam serangan selama bertahun-tahun di wilayah Nagorno-Karabakh yang juga dikenali sebagai Artsakh. Resolusi itu juga menyeru Presiden Biden untuk mengenakan sekatan mengikut Akta Kebertanggungjawaban Hak Asasi Manusia Global Magnitsky ke atas pegawai Kerajaan Azerbaijan yang bertanggungjawab terhadap penahanan haram, penyeksaan dan pembunuhan di luar bidang kehakiman terhadap tawanan perang Armenia, tahanan awam, tebusan, tahanan politik dan lain-lain yang ditahan.
Senarai penuh penandatangan dan salinan surat tersebut boleh didapati di: www.FreeArmenianPrisoners.com
Untuk soalan mengenai surat itu atau cara menyokong usaha ini atau untuk meminta temu bual, sila hubungi: contact@freearmenianprisoners.com
HUBUNGAN:
Nia Jackson
Edelman Global Advisory
+1 202 983 0478
nia.jackson@edelmanega.com
Anahit Akopian
H/Advisors
+33 7 87 38 79 80
anahit.akopian@havas.com
Free Armenian Prisoners
contact@freearmenianprisoners.com
www.FreeArmenianPrisoners.com
#FreeArmenianPrisoners @RubenVardanyan