SINGAPURA, 15 Januari 2024 /PRNewswire/ -- Schaeffler, the motion technology company (syarikat teknologi gerakan), hari ini menyertai Advanced Remanufacturing and Technology Centre (ARTC), sebuah institut penyelidikan di bawah Agency for Science, Technology and Research (A*STAR), sebagai ahli Tahap 1 dalam konsortium industrinya untuk mempercepatkan penyelidikan translasi demi pembuatan termaju.
Perkongsian antara Schaeffler dan A*STAR dijangka mempercepatkan penggunaan teknologi pembuatan termaju dan konsep pengeluaran baharu, khususnya industrialisasi pembuatan aditif dan robotik di tapak pengeluaran Schaeffler di peringkat global. Majlis penandatanganan telahpun diadakan di A*STAR ARTC, Singapura. Perjanjian keahlian ini ditandatangani oleh Andreas Schick, Ketua Pegawai Operasi, Schaeffler AG dan Dr David Low, Ketua Pegawai Eksekutif, ARTC, A*STAR.
Andreas Schick: "Kami berasa teruja dapat berkolaborasi dengan ARTC A*STAR untuk meningkatkan keupayaan dan proses pembuatan termaju kami. Schaeffler mempunyai tahap kecekapan yang tinggi dalam industrialisasi dan pengetahuan selama berdekad-dekad dalam teknologi pengeluaran. Perkongsian ini memberi peluang unik untuk mempercepatkan inovasi dalam proses dan tapak pengeluaran kami. Hal ini membawa kami satu langkah penting ke hadapan dalam membentuk operasi peringkat seterusnya."
Klaus Mueller, Ketua Pegawai Operasi Asia/Pasifik, Schaeffler AG: "Rantau Asia Pasifik, dengan kepelbagaian perspektifnya yang beraneka, menyediakan platform yang unik untuk inovasi. Singapura, diiktiraf di peringkat global atas kehebatannya dalam penyelidikan dan pemnbangunan, membolehkannya berdiri sebagai hab penting untuk mencapai kecemerlangan teknologi. Keahlian kami dengan ARTC A*STAR mengukuhkan komitmen kami untuk memanfaatkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan kecemerlangan teknologi Singapura untuk memacu perubahan yang positif dalam pembuatan termaju. Kami bersama-sama berharap dapat membentuk masa depan pembuatan termaju secara kolektif."
ARTC A*STAR ialah platform kontemporari yang dibangunkan berdasarkan perkongsian awam-swasta yang kukuh untuk menterjemahkan penyelidikan kepada aplikasi industri. Ia dipimpin oleh A*STAR, dengan kerjasama Nanyang Technological University, Singapura (NTU Singapura). Dengan lebih daripada 90 anggota industri, ARTC menghimpunkan industri, sektor awam dan dunia akademik bagi merapatkan jurang teknologi dalam menerima pakai proses pembuatan dan pembuatan semula yang canggih.
"Kolaborasi ARTC A*STAR bersama Schaeffler akan membina kapasiti dalam pembuatan aditif, robotik dan pemeriksaan visual, bagi meningkatkan teknologi pengeluaran termaju yang ketika ini digunakan di tapak pembuatan Schaeffler. Penambahan kepakaran Schaeffler dalam kejuruteraan berkejituan tinggi akan mengukuhkan konsortium industri ARTC kami, seterusnya membolehkan ARTC dan ekosistem ini berinovasi bersama dan menangani pelbagai penyataan masalah dalam domain pembuatan," kata Dr David Low, Ketua Pegawai Eksekutif, ARTC, A*STAR.
Melalui perkongsian ini, Schaeffler dan ARTC akan mendorong projek-projek inovasi bersama dalam pembuatan aditif dan robotik serta membangunkan konsep dan teknologi pengeluaran baharu.
Ini termasuk mengatasi cabaran dalam Industrialisasi Pembuatan Aditif, Sistem Autonomi dan Robotik serta Pengesahan Produk Pintar.
Foto: Schaeffler
From left to right: Andreas Schick, Chief Operating Officer, Schaeffler AG, and Dr David Low, Chief Executive Officer, ARTC, A*STAR signed the membership agreement which will see the Schaeffler joining as a Tier 1 member of ARTC’s industry consortium to accelerate translational research for advanced manufacturing.
Schaeffler Group – We pioneer motion
Schaeffler Group telah memajukan ciptaan dan pembangunan perintis dalam bidang teknologi gerakan selama lebih 75 tahun. Dengan teknologi, produk dan perkhidmatan inovatif untuk mobiliti elektrik, pemacu cekap-CO₂, penyelesaian casis, Industri 4.0, pendigitalan dan tenaga boleh baharu, syarikat ini merupakan rakan kongsi yang andal untuk menjadikan gerakan lebih cekap, pintar dan mampan – dalam seluruh kitaran hayat. Syarikat teknologi gerakan ini mengeluarkan komponen dan sistem berkejituan tinggi untuk rangkaian pemacu dan aplikasi casis serta penyelesaian galas guling dan galas biasa untuk sejumlah besar aplikasi industri. Schaeffler Group menjana jualan sebanyak EUR 15.8 bilion dalam tahun 2022. Dengan sekitar 84,000 pekerja, Schaeffler Group merupakan salah sebuah syarikat milik keluarga terbesar di dunia. Dengan lebih daripada 1,250 permohonan paten dalam tahun 2022, Schaeffler merupakan syarikat keempat paling inovatif di Jerman menurut DPMA (Pejabat Paten dan Tanda Dagangan Jerman).