SEOUL, Korea Selatan, 18 Mac 2025 /PRNewswire/ -- VINSSEN, pakar teknologi penyahkarbonan maritim yang memfokuskan pada sel bahan api hidrogen dan sistem sokongan, menerima pensijilan Kelulusan dalam Prinsip (AIP) daripada Korean Register untuk kapal tunda pertama Korea yang mempunyai sistem pendorongan sel bahan api hidrogen. Pensijilan ini menyaksikan satu pencapaian penting dalam pembangunan teknologi mesra alam yang dimulakan melalui MOU bersama KRE, peneraju bagi reka bentuk kapal, kejuruteraan naik taraf dan kejuruteraan infrastruktur maritim. Projek penyelidikan bersama antara ketiga-tiga organisasi ini mewakili lonjakan besar dalam mengaplikasikan teknologi penyahkarbonan pada kapal yang mengeluarkan karbon tinggi, seperti kapal tunda, seterusnya memajukan peralihan industri maritim ke arah kemampanan.
VINSSEN menerajui kejuruteraan sistem pendorongan sel bahan api hidrogen mesra alam, manakala KRE mengendalikan prestasi asas kapal tunda serta kejuruteraan susun atur. Kapal tunda elektrik berkuasa sel bahan api hidrogen 2,700 kW ini menggunakan bahan api hidrogen dan menyimpan lebihan tenaga elektrik yang dijana oleh sel bahan api dalam bateri untuk operasi beban rendah, membolehkan kesediaan permintaan tenaga masa depan. Semasa senario output tinggi, tenaga yang disimpan daripada bateri menambah kuasa sel bahan api bagi memastikan pendorongan yang stabil dan cekap, lantas mengupayakan operasi beban puncak.
VINSSEN menyediakan sistem pendorongan mesra alam yang praktikal dan boleh diskalakan untuk operasi pelabuhan, mengoptimumkan penggunaan tenaga hidrogen berdasarkan profil operasi kapal tunda. Sistem ini direka untuk memenuhi peraturan alam sekitar semasa dan masa depan sekali gus menyampaikan prestasi luar biasa dalam persekitaran marin yang sukar dan khusus.
Sistem pendorongan mesra alam daripada VINSSEN melangkaui teknologi sel bahan api, menawarkan penyelesaian hijau komprehensif yang mengintegrasikan sistem storan tenaga bateri. Menerusi inovasi ini, VINSSEN akan memainkan peranan penting dalam penyahkarbonan industri maritim serta memajukan masa depan yang lestari untuk operasi maritim global.
Sementara itu, VINSSEN merancang untuk mengambil bahagian Sea Asia 2025 yang dijadualkan pada minggu terakhir bulan Mac di Marina Bay Sands, Singapura bagi mempromosikan kapal mesra alam dan sistem pendorongannya.
[Pengenalan kepada VINSSEN]
VINSSEN Co., Ltd. terlibat dalam pembangunan dan pembuatan sistem pendorongan mesra alam untuk kapal yang menggunakan pendorongan elektrik dan sel bahan api hidrogen. Syarikat ini memegang lebih 50 paten yang berkaitan dengan sistem pendorongan elektrik untuk kapal, sel bahan api hidrogen untuk kapal dan bot riadah pendorong elektrik. Matlamatnya adalah untuk menukar kapal yang dikuasakan oleh enjin diesel kepada kapal mesra alam yang dikuasakan oleh teknologi elektrik dan hidrogen.