omniture

Envision Umum Perkongsian Strategik bersama DHL Percepatkan Peralihan Mampan Global

Envision Energy
2024-07-23 21:23 20

BONN, Jerman, 23 Julai 2024 /PRNewswire/ -- Envision Energy, sebuah syarikat teknologi hijau global yang terkemuka, mengumumkan perkongsian strategik bersama DHL Group, sebuah syarikat logistik yang utama. Kedua-dua syarikat ini akan berkolaborasi bagi Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF), logistik bersepadu, penyelesaian tenaga hijau dan pembangunan bersama Taman Perindustrian Sifar Bersih, serta saling bekerjasama untuk mempercepatkan kemajuan sasaran kemampanan.


DHL Group komited untuk mencapai logistik emisi sifar bersih menjelang tahun 2050 dan bermatlamat untuk meningkatkan campuran SAFnya kepada lebih 30% menjelang tahun 2030. SAF memainkan peranan yang amat penting bagi mengurangkan emisi karbon dalam pengangkutan dan penting untuk menyahkarbon industri penerbangan. Dalam kolaborasi yang strategik ini, Envision akan menyediakan SAF, selaras dengan objektif kedua-dua pihak bagi pengurangan karbon dan dalam masa yang sama menjamin bekalan global. Perkongsian ini akan turut meninjau pempelbagaian sumber stok suapan boleh baharu dan hala tuju teknologi untuk memajukan lagi penyahkarbonan dalam sektor pengangkutan udara.

Lei Zhang, Pengerusi Envision, berkata: "Ketika ini, sektor penerbangan mengekori sasaran yang sebahagian besarnya disebabkan oleh kos tinggi yang dikaitkan dengan hidrokarbon hijau dan derivatifnya. Envision, melalui inovasi sistemik, berupaya mengurangkan kos dan merevolusikan pengeluaran SAF secara meluas, bagi mempercepatkan pengindustrian global 'minyak baharu'."

Diiktiraf sebagai "Green Giant" ("Gergasi Hijau") dalam "2024 TIME100 Most Influential Companies" ("Syarikat-syarikat Paling Berpengaruh TIME100 2024"), Envision menyediakan penyelesaian tenaga boleh baharu untuk perusahaan global, kerajaan dan institusi di seluruh dunia. Syarikat ini akan bekerjasama dengan DHL bagi perolehan elektrik hijau demi menyokong matlamat peralihan tenaga boleh baharu DHL.

Sementara itu, DHL akan berperanan sebagai rakan kongsi logistik pilihan Envision, memanfaatkan rangkaian luas DHL merentas lebih 220 negara dan wilayah bagi menyokong matlamat Envision dalam mengglobalisasikan tenaga boleh baharu. DHL akan menggunakan penyelesaian logistik bersepadu sepenuhnya bagi meningkatkan kecekapan dan kualiti, memastikan pengurusan rantaian bekalan global yang lancar dan sokongan yang komprehensif dalam mengemudi keperluan kawal selia dan cabaran operasi.

Envision dan DHL Group akan bersama-sama membangunkan Taman Perindustrian & Logistik Sifar Bersih, memupuk penyelesaian yang lebih mampan merentas pelbagai industri dan mewujudkan nilai kolaboratif. Model Taman Perindustrian Sifar Bersih yang inovatif menyepadukan pengeluaran tenaga hijau dengan pengurusan beban, menggalakkan pembinaan sistem tenaga boleh baharu dan memajukan ekosistem perindustrian hijau. Taman Perindustrian Sifar Bersih, yang telahpun dilancarkan di Asia dan sebahagian daripada Eropah serta Timur Tengah oleh Envision akan, memperluaskan jejak globalnya, dengan sokongan daripada DHL, menyediakan penyelesaian inovatif demi transformasi karbon sifar di seluruh dunia.

"Rangka kerja perkongsian bersama Envision mewakili langkah yang selanjutnya ke arah kepimpinan kemampanan global untuk DHL Group. Dengan memanfaatkan kepakaran logistik kami yang tiada tandingan dan rangkaian global yang unik, kami komited untuk menyokong Envision dalam pengembangan antarabangsa serta cabaran logistik mereka," tambah Tobias Meyer, Ketua Pegawai Eksekutif DHL Group. "Kami akan bersama-sama memimpin perubahan dalam menyepadukan teknologi hijau dan mengoptimumkan rantaian bekalan, menetapkan penanda aras baharu untuk inovasi mampan serta impak alam sekitar global melalui peralihan tenaga."

 

Source: Envision Energy
Keywords: Environmental Products & Services Green Technology Oil/Energy Transportation Utilities Supply Chain/Logistics