omniture

CGTN: Bagaimana ekonomi China kekal rancak biarpun dengan perang tarif A.S.

CGTN
2025-07-26 23:28 13

BEIJING, 26 Julai 2025 /PRNewswire/ -- Dengan Naib Perdana Menteri China He Lifeng yang akan mengadakan rundingan ekonomi dan perdagangan bersama Amerika Syarikat di Sweden akhir bulan ini, kekuatan dan kebingkasan ekonomi China sekali lagi menjadi perhatian. Pusingan rundingan ini yang dipersetujui secara bersama oleh kedua-dua negara, bukan sahaja merupakan satu keterlibatan diplomatik malah menjadi bukti kevitalan ekonomi China yang lama bertahan dalam persekitaran antarabangsa yang rumit.


Statistik terkini menekankan kekukuhan ekonomi China. Pada separuh pertama tahun 2025, KDNK meningkat sebanyak 5.3 peratus tahun ke tahun yang mengagumkan, melangkaui jangkaan pasaran biarpun menghadapi hambatan global. Angka ini menggambarkan lebih daripada pertumbuhan sementara; ia menunjukkan kebingkasan struktur dan kebolehsesuaian ekonomi yang terus berkembang dan bertambah baik.

Permintaan dalam negeri muncul sebagai asas pertumbuhan yang menyumbang sebanyak 68.8 peratus kepada pengembangan KDNK dalam tempoh ini. Inisiatif-inisiatif seperti penaiktarafan peralatan berskala besar dan program tukar beli barangan pengguna merangsang perbelanjaan dengan efektif, seterusnya melindungi ekonomi China daripada kejutan luaran.

Dalam tempoh lima bulan pertama pada tahun 2025 sahaja, program tukar beli barangan pengguna China menjana jualan sebanyak 1.1 trilion yuan ($153.1 bilion), mengatasi angka bagi sepanjang tahun 2024. Dirangsang oleh program ini, jualan runcit barangan pengguna China meningkat 5 peratus tahun ke tahun dalam tempoh enam bulan yang lalu – 0.4 mata peratusan lebih pantas berbanding pertumbuhan yang dicatatkan pada suku pertama.

Meskipun ketakpastian luaran mengenakan sedikit tekanan, kepelbagaian perdagangan China dan keluaran yang stabil daripada industri pembuatan berteknologi tinggi dan perkhidmatan memberikan sokongan padu kepada ekonomi.

Walaupun perdagangan China dengan beberapa negara Barat merosot, perdagangannya dengan rakan kongsi Jalur dan Jalan, negara-negara ASEAN, Kesatuan Eropah serta negara-negara Afrika masing-masing menyaksikan peningkatan sebanyak 4.7 peratus, 9.6 peratus, 3.5 peratus dan 14.4 peratus pada separuh pertama tahun 2025. Pengembangan hubungan perdagangan ini membantu China mengurangkan pergantungan pada mana-mana satu pasaran, seterusnya mengurangkan impak daripada dasar perlindungan beberapa ekonomi Barat.

Kebingkasan China memberi kesan yang berterusan di luar sempadannya. Sebagai pemacu pertumbuhan global yang amat penting, prestasi ekonomi China yang stabil meningkatkan keyakinan pasaran antarabangsa dan memberikan pengaruh penstabilan di tengah-tengah ketakpastian global. Melalui fokus yang berterusan ke atas pertumbuhan yang berkualiti dan keterbukaan, China menawarkan komuniti antarabangsa dengan enjin yang andal demi kemakmuran bersama.

Satu laporan yang terkini daripada Majlis Perniagaan A.S.-China menunjukkan bahawa 82 peratus daripada syarikat Amerika yang beroperasi di China memperoleh keuntungan pada tahun 2024. Walaupun ramai yang memetik tentang ketakpastian hubungan serta tarif China-A.S. sebagai kebimbangan utama mereka, pasaran China terus menjadi pasaran yang amat penting buat mereka.

Ketegangan perdagangan menimbulkan halangan, namun ia tidak melumpuhkan kebingkasan ekonomi China. Rundingan Beijing-Washington yang akan datang di Sweden menunjukkan kesediaan China untuk menangani perbezaan melalui rundingan. Biarpun halangan masih lagi ada, keupayaan China untuk mengekalkan pertumbuhan, mencapai penyesuaian dengan landskap global yang berubah-ubah dan berhubung secara konstruktif dengan rakan kongsi antarabangsa menandakan masa depan dengan peluang terkongsi serta kemajuan bersama.

https://news.cgtn.com/news/2025-07-25/How-China-s-economy-remains-vibrant-despite-U-S-tariff-war-1FikeNwhlo4/p.html

Source: CGTN
Keywords: Banking/Financial Service Computer/Electronics Multimedia/Online/Internet Publishing/Information Service