PISA, Itali serta HONG KONG, 8 September 2014 /PRNewswire/ --
Abiogen Pharma S.p.A. dan Lee's Pharmaceutical Holdings Limited telah bersama mengumumkan persetujuan untuk Lesen, Pengedaran, dan juga Bekalan bagi pemasaran Kolekalsiferol Thorens® (atau vitamin D3) di serata China, Hong Kong, Macau serta Taiwan.
Di bawah syarat persetujuan ini, Abiogen memberi lesen dan hak eksklusif kepada syarikat Lee's untuk mendaftar, mengimport, memasarkan, mengedar dan turut menjual produk akhir Kolekalsiferol (titisan mulut, larutan oral serta larutan untuk disuntik), bagi pencegahan dan juga rawatan kekurangan vitamin D.
Dr. Massimo Di Martino, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Abiogen berkata: "Saya sangat gembira dapat melanjutkan kolaborasi strategik kami bagi menetapkan dan mengekalkan nilai keupayaan Lee's di Hong Kong, China serta negara lain. Kekurangan vitamin D ialah Epidemik Senyap Global. Kami ada cara untuk menangani ancaman ini dan kita patut bermula di negara yang berkepadatan paling tinggi di dunia."
"Kami teruja dapat mengembangkan lagi perkongsian kami dengan Abiogen dalam bidang metabolisme tulang yang penting ini," kata Dr. Benjamin Li, Ketua Pegawai Eksekutif Lee's. "Kekurangan vitamin D ialah masalah yang semakin menular, terutamanya dalam kalangan pesakit yang menjalani dialisis. Ketersediaan Kolekalsiferol sudah tentu akan mengukuhkan lagi kehadiran Lee's dalam bidang dialisis. Dalam bidang itu, produk utama Kumpulan itu telah membantu meningkatkan kualiti kehidupan pesakit dialisis."
Latar belakang Abiogen Pharma
Abiogen Pharma ialah syarikat farmaseutikal pakar yang bertumpu pada metabolisme tulang dan beberapa penyakit lain yang jarang ditemui. Syarikat itu telah ditubuhkan pada tahun 1997 di Pisa, Itali. Sejak pendaftaran pertama di Itali pada tahun 2005, Abiogen Pharma diiktiraf sebagai rujukan dalam pasaran vitamin D dengan Dibase® (Itali) dan juga Thorens® (antarabangsa). Kedua-duanya ialah ubat preskripsi utama yang mengembalikan paras vitamin D secara semula jadi, melalui mod tindakan fisiologi kolekalsiferol. Menurut IMS HEALTH, sejak tahun 2012, Abiogen Pharma ialah peneraju dunia daripada segi nilai jualan Kolekalsiferol.
http://www.abiogen.it.
Latar belakang Lee's Pharmaceutical
Lee's Pharmaceutical Holdings Limited ialah syarikat biofarmaseutikal Hong Kong berasaskan penyelidikan dengan pengendalian selama 20 tahun dalam industri farmaseutikal China.
http://www.leespharm.com
Latar belakang Kolekalsiferol
Kolekalsiferol ialah sebatian semula jadi yang disintesiskan oleh kulit di bawah pancaran matahari musim panas yang terik dan digunakan oleh tubuh manusia hanya jika diperlukan sahaja. Kini ia dianggap sebagai molekul penting dengan aktiviti mirip hormon yang menyelaraskan pelbagai fungsi fisiologi, selain aktiviti klasiknya dalam proses pemineralan tulang. Kekurangannya boleh menyebabkan keadaan serius yang boleh mengancam nyawa, jika tidak dirawat. Cara paling berkesan untuk menggantikan bekalan dan mengekalkan paras vitamin D normal dalam manusia adalah dengan mendapatkan vitamin D tambahan daripada sumber luar.