omniture

CGTN: Bagaimana BRI cadangan China bantu pembuat setanggi menuju global

CGTN
2024-03-05 00:01 48

BEIJING, 5 Mac 2024  /PRNewswire/ -- Pu Lianggong mengetahui seni pembuatan setanggi, sama seperti nenek moyang beliau yang berbangsa Arab.

Kini berusia hampir 70 tahun, Pu menghasilkan setanggi di Daerah Yongchun, Quanzhou, sebuah bandar pantai di Wilayah Fujian, timur China.

Kraf pembuatan setanggi berakar umbi di Jalan Sutera Maritim purba, yang berfungsi sebagai saluran penting untuk kedua-dua perdagangan dan pertukaran budaya antara wilayah pantai tenggara China dan negara-negara asing.

Pu tergolong dalam keluarga berketurunan Arab generasi ke-10 yang menetap di Quanzhou, yang dikenali sebagai titik permulaan Jalan Sutera Maritim, pada tahun 1646. Apabila perdagangan laut China berkembang pesat semasa dinasti Song (960-1279) dan dinasti Yuan (1271-1368), Quanzhou menjadi pelabuhan terbesar di China.

Nenek moyang Arab Pu membawa ramuan beraroma bersama mereka sepanjang Jalan Sutera Maritim purba, mencari rezeki dengan menjualnya dan disepadukan secara beransur-ansur ke dalam kehidupan di Quanzhou, berkahwin dengan penduduk tempatan dan menggunakan nama keluarga Cina, Pu.

Keluarga Pu menghasilkan setanggi dengan buluh dan ramuan beraroma dari kampung halaman mereka, yang berbeza daripada serpih harum yang dikenali sebagai "bakhoor" di kebanyakan negara Arab. Ia serupa dengan batang setanggi Cina, dengan batang buluh dibalut dengan ramuan beraroma yang dikisar.

Didorong oleh pengaruh keluarga Pu, setanggi menjadi sebuah industri yang berkembang maju di Yongchun. Pada masa ini, terdapat hampir 300 kilang pembuatan setanggi di sana, menjual produk untuk kedua-dua pasaran domestik dan asing.

Hasil daripada peningkatan pesanan antarabangsa, pekerja dan keluarga mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa, suatu peningkatan yang didorong sebahagiannya oleh Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI).

Dicadangkan oleh China pada tahun 2013, inisiatif ini bertujuan untuk membina rangkaian perdagangan dan infrastruktur yang menghubungkan Asia dengan Eropah dan selanjutnya sepanjang laluan perdagangan Jalan Sutera purba demi pembangunan dan kemakmuran bersama.

Berperanan sebagai platform untuk memupuk pertukaran silang budaya dan juga persefahaman, inisiatif ini memberi peluang untuk menggalakkan kepelbagaian dan keterangkuman.

Presiden Cina Xi Jinping pernah memetik pepatah Cina purba, "Sup yang enak dibuat dengan menggabungkan ramuan yang berbeza," bagi menjelaskan tentang kepentingan kepelbagaian.

Masa depan bersama untuk umat manusia

"Sup yang enak dibuat dengan menggabungkan ramuan yang berbeza."

Pepatah ini berasal daripada klasik Cina "Sejarah Tiga Kerajaan," yang secara literalnya mencerminkan tradisi kulinari Cina menggunakan pelbagai ramuan, seperti herba, rempah ratus dan sayur-sayuran, bagi menghasilkan sup berperisa. Ia menonjolkan kuasa kolaborasi dan nilai kepelbagaian dalam tamadun manusia pula merupakan punca kemajuan insan.

Xi memetiknya dalam ucaptama di Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva pada Januari 2017, menyatakan bahawa kepelbagaian merupakan "enjin yang memacu kemajuan tamadun manusia."

"Terdapat lebih daripada 200 negara dan wilayah, lebih 2,500 kumpulan etnik dan pelbagai agama di dunia kita. Sejarah berbeza, keadaan negara, kumpulan etnik dan adat resam melahirkan tamadun-tamadun yang berbeza dan menjadikan dunia berwarna-warni," kata Xi.

"Kita seharusnya menjadikan pertukaran antara tamadun sebagai sumber inspirasi demi memajukan masyarakat manusia dan ikatan yang memastikan dunia aman."

Xi menekankan keperluan untuk membina sebuah dunia yang terbuka dan inklusif melalui pertukaran dan pembelajaran bersama, menambah bahawa pertukaran antara tamadun merupakan "sumber inspirasi untuk memajukan masyarakat manusia" dan "ikatan yang memastikan dunia aman".

Pepatah lama Cina benar-benar selari dengan sejarah pembuatan setanggi di Yongchun. Berabad-abad yang lalu, ramuan beraroma Arab datang ke China sebagai "pengutus," disepadukan dan dibangunkan dengan ramuan beraroma Cina dan akhirnya tersebar ke seluruh dunia.

Pada masa ini, negara-negara Arab, yang merupakan peserta penting sepanjang laluan perdagangan Jalan Sutera purba, merupakan rakan kongsi yang sangat penting dengan China dalam BRI.

Sepanjang dekad yang lalu, BRI memberi impak positif kepada penduduk tempatan di negara-negara rakan kongsi dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka serta memudahkan perdagangan antarabangsa.

Dari tahun 2013 hingga 2022, jumlah perdagangan antara China dan negara-negara rakan kongsi BRI mencapai $19.1 trilion dengan purata kadar pertumbuhan tahunan mencapai 6.4 peratus, menurut satu kertas putih. Menjelang Jun 2023, China menandatangani lebih daripada 200 perjanjian kerjasama BRI dengan lebih daripada 150 negara dan 30 organisasi antarabangsa merentas lima benua, menghasilkan beberapa projek penting dan projek-projek berskala kecil namun memberi impak.

China juga berusaha untuk menyatukan negara-negara rakan kongsi BRI dan organisasi-organisasi melalui aktiviti kebudayaan bersama, termasuk pewujudan pakatan antarabangsa melibatkan teater, muzium, festival seni dan perpustakaan seperti Perikatan Antarabangsa Muzium Jalan Sutera dan Liga Teater Antarabangsa Jalan Sutera.

Dengan menghubungkan budaya yang pelbagai dan negara yang berbeza. BRI menggalakkan kerjasama, keterbukaan dan keterangkuman di seluurh dunia, membawa China lebih dekat dengan matlamatnya untuk membina sebuah komuniti dengan masa depan yang dikongsi bersama untuk umat manusia demi mendorong pembangunan bersama.

https://news.cgtn.com/news/2024-03-03/How-China-proposed-BRI-helps-incense-makers-go-global-1rFeyGs1XJS/p.html

 

Source: CGTN
Keywords: Banking/Financial Service Computer/Electronics Household Products Household/Consumer/Cosmetics Multimedia/Online/Internet Publishing/Information Service