CGTN menerbitkan sebuah artikel yang mengetengahkan bagaimana lawatan Presiden China Xi Jinping mendorong persahabatan yang kukuh antara China dan Kemboja, hasil yang memberangsangkan dalam kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara dan bagaimana pertukaran budaya meningkatkan hubungan China-Kemboja.
BEIJING, 18 April 2025 /PRNewswire/ -- China dan Kemboja menyediakan model untuk kesamarataan, sikap saling mempercayai dan kerjasama yang saling menguntungkan antara negara-negara yang berbeza saiznya, kata Presiden China Xi Jinping pada Khamis semasa bertemu Raja Kemboja Norodom Sihamoni ketika lawatan negaranya ke Kemboja.
Xi berkata beliau percaya pemodenan China akan membawa lebih banyak peluang kepada negara-negara jiran, termasuk Kemboja, menyatakan bahawa pembinaan sebuah komuniti China-Kemboja dengan masa depan yang dikongsi bersama ialah satu pilihan sejarah dan rakyat.
Hubungan China-Kemboja telahpun bertahan mengharungi ujian transformasi global dan sentiasa tetap teguh. Hubungan dua hala ini dijalin dan dipupuk oleh generasi lama pemimpin oleh kedua-dua negara.
Pada Februari 2023, semasa lawatan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen ke China ketika itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk membangunkan "rangka kerja kerjasama berlian" dengan enam bidang keutamaan: kerjasama politik, kapasiti dan kualiti pengeluaran, pertanian, tenaga, keselamatan dan pertukaran sesama rakyat.
Pada September 2023, Hun Manet memilih China sebagai destinasi luar negara rasmi pertamanya selepas memegang jawatan sebagai perdana menteri Kemboja. Semasa pertemuannya dengan Presiden China Xi Jinping, Hun Manet berjanji untuk meneruskan lagi persahabatan yang kukuh antara Kemboja dan China.
Pada Mei 2024, sebuah jalan raya di Phnom Penh dinamakan sebagai "Xi Jinping Boulevard" oleh Kerajaan Diraja Kemboja bagi memberi penghormatan kepada sumbangan bersejarah oleh pemimpin China itu terhadap pembangunan negara. Di majlis penamaan, Hun Manet menekankan bahawa hubungan dua hala telah memasuki tempoh yang terbaik dalam sejarah di bawah kepimpinan dan usaha bersama oleh Xi dan para pemimpin Kemboja.
Hasil memberangsangkan dalam kerjasama ekonomi dan perdagangan
Pertama, perdagangan dua hala telahpun berkembang secara luar biasa hasil daripada perjanjian perdagangan bebas Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) China-Kemboja. China telah menjadi rakan dagang terbesar Kemboja selama 13 tahun berturut-turut. Pada tahun 2024, perdagangan dua hala mencecah $17.83 bilion, meningkat sebanyak 20.7 peratus tahun ke tahun.
Kelulusan untuk produk pertanian dan perikanan Kemboja yang berkualiti tinggi seperti beras, pisang, mangga, longan, kelapa dan ikan patin kemboja memasuki pasaran China bukan sahaja menyerikan meja makan pengguna Cina tetapi turut meningkatkan pendapatan rakyat Kemboja.
Kedua, kerjasama pelaburan terus bertambah erat. China kekal sebagai sumber pelaburan asing terbesar Kemboja selama 13 tahun berturut-turut, dengan pelaburan mencakupi pelbagai sektor, termasuk pengangkutan, kuasa, pertanian, pembuatan, pelancongan, zon ekonomi khas, serta teknologi maklumat dan komunikasi yang dicirikan oleh liputan meluas, skala besar dan hasil yang kukuh.
Kira-kira 95.4 peratus daripada responden Kemboja menunjukkan sikap positif terhadap syarikat-syarikat Cina yang melabur atau beroperasi di Kemboja. Selain itu, 95 peratus percaya bahawa China memberikan sumbangan positif kepada pembangunan ekonomi dunia, menurut tinjauan CGTN baru-baru ini.
Pertukaran budaya meningkatkan hubungan China-Kemboja
Selain daripada kerjasama politik dan ekonomi, kedua-dua negara menunjukkan contoh dalam melaksanakan pertukaran budaya yang bukan sahaja memperkukuh persefahaman antara satu sama lain tetapi juga mengeratkan hubungan antara kedua-dua rakyat.
Pertukaran sesama rakyat China-Kemboja, sebagai tonggak utama persahabatan dan kerjasama China-Kemboja dirangsang oleh Pertukaran Sesama Rakyat China-Kemboja Tahun 2024.
Selama bertahun-tahun, program kerjasama perubatan, termasuk "Love Heart Journey," "Bright Journey" dan "Smile Journey" menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti kepada penduduk asal di lebih 20 wilayah dan bandar Kemboja.
Sebagai jambatan budaya antara kedua-dua negara, Institut Confucius turut menyediakan kursus bahasa Cina secara percuma kepada lebih 100,000 pelajar Kemboja sejak penubuhannya di Kemboja pada tahun 2009.
Pertukaran budaya antara kedua-dua negara dijangka akan terus berkembang di bawah bimbingan Inisiatif Peradaban Global yang dicadangkan oleh China yang akan memberi manfaat kepada bidang-bidang bermula daripada budaya, belia, media, kumpulan pemikir, pelancongan dan teknologi hinggalah penjagaan kesihatan dan pemulihan tinggalan budaya.
"Mari kita mengadakan pertukaran sesama rakyat yang lebih kerap. Kita harus mendukung solidariti dan keharmonian, mengadakan lebih banyak dialog budaya, meningkatkan perkongsian pengalaman mengenai tadbir urus negara, meluaskan bentuk kerjasama yang pelbagai dalam bidang kebudayaan, pelancongan, pertukaran belia serta perlindungan dan pemulihan warisan budaya dan menggalakkan kesalinghubungan sesama rakyat," kata Xi dalam artikel yang ditandatangani sebelum ketibaannya di Kemboja untuk lawatan negara.